Skip to main content

Singapura

2 bekas pegawai Certis dipenjara berhubung kes vape

Selepas disoal siasat oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) berhubung pengendalian rokok elektronik, atau vape, dan rokok yang diseludup, seorang pegawai polis Certis CISCO mengarahkan bekas rakan sekerjanya supaya membuang vape miliknya.

Anggaran Waktu Membaca:
2 bekas pegawai Certis dipenjara berhubung kes vape

Reggie Choo Beng Kwang (kiri) dan Tan Wee Keong (kanan) tiba di Mahkamah Negara pada 17 Julai 2026. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)

Diterbitkan : 17 Jul 2026 05:06PM
  • Tan Wee Keong dan Reggie Choo Beng Kwang, bekas pegawai Certis CISCO, dijatuhi hukuman penjara seminggu kerana menghalang proses keadilan berkaitan siasatan vape dan rokok seludup oleh CPIB di Singapura.
  • Tan mendedahkan maklumat siasatan kepada Choo dan menasihatinya membuang barangan berkaitan, manakala Choo membuang sekurang-kurangnya satu vape dan tiga pek pod vape.
  • Pihak pendakwa menegaskan tindakan mereka menunjukkan unsur perancangan awal, walaupun peguam Tan berhujah kesan tindakan itu adalah minimum.
  • Kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, namun mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seminggu selepas pengakuan bersalah.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Selepas disoal siasat oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) berhubung pengendalian rokok elektronik, atau vape, dan rokok yang diseludup, seorang pegawai polis Certis CISCO mengarahkan bekas rakan sekerjanya supaya membuang vape miliknya.

Bekas rakan sekerja terbabit kemudian membuang sekurang-kurangnya satu vape dan tiga pek pod vape.

Tan Wee Keong, 38 tahun, dijatuhi hukuman penjara seminggu pada Jumaat (17 Jul) selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan menghalang proses keadilan dengan mendedahkan maklumat berhubung siasatan CPIB dan menasihati bekas rakan sekerjanya supaya membuang barangan yang terbabit dalam siasatan tersebut.

Bekas rakan sekerjanya, Reggie Choo Beng Kwang, 33 tahun, turut dijatuhi hukuman penjara seminggu pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas tuduhan yang sama. Satu lagi tuduhan menghalang proses keadilan kerana memadam perbualan WhatsApp bersama Tan turut diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Tan merupakan Penolong Penyelia Penguatkuasaan Pasukan Polis Certis CISCO yang ditempatkan di Cawangan Kawal Selia Tembakau (TRB), Penguasa Sains Kesihatan (HSA), ketika kesalahan itu dilakukan. Dia kini tidak lagi bekerja dengan Certis CISCO.

Choo juga pernah bertugas di Cawangan Kawal Selia Tembakau sebelum meletak jawatan sebelum Mei 2022.

Kedua-duanya menjadi rakan pada 2018.

Sekitar Mei 2022, Tan mendapati Choo menggunakan vape dan pod vape.

Pada 26 Julai 2022, Tan disoal siasat oleh CPIB berhubung siasatan yang melibatkan pegawai Certis yang bertugas di Cawangan Kawal Selia Tembakau HSA serta pengendalian vape dan rokok seludup.

Para pegawai penyiasat mengarahkannya supaya tidak membincangkan siasatan tersebut dengan sesiapa, dan Tan bersetuju.

Namun, beberapa hari kemudian, Tan menghubungi Choo dan mendedahkan bahawa dia telah disoal siasat oleh CPIB.

Menurut dokumen mahkamah, Tan memberitahu Choo bahawa ramai individu ditangkap kerana memiliki vape, dan nama Choo turut disebut semasa soal siasat. Tan turut menasihatinya supaya berhenti menggunakan vape kerana ia "tidak baik untuk kesihatannya". Tan juga berkata kepada Choo bahawa ia adalah lebih baik jika Choo membuang barangan tersebut.

Menyedari bahawa dia juga mungkin sedang disiasat dan bimbang barangan tersebut akan ditemui, Choo membuang sekurang-kurangnya satu vape dan tiga pek pod vape antara Julai hingga Ogos 2022.

Timbalan Pendakwa Xavier Tan menggesa mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara terhadap kedua-dua lelaki itu.

Menurut beliau, walaupun kesalahan itu tidak begitu serius, hukuman penjara wajar dikenakan terhadap Tan kerana dia merupakan seorang pegawai penguat kuasa yang cuba melindungi kesalahan seorang lagi pegawai.

"Tertuduh tahu bahawa dia tidak sepatutnya membincangkan butiran siasatan, baik sebagai seorang pegawai penguat kuasa atau kerana dia sudah diberitahu secara langsung oleh CPIB dan bersetuju untuk tidak berbuat demikian.

"Namun dia tetap melakukannya. Tindakan itu bukan sesuatu yang spontan dan menunjukkan wujudnya unsur perancangan awal," kata pihak pendakwa.

Berhubung Choo pula, pihak pendakwa berhujah bahawa tertuduh mengetahui CPIB sedang menyiasat beliau dan bekas rakan sekerjanya, namun tetap membuang bahan yang berpotensi dijadikan sebagai bukti, sekali gus menunjukkan wujudnya unsur perancangan awal.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara antara dua hingga empat minggu bagi setiap tertuduh.

Peguam Tan, Riko Isaac, berhujah supaya anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara, sebaliknya didenda antara S$5,000 hingga S$7,000, atau sebagai alternatif, hukuman penjara tidak melebihi seminggu.

Encik Isaac berhujah di mahkamah bahawa anak guamnya tidak menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai Certis CISCO untuk melakukan kesalahan tersebut.

Hakikat bahawa dia merupakan seorang pegawai penguat kuasa ketika kesalahan dilakukan tidak bermakna dia secara automatik wajar dijatuhi hukuman penjara, kata Encik Isaac.

"Lebih-lebih lagi apabila kesan sebenar tindakan anak guam kami seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan adalah minimum atau boleh diabaikan," tambah beliau.

Choo, yang mewakili dirinya sendiri, memberitahu mahkamah bahawa dia memilih vape berbanding rokok biasa kerana dia sedang berusaha untuk "mengurangkan semuanya" demi kesihatan anak-anaknya.

"Saya satu-satunya lelaki di rumah sekarang, jadi saya memikul tanggungjawab besar terhadap dua anak saya dan ibu saya," kata Choo sambil merayu supaya dikenakan denda dan bukannya hukuman penjara.

Bagi kesalahan sengaja menghalang proses keadilan, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita