Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 bekas pesalah ini antara 40 penerima anugerah SANA kerana bantu sebar mesej anti-dadah

Selepas dibebaskan daripada penjara untuk kali ketiga, Cik Norlinda Mohamad Yusof, 47 tahun berazam untuk mengubah hidupnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas dibebaskan daripada penjara untuk kali ketiga, Cik Norlinda Mohamad Yusof, 47 tahun berazam untuk mengubah hidupnya.

Berkat sokongan keluarga dan teman-teman, ibu lima orang anak itu sudah bebas dadah selama hampir 20 tahun.

"Kalau saya kecundang balik kepada dadah, manalah tahu anak saya pun akan ikut. Jadi untuk tidak lihat mereka terjebak dalam dadah, saya harus kuatkan diri saya jauh daripada dadah," kata Cik Norlinda, yang mula terjebak dengan dadah pada usia 11 tahun.

Beliau diperkenalkan kepada Persatuan Anti Narkotik Singapura (SANA) pada 2016 atas desakan temannya.

Sejak itu, beliau rajin menghadiri pelbagai kegiatan yang disediakan untuk membantu proses pemulihannya.

GIGIH BANTU REMAJA, IBU BAPA JAUHI DADAH

Terdorong untuk menyampaikan mesej cegah dadah, Cik Norlinda dilantik sebagai ketua kepada rakan-rakan yang melalui perjalanan hidup serupa, pada 2018.

"Ia telah membantu saya dan di sinilah saya cuba membantu masyarakat dan membina keyakinan diri," jelasnya.

"Sedihlah kalau kita tengok ini kan remaja sebaya dengan anak-anak kita yang terjebak dengan dadah dan melihat hidup mereka, saya rasa kenapa mesti ambil dadah. Kerana dadah akan memusnahkan hidup dan masa depan anda. Itu sebab saya ingin membantu mereka. Itu sebab saya mengambil peluang yang diberikan SANA untuk menjadi ketua kumpulan," kata Cik Norlinda.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Tukang masak sepenuh masa di sebuah pusat jagaan kanak-kanak bersyukur kerana majikannya sangat menyokong penglibatannya dalam kegiatan-kegiatan anti-dadah.

"Kita lakukan ini dengan rela hati. Kita nak bersama-sama jauhi dadah. Kita buat yang termampu sebab susah untuk membuka minda orang. Ada orang minda tak berapa menerima, yang ada minda boleh terima. Dan bila kita tengok mereka sudah bersih dan bahagia dan kita boleh lihat itu adalah satu pencapaian," jelasnya.

'TAK MALU' UNTUK KONGSI PENGALAMAN

Seorang lagi ketua kumpulan yang turut berkongsi hasrat yang sama ialah Encik Alif Harith, 57 tahun.

Beliau pertama kali mengambil bahan haram seawal usia 11 tahun lagi dan sudah tiga kali dipenjara.

Selepas dibebaskan daripada penjara lima tahun lalu, beliau menyumbang kembali dengan membimbing para banduan termasuk berkongsi pengalamannya menerusi ceramah-ceramah di sekolah.

"Apa yang saya pernah lalui saya akan menasihatkan anak muda kita dan akan memberitahu sikit lebih kurang bahayanya dadah ini kepada ibu bapa yang kurang berpengalaman tentang anak-anak muda yang menagih dadah," kata Encik Alif, bapa kepada dua orang anak.

Beliau dengan rela hati berkongsi pengalamannya secara terbuka, demi kebaikan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Tujuan saya ini untuk membantu. Sama ada mereka terima atau tidak terima, terpulang kepada diri mereka sendiri. Tapi apabila mereka berjaya, mereka akan rasa amat bahagia sekali. Hidup tanpa dadah," kata Encik Alif, seorang bapa kepada dua orang anak.

Kesungguhan dan jasa kedua-dua individu ini dalam usaha membanteras dadah diiktiraf dalam Majlis Anugerah Relawan dan Penderma SANA tahun ini.

Encik Alif dan Cik Norlinda dipilih antara 11 penerima Anugerah Ketua Kumpulan Terpuji.

Dengan pengiktirafan tersebut, ia membangkitkan lagi keyakinan dan semangat mereka untuk terus berbakti dalam usaha memerangi dadah.

Sebanyak 40 anugerah disampaikan tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan