Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 bekas pegawai penjara didakwa kongsi maklumat sulit dengan banduan

Dua bekas pegawai penjara pada Isnin (1 Nov) didakwa dengan tuduhan mengongsi maklumat sulit bersama dengan seorang banduan di Penjara Tanah Merah pada tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
2 bekas pegawai penjara didakwa kongsi maklumat sulit dengan banduan

Gambar fail gari tangan. (Gambar: Michelle Shephard/AFP)

Diterbitkan : 01 Nov 2021 12:17PM Dikemas Kini : 01 Nov 2021 12:20PM

SINGAPURA: Dua bekas pegawai penjara pada Isnin (1 Nov) didakwa dengan tuduhan mengongsi maklumat sulit bersama dengan seorang banduan di Penjara Tanah Merah pada tahun lalu.

Pada Oktober 2020, Abdul Karim Mohamed Kuppai Khan, seorang banduan berusia 35 tahun di Penjara Tanah Merah, didakwa menerima maklumat mengenai banduan lain di penjara tersebut sebanyak empat kali daripada Muhammad Zul Helmy Abdul Latip, seorang pegawai Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) berusia 33 tahun.

Maklumat itu termasuk usia banduan lain, alamat kediaman, tuduhan jenayah dan butiran mengenai waris dan anggota keluarga terdekat.

Karim juga dipercayai menerima maklumat mengenai lokasi beberapa banduan lain di penjara yang sama daripada pegawai SPS berusia 37 tahun, Muhammad Fattahullah Mohd Nordin, sebanyak enam kali pada 2020.

Karim dipercayai mengugut akan mencederakan keluarga seorang lagi banduan di penjara tersebut.

Helmy berdepan dengan empat tuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi, manakala Fattahullah menghadapi dua tuduhan, dengan satu daripada tuduhan-tuduhan itu sudah digabungkan.

Fattahullah juga didakwa di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer kerana mengakses data berkaitan lokasi banduan di Penjara Tanah Merah tanpa kebenaran pada 11 Okt 2020.

Atas tindakannya itu, Karim berdepan dengan enam tuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi, dengan satu daripada tuduhan-tuduhan itu sudah digabungkan dan satu tuduhan tambahan atas ugutan jenayah.

SPS sudah merujukkan kes tersebut kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).

"Singapura tidak akan bertolak ansur terhadap rasuah dan kegiatan jenayah yang lain," tegas CPIB dalam kenyataan medianya.

“CPIB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pesalah, termasuk pegawai awam yang menyalahgunakan kedudukan mereka dan mencemarkan nama baik Perkhidmatan Awam.”

Sesiapa disabit dengan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi boleh didenda atau dihukum penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Mereka yang didapati bersalah di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer boleh dikenakan denda atau hukuman penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi mereka yang didapati bersalah kerana melakukan ugutan jenayah, mereka boleh dikenakan denda atau dihukum penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa