2 bangkai kapal karam bersejarah berserta artifak ditemui di perairan Singapura
Dua bangkai kapal bersejarah berserta artifak - termasuk seramik China dari abad ke-14 - ditemui di perairan Singapura berdekatan pulau Pedra Branca, yang terletak di titik paling hujung di timur Singapura.
SINGAPURA: Dua bangkai kapal bersejarah berserta artifak - termasuk seramik China dari abad ke-14 - ditemui di perairan Singapura berdekatan pulau Pedra Branca, yang terletak di titik paling hujung di timur Singapura.
Pada 2015, beberapa piring seramik ditemui secara tidak sengaja oleh penyelam komersial yang terlibat dalam operasi maritim, yang kemudian membawa kepada penemuan pertama kapal karam bersejarah kira-kira 100 m ke arah barat laut Pulau Pedra Branca.
Setahun kemudian, Lembaga Warisan Negara (NHB) menugaskan Unit Arkeologi ISEAS-Yusof Ishak Institute (ISEAS) untuk meninjau dan menyiasat lokasi tersebut, dan melakukan penggalian untuk mengeluarkan bangkai kapal dan barang-barang daripada bangkai kapal karam itu.
Operasi penerokaan itu yang dilakukan hingga 2019, membawa kepada pertemuan bangkai kapal bersejarah kedua sekitar 300 meter ke arah timur Pulau Pedra Branca. Penggalian untuk membawa keluar artifak dari bangkai kapal kedua dilakukan dari 2019 hingga pertengahan 2021.
KAPAL PERTAMA: BOLEH DIBANDING DENGAN PENGGALIAN EMPRESS PLACE PADA 2015
Kedua kapal karam itu berasal dari zaman yang berbeza, menurut penemuan ISEAS.
Bangkai kapal pertama mengandungi seramik China, dan mungkin berasal dari abad ke-14, ketika Singapura dikenali sebagai Temasek, menurut penyelidikan itu.
Beberapa penemuan utama termasuk piring dan mangkuk Longquan, dan balang. Serpihan mangkuk porselin biru-putih dengan motif bunga teratai dan peony dari dinasti Yuan juga ditemui dalam bangkai kapal karam itu.
Kapal tersebut mempunyai lebih banyak porselin biru-putih sebegitu berbanding "kapal karam lain yang pernah dirakam di dunia," kata Dr Michael Flecker, zamil pelawat dan pengarah projek Martime Archeology Projects di ISEAS.
"Kebanyakan daripada kepingan itu sangat jarang ditemui, dan salah satu di antaranya dipercayai adalah unik" katanya.
Kajian ISEAS juga mendapati bahawa perbandingan langsung dapat dibuat antara penemuan dari kapal karam pertama dan yang dilakukan daripada penggalian arkeologi di Empress Place yang dilakukan pada 2015 dan daripada penggalian sebelum ini di Taman Fort Canning.
MUATAN KAPAL KEDUA BERI GAMBARAN PERDAGANGAN DI S'PURA MASA LALU
Bangkai kapal kedua, menurut kajian ISEAS, kemungkinan adalah Shah Munchah, sebuah kapal dagang yang karam ketika berlayar dari China untuk kembali ke India pada 1796.
Artifak yang ditemui dari kapal karam itu merangkumi pelbagai artifak seramik dan bukan seramik China, seperti aloi tembaga, objek batu pasir batu akik, serta empat sauh dan sembilan meriam kapal. Meriam-meriam itu biasanya dipasang di kapal dagang yang digunakan oleh Syarikat Hindia Timur pada abad ke-18 dan awal abad ke-19, dan digunakan kebanyakannya untuk tujuan pertahanan dan memberi isyarat.
Antara penemuan penting bukan seramik dalam bangkai kapal kedua adalah serpihan balang yang menggambarkan motif naga; itik tembikar; patung-patung kepala Guanyin, "happy Buddha" dan anak lelaki pembawa tuah; patung-patung anjing dan makhluk laut Makara yang masih utuh; patung pasangan China yang memegang kipas dibuat daripada porselin putih; dan patung kuda Qingbai dengan penunggang sisi.
"Sekiranya kapal itu bertahan 23 tahun lagi, ia pasti akan berlabuh di pelabuhan Singapura yang telah ditubuhkan semula. Kargo yang sangat pelbagai ini memberikan gambaran mengenai jenis barangan yang akan diperdagangkan oleh penduduk baru di kota yang baru ini," jelas Dr Flecker.
PEMULIHARAAN DAN KEPENTINGAN SEJARAH
Setelah kandungan garam dikeluarkan melalui proses penyahgaraman, artifak perlu dibersihkan, dipulihara dan dicatat dengan teliti. Penyelidikan dan dokumentasi mendalam juga perlu dilakukan.
Setelah pemuliharaan, kajian dan dokumentasi selesai, NHB akan berusaha mempamerkan artifak di muziumnya pada hujung 2021.
Laporan dan kajian arkeologi juga mungkin diterbitkan oleh ISEAS. Institut tersebut juga boleh mengadakan ceramah untuk orang ramai.
Ditanya mengapa masyarakat umum harus mengambil berat tentang kapal karam bersejarah ini pada masa sekarang, Encik Yeo Kirk Siang, pengarah Kajian dan Penilaian Warisan NHB, memberitahu Mediacorp:
"Apa yang penting adalah ia mendedahkan sebahagian daripada sejarah kita sebelum tahun 1819. Bahagian itu kurang diketahui setakat ini. Dengan setiap penemuan, ini memperkaya pemahaman kita. Sejarah Singapura jelas berkaitan dengan perdagangan maritim kita - pada masa lalu dan bahkan ke hari ini. "
Encik Yeo menambah bahawa memahami sejarah kita sangat membantu kita memahami masa kini kita.
"Memahami sejarah maritim kita membantu kita memahami hubungan Singapura, konteks kita dan kedudukan kita di mata dunia, lokasi geografi kita, mengapa ia penting, apa sebab kewujudan kita, dan apa sebab kejayaan kita," katanya.
"Sekiranya kita dapat memahami masa lampau kita, itu memberi kita pemahaman yang lebih menyedari tentang dunia yang kita hadapi sekarang."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.