Skip to main content

Singapura

2 finalis MasterChef Singapore musim ke-4 ingin papar hidangan unsur Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
2 finalis MasterChef Singapore musim ke-4 ingin papar hidangan unsur Melayu

Gambar: Syawal Yusoff

Diterbitkan : 25 Jul 2023 10:26PM Dikemas Kini : 26 Jul 2023 12:26AM

SINGAPURA: Gelanggang dapur musim ke-4 MasterChef Singapore kembali hangat.

Buat julung-julung kalinya, 18 peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan dan dibimbing tiga cef dan pengadil tetap - Audra Morrice, Bjorn Shen dan Damian D'Silva.

SENTUHAN IBU DALAM HIDANGAN

Salah seorang 'anak didik' daripada Pasukan Cef Damian ialah Aizat Haikal Saini, 34 tahun.

Bekas pramugara yang kini menjalankan perniagaan daripada rumah (HBB) menjual makanan tradisional Melayu seperti pulut kuning dan 'Shepherd's Pie' itu ingin mencabar dirinya.

"Saya mahu mengetengahkan masakan Melayu dan juga memberikan penghormatan kepada ibu bapa saya," kata Aizat.

“”
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selepas kehilangan kedua-dua orang tuanya, masakan dan makanan menjadi cara untuk beliau mengenang kembali masa bersama orang tersayang.

Malah, apa yang dipelajari daripada arwah ibunya dijadikan inspirasi dalam hidangan-hidangan yang disajikan sewaktu pertandingan itu.

"Dalam setiap masakan, mak adalah orang yang pertama dalam kehidupan. Mak saya menunjukkan bagaimana cara-cara masakan-masakan Melayu dan rahsianya.

"Ada sentuhan ibu. Bagi saya dalam pertandingan ini ada cabaran-cabaran yang lain tetapi saya cuba menggunakan bahan-bahan seperti santan dan belacan," tambahnya.

Akur akan tuntutan pelbagai cabaran dan pertandingan bertaraf antarabangsa itu, Aizat cuba memperluaskan repertoir masakannya dengan mempelajari pelbagai resepi baru.

Menurut Aizat: "Membuat persiapan ini saya amat tertekan sebenarnya. Saya tidak tahu resipi terutama yang barat dan membuat kek. Saya amat cenderung kepada masakan Melayu. Tetapi untuk masuk dalam pertandingan ini, kami harus bersedia untuk segalanya, masakan barat, Cina, Itali.Saya cuba sedaya upaya."

SIANG IKAN 30 KILOGRAM

Seorang lagi peserta yang terbuka kepada cabaran-cabaran baru ialah Tina Amin, 42 tahun.

Tina mengaku beliau sebenarnya tidak gemar memasak dan hanya menghantar mendaftarkan diri bagi pertandingan itu pada saat-saat akhir.

Meskipun begitu, pegawai pentadbiran yang mahir membuat kek itu mahu meluaskan lagi pengetahuannya, khususnya daripada segi masakan.

'Senjata' yang beliau gunakan juga dalam pertandingan itu adalah untuk mengetengahkan ciri-ciri kemelayuan.

"Saya sebagai seorang Melayu untuk masak itu semua dengan rempah ratus Melayu. Ciri-ciri Melayu itu tetap ada sebab saya ini orang Melayu, bukan. Saya ingin meletakkan masakan Melayu di meja MasterChef," kata Tina.

“”
(Gambar: Syawal Yusoff)
Tina yang merupakan peserta dari Pasukan Cef Audra juga ghairah dengan pengalaman baru yang diraih daripada MasterChef.

"Seperti menyiang ikan seberat 30 kilogram. (Biasanya) saya cuma siang ikan selar sahaja. Tetapi 30 kilogram ikan tidak senang hendak siang. Di dapur MasterChef, kita dapat pelajari cara-cara untuk menyiang ikan sebesar itu," seloroh beliau.

Mengulas tentang prestasi peserta musim kali ini, pengadil Cef D'Silva berkata beliau gembira melihat semangat dan kerjasama yang ditunjukkan para peserta kali ini.

"Saya rasa setiap musim mempunyai jumlah peserta yang berkaliber. Ia bukan untuk menang. Ia sebenarnya untuk menjadi sebahagian daripada pertandingan. Itulah yang paling penting. Anda melihat potensi anda semakin naik. Jika anda tidak mengambil bahagian, anda tidak akan tahu. Anda tidak akan tahu sejauh mana pertandingan ini akan bawa anda," kata Cef D'Silva.


RASA SENDIRI AIR TANGAN PARA CEF DI KONSERT HARI KEBANGSAAN MEDIACORP

Semasa satu sesi suai kenal pada Selasa (25 Julai), beberapa peminat bertuah dan dan rakan-rakan media berpeluang merasakan sembilan jenis ais krim bertemakan perisa tempatan seperti Rojak, Pengat Durian dan Kuih Koleh.

“”
(Gambar: Syawal Yusoff)
Tiga perisa terpilih pula akan diberikan kepada para pengunjung Konsert Hari Kebangsaan Mediacorp di The Meadow, Taman di Persisiran pada Sabtu (5 Ogos)

Episod pertama MasterChef Singapore akan disiarkan pada Rabu (9 Ogos), 8.30 malam di Saluran 5 dan meWatch.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita