Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 ditangkap: Guna kata kesat, kekerasan jenayah terhadap polis, pegawai jarak selamat

Dua lelaki ditahan dalam insiden berasingan menghambur kata-kata kesat dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai perkhidmatan awam, menurut polis hari ini (22 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
2 ditangkap: Guna kata kesat, kekerasan jenayah terhadap polis, pegawai jarak selamat

Gambar fail: Hanidah Amin

Diterbitkan : 22 May 2021 06:48PM Dikemas Kini : 22 May 2021 06:51PM

SINGAPURA: Dua lelaki ditahan dalam insiden berasingan menghambur kata-kata kesat dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai perkhidmatan awam, menurut polis hari ini (22 Mei).

Kes pertama melibatkan seorang lelaki 50 tahun yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada para pegawai polis selepas tidak menghiraukan nasihat mereka agar memakai pelitup.

Insiden tersebut berlaku pada 12 Mei di sebuah kedai kopi di Yishun Ring Road.

Lelaki tersebut dikatakan mabuk. Dia didakwa tidak memakai pelitup dan menjerit ke arah para pejalan kaki yang lalu di situ.

"Apabila polis tiba, lelaki itu dinasihati agar memakai pelitup tetapi dia dengan sengaja tidak mempedulikan nasihat para pegawai polis bahkan terus bersikap kasar dan menghambur kata-kata kesat kepada para pegawai," menurut polis.

Lelaki tersebut ditahan kerana menggunakan kata-kata kesat terhadap pegawai khidmat awam dan atas kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kawalan Minuman Keras. Dia juga akan disiasat kerana melanggar peraturan-peraturan COVID-19.

Bagi kes kedua, seorang lelaki 32 tahun didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang pegawai penguat kuasa jarak selamat di Millenia Walk pada 14 Mei.

Menurut polis, tiga pegawai penguat kuasa sedang menjalankan rondaan sekitar 10.50 malam apabila mereka menemui pelanggan-pelanggan yang sedang duduk di luar sebuah restoran dan menasihati mereka supaya mematuhi langkah-langkah penjarakan selamat.

Para pegawai kemudian memasuki restoran untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Salah seorang kakitangan restoran didakwa mendekati seorang pegawai dan merampas pas beliau dan hanya memulangkannya kembali selepas mengambil gambar pas tersebut, menurut polis.

Lelaki 32 tahun itu kemudian ditahan kerana didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang pegawai khidmat awam.

Siasatan bagi kedua-dua kes sedang dijalankan, menurut polis.

Individu yang didapati bersalah menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai perkhidmatan awam boleh didenda sehingga S$5,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.

Individu yang didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang seorang pegawai khidmat awam daripada menjalankan tugasnya pula boleh dijel sehingga empat tahun, didenda atau kedua-duanya,

Mereka yang didapati tidak memakai pelitup atau tidak memakai pelitup dengan betul di luar tempat kediaman boleh didenda sehingga S$10,000, dijel sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika disabit kesalahan melanggar langkah-langkah kawalan COVID-19. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan