Skip to main content

Singapura

2 doktor gigi didakwa tipu S$54,000; buat tuntutan palsu CHAS, MediSave

Dua doktor gigi dari klinik Phoenix Dental Surgery didakwa pada Jumaat (18 Okt) kerana menipu dan memalsukan akaun berhubung tuntutan palsu Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) dan MediSave.

Anggaran Waktu Membaca:
2 doktor gigi didakwa tipu S$54,000; buat tuntutan palsu CHAS, MediSave

Klinik pergigian Phoenix Dental Surgery di Ang Mo Kio Ave 8 (Gambar: Robin Choo/TODAY)

Diterbitkan : 18 Oct 2019 04:17PM Dikemas Kini : 18 Oct 2019 04:20PM

SINGAPURA: Dua doktor gigi dari klinik Phoenix Dental Surgery didakwa pada Jumaat (18 Okt) kerana menipu dan memalsukan akaun berhubung tuntutan palsu Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) dan MediSave.

Kesalahan-kesalahan dilaporkan berlaku antara 2014 hingga 2015, dengan tuntutan bernilai lebih S$54,000 melibatkan 23 pesakit, menurut kenyataan polis.

Dr Andy Joshua Warren, 34, dan Dr Teo Eu Gene, 36, didakwa menipu poliklinik-poliklinik untuk mengagihkan subsidi dengan menyerahkan tuntutan CHAS bagi prosedur rawatan pergigian yang tidak dilakukan sama sekali.

Dr Warren juga dituduh menipu Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk mengagihkan wang daripada akaun MediSave pesakit dengan menyerahkan tuntutan bagi pembedahan siang hari yang tidak dijalankan.

Kedua-duanya turut didakwa memalsukan nota kes perubatan pesakit untuk menyokong tuntutan palsu tersebut. Rawatan pergigian tertentu yang melibatkan pembedahan dan yang dilakukan atas sebab-sebab perubatan boleh dituntut di bawah skim MediSave.

Di bawah CHAS, golongan perintis dan rakyat dengan pendapatan keluarga bulanan per kapita S$1,800 dan ke bawah boleh mendapat subsidi di klinik-klinik privet.

Nilai subsidi antara S$11 hingga S$266.50 dipotong daripada bil pesakit. Doktor gigi kemudian membuat tuntutan kepada pihak Pemerintah untuk mendapatkan subsidi tersebut.

Pada 2016, dua klinik Phoenix Dental Surgery digantung daripada menyertai CHAS selepas audit oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Menurut kementerian itu, cawangan-cawangan di Ang Mo Kio dan Marine Parade menyerahkan tuntutan yang tidak mematuhi peraturan dan garis panduan. Ini termasuk beberapa tuntutan bagi prosedur rawatan yang tidak dilakukan sama sekali, tambah MOH lagi.

Jika didapati bersalah kerana menipu, doktor gigi yang terlibat boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau didenda. Jika sabit kesalahan memalsukan akaun, mereka boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita