Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 beradik kohort perintis SUSS gembira dapat konvokesyen secara serentak

Sepasang adik beradik menjadi antara 168 graduan dari kohort perintis yang mengikuti pengajian ijazah sepenuh masa Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sepasang adik beradik menjadi antara 168 graduan dari kohort perintis yang mengikuti pengajian ijazah sepenuh masa Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

BERITA bertemu dengan dua beradik itu bagi mengetahui kisah di sebalik perjalanan menamatkan pembelajaran di peringkat tinggi tersebut.

GENGGAM IJAZAH MESKI HADAPI RINTANGAN

Hari yang amat manis bagi keluarga Encik Mohamed Osman.

Manakan tidak, bukan satu tetapi dua orang anak perempuannya secara serentak menerima ijazah dari SUSS siang tadi (10 Okt).

Bagi anaknya yang bernama Sabariah itu, perjalanannya untuk menggengam segulung Ijazah Sains dalam Perniagaan, begitu mencabar.

Beliau menghadapi masalah rumahtangga, menjadi ibu tunggal, malah turut berdepan dengan masalah kewangan.

Malah beliau berkongsi kerana menghadapi pelbagai rintangan sejak lima tahun lalu, terdapat beberapa detik yang ingin membuatkannya berputus asa dan tidak ingin melanjutkan pembelajaran.

(Gambar: Ummu Rabbisyfina)

KAKAK SEKAMPUS SUMBER DORONGAN

Namun, berkat dorongan kakaknya, Cik Sabrina, yang juga menuntut di kampus yang sama, kedua-dua beradik itu akhirnya berjaya menamatkan pengajian mereka dan lulus dalam bidang pengajian masing-masing

Bagi membalas jasa kakaknya sejak empat tahun lalu, Cik Sabariah, membuat kejutan dengan merayu kepada SUSS meminta agar kakaknya itu dapat melalui konvokesyen pada hari yang sama.

Beliau akur tanpa dorongan dan sokongan keluarga dan rakan kerja, beliau tidak akan dapat menamatkan pembelajarannya sebagai graduan sepenuh masa.

"Banyak-banyak doa, kirakan banyak sokongan daripada keluarga, dorongan mereka yang paling utama sekali, mereka banyak menyokong dan beri saya dorongan.

"Saya turut mendapat sokongan daripada tempat kerja saya mereka di tempat kerja saya benar-benar memberi saya sokongan, mendorong saya untuk mendapat ijazah saya," kongsinya yang berkerja sebagai Pengurus Hubungan Pelanggan.

INGIN JADI INSPIRASI KEPADA IBU TUNGGAL LAIN

Anak ketiga itu turut berharap kisahnya ini dapat dijadikan sebagai dorongan dan sumber inspirasi kepada ibu muda lain yang menghadapi situasi yang sama sepertinya.

Berpegang teguh pembelajaran sepanjang hayat, Cik Sabariah berharap ibu tunggal lain tidak akan berhenti setengah jalan dalam mencari ilmu, malah mengambil 'nasib anak' sebagai sumber dorongan untuk sentiasa mempertingkatkan diri.

"Pesanan saya kepada mereka yang menghadapi situasi sama seperti saya ialah untuk cuba dulu dan ambil masa mengikut keupayaan anda.

"Jangan ingat walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran tidak boleh untuk menamatkan pelajaran, cuba dahulu semampu mungkin dan baru buat keputusan sendiri," tambahnya lagi.

AMBIL IJAZAH KEDUA BAGI KEKAL RELEVAN

Kedua-dua beradik itu merupakan antara hampir 170 graduan dari kohort perintis yang mengambil ijazah sepenuh masa di SUSS sejak ia dilancarkan pada 2014.

Program itu turut menyediakan peluang penempatan kerja yang disesuaikan dengan industri pekerjaan masing-masing.

Bagi Cik Sabrina sendiri yang bertugas sebagai guru bahasa Inggeris, ijazah kedua dalam bidang Bahasa Inggeris dalam Perniagaan, membolehkannya meningkatkan mutu pengajaran dalam bilik darjah, selain kekal relevan dalam sektor pendidikan.

"Saya seorang guru mengajar Bahasa Inggeris, jadi saya rasa saya ambil ijazah sarjana muda dalam bahasa Inggeris untuk lebih dapat menghargai bahasa Inggeris dengan lebih baik, dan mengajar anak-anak murid saya dengan lebih baik," katanya yang mempunyai empat orang anak.

Secara keseluruhannya, lebih daripada 2,000 graduan SUSS menerima ijazah masing-masing pada tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan