Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 GSA Individu, 2 GSA Konsortium tawar 10 pakej Haji 2022

Bakal jemaah haji Singapura boleh memilih salah satu daripada 10 pakej haji yang diluluskan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bakal jemaah haji Singapura boleh memilih salah satu daripada 10 pakej haji yang diluluskan.

Ini setelah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melantik dua Ejen Penjualan Individu (IGSA) dan dua GSA Konsortium (CGSA).

Mereka adalah:
Ejen Penjualan Individu (IGSA)
1. Halijah Travels Pte Ltd
2. Shahidah Travel & Tours Pte Ltd

Ejen Penjualan Konsortium (CGSA)
1a. Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd (Ketua Ejen)
b. Hagel Travel & Tours Pte Ltd (Anggota)
c. Noor Mohamad Services & Travel Pte Ltd (Anggota)

2a. TM Fouzy Travel & Tours Pte Ltd (Ketua Ejen)
b. Hamidah Travel & Tours Pte Ltd (Anggota)
c. Hahnemann Travel & Tours Pte Ltd (Anggota)

PAKEJ UNTUK 2 MINGGU HINGGA HAMPIR SEBULAN

Separuh daripada jumlah pakej yang ditawarkan, iaitu lima daripadanya merupakan pakej haji antara 14 hingga 23 hari, manakala lagi lima adalah pakej untuk tempoh lebih panjang iaitu antara 25 dengan 29 hari.

Pakej haji paling murah yang ditawarkan bagi tahun ini adalah sekitar S$6,830 (empat orang sebilik) dan yang paling mahal pula adalah S$15,125 (dua orang sebilik).

Kesemua harga pakej termasuk Bantuan Perubatan Kecemasan (EMA) tetapi tidak termasuk tambang penerbangan dan biaya Masyair (pergerakan jemaah di Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi menunaikan ibadah haji antara 7 hingga 12 Zulhijjah).

Biaya Masyair dianggarkan antara S$5,000 hingga S$9,000.

Menurut tinjauan BERITAmediacorp, kos setiap tiket penerbangan ke Jeddah dari Singapura berharga sekitar S$1,700.

Ini bermakna kos pakej haji boleh mencecah lebih S$25,000.

Kos tersebut belum termasuk insurans perjalanan dan perubatan serta ujian PCR sebelum berangkat dari Singapura.

Semua jemaah haji tahun ini harus diuji negatif COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum melakukan perjalanan ke Tanah Suci.

Jika mereka masih positif sebelum 3 Julai, mereka boleh mendapatkan sebahagian biaya pakej haji mereka iaitu sebanyak S$7,500.

3 Julai adalah tarikh terakhir bagi penerbangan masuk ke Arab Saudi bagi musim haji tahun ini.

AMBIL SURAT TAWARAN PADA 5 MEI

Bakal jemaah haji tahun ini akan dimaklumkan untuk mengambil Surat Tawaran dan Surat Pemilihan Pakej Haji daripada MUIS pada 5 Mei.

MUIS menasihatkan bakal jemaah supaya menimbangkan sebaik-baiknya keperluan peribadi dan kemampuan masing-masing semasa memilih pakej haji.

Mereka juga dinasihatkan supaya jangan membuat sebarang pembayaran kepada mana-mana GSA yang diluluskan selagi mereka belum mengambil surat-surat tersebut daripada MUIS.

GSA juga sudah dimaklumkan supaya menerangkan kandungan kontrak secara terperinci kepada para jemaah sebelum ia ditandatangani.

Para jemaah turut diingatkan supaya meneliti dan memahami Kontrak Pembelian Pakej Haji sebelum membuat pembayaran bagi pakej haji mereka.

Maklumat tentang ejen-ejen yang diluluskan MUIS bagi Pakej Haji 2022 (1443H) boleh didapatkan di www.muis.gov.sg/Haj.

Tahun ini, seramai 407 jemaah dari Singapura bakal menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan