Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 ditangkap di Tanjong Pagar kerana pandu secara berbahaya, pegawai Polis Trafik antara 4 dibawa ke hospital

 Dua orang diberkas di Tanjong Pagar pada Khamis (24 Sep) dalam insiden berasingan kerana memandu secara berbahaya.

Anggaran Waktu Membaca:
2 ditangkap di Tanjong Pagar kerana pandu secara berbahaya, pegawai Polis Trafik antara 4 dibawa ke hospital

Dua orang diberkas di Tanjong Pagar dalam insiden berasingan kerana memandu secara berbahaya. (Gambar: Facebook/Patrick)

Diterbitkan : 25 Sep 2020 09:54PM Dikemas Kini : 25 Sep 2020 09:58PM

SINGAPURA: Dua orang diberkas di Tanjong Pagar pada Khamis (24 Sep) dalam insiden berasingan kerana memandu secara berbahaya.

Empat orang dihantar ke hospital, termasuk seorang pegawai Polis Trafik yang dilanggar salah sebuah kereta berkenaan.

Kejadian itu bermula pada sekitar pukul 11.50 pagi pada Khamis apabila para pegawai polis yang sedang melakukan rondaan di sebuah tempat letak kenderaan terbuka di Bayfront Avenue ternampak sebuah kenderaan tidak mempunyai bumper depan.

Menurut polis, seorang lelaki, 32 tahun, yang duduk di kerusi pemandu kereta itu tidak mengendahkan permintaan untuk keluar dari kenderaan tersebut dan sebaliknya memecut dari kawasan itu.

"Satu aksi kejar mengejar berlaku dan ia berhenti apabila kereta tersebut naik bendul di Anson Road setelah melanggar sebuah teksi dan sebuah lagi kereta penumpang," menurut polis pada Jumaat sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

Suspek itu kemudian cuba untuk melarikan diri, tambah polis.

Dia berjaya diberkas tidak lama kemudian kerana memandu di bawah pengaruh dadah, memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan dan disyaki terlibat dalam kesalahan-kesalahan berkaitan dadah.

Suspek itu, berserta dua lagi orang dari kereta satu lagi yang terlibat dalam kemalangan itu, dibawa ke Hospital Besar Singapura dalam keadaan sedar.

"Pemandu teksi berusia 72 tahun tidak cedera," menurut polis.

Semasa menjalankan siasatan di tempat kejadian kemalangan itu, seorang pegawai Polis Trafik berusia 32 tahun dilanggar oleh sebuah lagi kereta di simpang Anson Road dan Price Edward Road.

Pegawai wanita itu dibawa ke Hospital Besar Singapura, dalam keadaan sedar, menurut polis.

"Siasatan awal menunjukkan pemandu kereta itu adalah seorang lelaki berusia 36 tahun. Dia gagal memandu dengan selamat dan diberkas kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan," tambah polis.

Gambar dan video di laman Facebook kemalangan jalan raya Singapura menunjukkan polis menindih seorang suspek di pejalan kaki, dengan sebuah kereta berwarna perak kelihatan naik bendul jalan berdekatan. Bahagian depan kereta itu remuk. Seekor anjing polis juga berada di tempat kejadian.

Satu lagi gambar menunjukkan seoranag pegawai Polis Trafik terbaring di jalan raya.

Menurut polis, siasatan sedang dijalankan.

Sumber : CNA/NA/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa