Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 bekas tahanan ini antara individu dijulang dengan Anugerah Menyambut Peluang Kedua Reben Kuning

Ini kisah dua orang bekas tahanan yang pernah 11 tahun masuk penjara. Walaupun pernah bergelar 'banduan', mereka kini membuktikan bahawa mereka adalah 'cahaya' yang menyumbang kembali kepada masyarakat secara positif.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ini kisah dua orang bekas tahanan yang pernah 11 tahun masuk penjara.

Walaupun pernah bergelar 'banduan', mereka kini membuktikan bahawa mereka adalah 'cahaya' yang menyumbang kembali kepada masyarakat secara positif.

Cik Kasmawati Kali Ubi, pernah meringkuk 11 tahun dalam penjara bagi enam kesalahan berlainan.

Namun, setelah keluar penjara enam tahun lalu, beliau berazam menjadikan sejarah silamnya sebagai sempadan.

Kini, ibu dua anak itu bekerja sebagai ahli terapi bagi pesakit angin ahmar demi menyara keluarganya.

Namun lebih dari itu, Cik Kasmawati menyumbang tenaga sebagai sukarelawan dengan melakukan lawatan rumah ke rumah, menghantar makanan kepada golongan memerlukan, serta menyokong bekas-bekas penagih dadah sepertinya.

"Saya ada buat amal dekat rumah orang-orang tua. Yang nombor dua, saya pergi ke rumah salah seorang klien yang mana suami dia pun ada dalam penjara, ada tujuh anak. Jadi bila saya kongsi dengan dia kehidupan saya sendiri, suami pun ada dalam penjara.

"Jadi dia rasa tenang kerana ada orang tahu apa yang dia rasa. Jadi dia gembira bila saya datang setiap kali saya datang beri barang dapur dia gembira kerana dia kata 'Kasma faham saya'," ujar Cik Kasmawati yang dinobat Penerima Sijil Pencapaian (Gangsa),

Encik Mohamed Nor Ismail, pula pernah terbabit dalam kancah dadah dan kumpulan samseng sehingga dipenjara 11 tahun pada 1990.

Tapi setelah bebas pada 2001, beliau mengubah haluan hidup dan kini menjadi peniaga berjaya selaku Pengarah Urusan Amani Weddings Pte Ltd - sebuah syarikat katering dan khidmat perkahwinan yang popular.

Namun demikian, beliau masih aktif menjadi sukarelawan di Rumah Peralihan Jamiyah dan berusaha membantu pemulihan penagih dadah.

Malah sumbangannya kini tidak terhad di dalam negeri sahaja.

"Saya ada mendirikan masjid dan sekolah untuk anak-anak miskin di Madura, Indonesia. Dan bersama saya ada dua kumpulan bekas pesalah atau ‘X-men’. Satu daripadanya ‘One Heart Brothers’ dan satu dari ‘Revive SG’. Matlamat kita sama. Untuk membantu mereka untuk mengubah hidup mereka, untuk kembali ke pangkal jalan," menurut Encik Mohamed Nor Ismail.

Jasa dan kesungguhan kedua-dua individu itu untuk bebas jenayah dijulang dengan Anugerah Menyambut Peluang Kedua Reben Kuning yang disampaikan Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin, pada Sabtu lalu.

Cik Kasmawati menerima Sijil Pencapaian Gangsa kerana bebas jenayah selama lebih lima tahun manakala Encik Mohamed pula menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang kerana bebas jenayah lebih 15 tahun.

Kesemuanya, 134 bekas banduan diiktiraf kerana sumbangan mereka kepada masyarakat.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa