Skip to main content

Singapura

2 guru pelatih ini cemerlang di NIE, jadi antara 951 'guru baru' kohort 2020

Seramai 951 guru baru dan yang kembali mengajar secara rasmi bergelar 'guru' pada Khamis (4 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 951 guru baru dan yang kembali mengajar secara rasmi bergelar 'guru' pada Khamis (4 Feb).

Upacara Pelantikan Guru Institut Pendidikan Nasional (NIE) bagi kohort 2020 itu diadakan secara online pada Khamis (4 Feb) dan disaksikan Menteri Pendidikan Lawrence Wong selaku tetamu terhormat.

Related article image
(Gambar: Kementerian Pendidikan (MOE))

Seramai 35 lulusan turut menerima anugerah khas bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang mereka dan 10 daripadanya menerima lebih daripada satu anugerah.

GUNA MEDIA SOSIAL UNTUK 'PANCING' MINAT BAHASA MELAYU

Salah seorang daripada mereka ialah Nurin Nasyirah Jahaya, 22 tahun.

Beliau terdorong menjadi seorang guru selepas melihat bagaimana Allahyarham pakciknya, seorang mantan leftenan, memimpin dan mengajar para kadet.

Dari situlah, beliau lebih memahami bahawa bidang pendidikan bukan sekadar berkongsi ilmu tetapi berupaya meninggalkan kesan yang mendalam.

Related article image
(Gambar: BERITAmediacorp)

Guru Bahasa Melayu ini juga kreatif menerapkan media sosial dalam pembelajaran bagi merangsang minat kepada Bahasa Melayu dalam kalangan pelajarnya semasa menjalani praktikum di Sekolah Rendah Gongshang sepanjang dua tahun lalu.

Cik Nurin akhirnya bukan setakat lulus cemerlang untuk menjadi guru dan menerima Diploma dalam Pendidikan, malah beliau turut menerima dua anugerah sekali gus, iaitu Hadiah Buku Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura dan Hadiah Buku Praktikum Tan Poey Quee.

"Apa yang saya gunakan dalam kelas, saya akan memastikan para pelajar mungkin dapat tulis atau catatkan maklum balas mereka dalam iPad Mini dan mereka tampalkan palang Instagram.

"Jadi itu merupakan sebuah penilaian informatif mungkin di mana saya dapat melihat oh apa yang mereka suka pada hari ini, apa yang mereka belajar pada hari ini,"kata Cik Nurin.

"Saya harap para pelajar juga dapat mencintai dan menjiwai bahasa Melayu. Bukan sahaja dalam pengajaran tetapi dalam kehidupan seharian," katanya lagi yang kini sedang mengambil kursus Sarjana Muda (BA) Bahasa. Apabila tamat tahun depan, beliau akan dihantar untuk mengajar di Sekolah Menengah pula.

TUKAR CITA-CITA DARI PEGUAM KEPADA PENDIDIK

Seorang lagi yang kini bergelar guru ialah Wan Muhammad Aliff Rahmat, 26 tahun.

Lulusan Ijazah Sains Pendidikan dan anak seorang guru itu awalnya mahu menjadi seorang peguam untuk membantu orang-orang yang memerlukan.

Related article image
(Gambar: BERITAmediacorp)

Namun beliau kemudian sedar bahawa seorang guru boleh melakukan lebih daripada itu.

Guru subjek Fizik yang sudah mula mengajar di Sekolah Perempuan Paya Lebar Methodist sejak Julai 2020 berkata: "Saya rasa seorang guru dapat menolong lebih banyak orang dan membantu mereka mencapai apa jua cita-cita yang diinginkan. Kami harus jadi sumber inspirasi bagi pelajar-pelajar kami."

Berkat cemerlang semasa menjadi guru pelatih di NIE, Wan Aliff juga menerima dua anugerah - Pingat Emas Ulang Tahun ke-75 Rotary International dan Hadiah Buku IPS. Hadiah Buku IPS disampaikan atas kecemerlangannya dalam mata pelajaran Fizik termasuk gred cemerlang semasa menjalani praktikum akhir.

Selain Cik Nurin dan Wan Aliff, tiga lagi lulusan Melayu yang turut menerima anugerah.

1. Nurul Ameera Zackaria (Hadiah Buku Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura - Ia diberikan atas prestasi cemerlang dalam Bahasa Melayu dan Sastera dalam Sarjana Muda (Pendidikan) termasuk gred cemerlang atau kredit semasa menjalani praktikum akhir.

2. Ahmad Arif Ibrahim (Hadiah Buku Sport Singapore - Ia diberikan atas kecemerlangan dalam pengajaran Pendidikan Jasmani, Sarjana Muda Sains(Pendidikan).

3. Halidah Abdul Nazhar (Hadiah Dr Shila Fernandez - diberikan atas kecemerlangan dalam pengajaran Bahasa Inggeris (dengan sekurang-kurangnya gred B+ dalam Kemahiran Perhubungan untuk Guru) dan Diploma Pos siswazah dalam Pendidikan (Sekolah Rendah)

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita