2 'atuk' ini aktif jadi sukarelawan sehingga terima Anugerah Hari Kebangsaan
Pada usia 72 tahun, Encik Zulkefle Abdul Rahman masih ligat bergerak ke sana sini. Sejak lebih tiga bulan lalu, beliau malah hampir setiap hari melakukan perjalanan dari rumahnya di Sengkang ke Kampong Chai Chee.
SINGAPURA: Pada usia 72 tahun, Encik Zulkefle Abdul Rahman masih ligat bergerak ke sana sini. Sejak lebih tiga bulan lalu, beliau malah hampir setiap hari melakukan perjalanan dari rumahnya di Sengkang ke Kampong Chai Chee.
Ini semata-mata demi mengerakkan usaha menggalak lebih ramai warga emas supaya menjalani vaksinasi COVID-19.
Beliau banyak mengetuk pintu rumah para penduduk di Kampong Chai Chee.
"Saya memberitahu mereka yang saya sudah 72 tahun, ini sijil yang menunjukkan saya sudah menjalani vaksinasi. Jangan ragu, mari kita sama-sama ke hadapan," kongsi Encik Zulkefle kepada BERITAmediacorp tentang 'pujukan-pujukan' yang beliau lakukan kepada warga tua lain.
(Gambar-gambar: Zulkefle Abdul Rahman)
Semestinya, apa yang dilakukan Encik Zulkefle layak dipuji, apatah lagi di tengah-tengah pandemik sekarang ini. Ini bagaimanapun hanyalah salah satu cara beliau menabur bakti kepada masyarakat. Banyak lagi yang pernah diusahakannya sebagai sukarelawan akar umbi.
Maka tidak hairanlah, Encik Zulkefle dianugerahi Bintang Bakti Masyarakat (Lintang), iaitu Anugerah Hari Kebangsaan tertinggi yang disampaikan kepada seseorang individu Melayu/Islam kali ini.
Bekas Pengawal Operasi Toppan Security Printing yang sudah bersara itu sebelum ini juga pernah dianugerahi Pingat Bakti Masyarakat dan Bintang Bakti Masyarakat.
SUKA TOLONG-MENOLONG SEJAK LEBIH 30 TAHUN LALU
Perjalanan Encik Zulkefle Abdul Rahman sebagai sukarelawan akar umbi bermula lebih 30 tahun lalu.
Pelbagai kegiatan dianjurkan bagi para penduduk Kampong Chai Chee - baik untuk penduduk Melayu, mahupun kaum lain - walaupun beliau juga sibuk bekerja.
"Waktu itu saya baru berpindah dari kampung. Semua penduduk dari kampung lain. Jadi terfikir bagaimana kita boleh menghidupkan kembali suasana seperti di kampung. Untuk masyarakat Melayu/Islam pada masa itu, saya banyak menganjurkan kenduri-kendara. Kalau ada yang dalam kesusahan ataupun ada kematian, (tidak kira Cina atau India) mereka jumpa saya. Saya bantu uruskan," ceritanya.
"Memang sifat saya semula jadi itu suka menolong. Saya sekarang duduk di Sengkang, kadang-kadang saya balik ke Chai Chee, tempat saya bermula. Orang-orang lama kalau nampak mereka sapa: 'Eh Encik, you are still around ah. How are you? Happy?' (anda masih datang ke sini? Apa khabar?"
Encik Zulkefle juga banyak membantu menghubungkan keluarga kurang bernasib baik kepada agensi-agensi Pemerintah.
Walaupun sudah bersara empat tahun lalu dari tugas sepenuh masa, beliau belum lagi bersedia untuk bersara daripada melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee itu sebaliknya ingin membimbing anak-anak muda supaya melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan.
"Saya ingin mereka ke hadapan dan saya akan bimbing mereka sampai mereka boleh berjaya, berjalan sendiri. Saya memberitahu pegawai lain, jangan khuatir. Selagi saya sihat, selagi saya mampu bergerak, insyaAllah saya akan teruskan kerja saya," ujar Encik Zulkefle.
MD YUSOFF YACOB TERIMA BINTANG BAKTI MASYARAKAT
Bagi Anugerah Bintang Bakti Masyarakat, seramai lima anggota masyarakat Melayu/Islam menjadi penerimanya tahun ini.
Salah seorang daripada mereka ialah Encik Mohammad Yusoff Yacob. Pengarah di sebuah syarikat keselamatan itu sudah 15 tahun menyumbang kepakarannya menerusi Persatuan Rakyat.
Encik Yusoff (tiga dari kanan) bersama para sukarelawan lain.
Misalnya, demi memastikan korban jiwa tidak berlaku dalam insiden kecemasan, beliau sejak sedekad lalu giat menganjurkan latihan kecemasan di merata GRC Ang Mo Kio. Latihan itu sebenarnya cukup besar yang mana ia turut melibatkan Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Usaha sebegini beliau terajui tiga tahun sekali sepanjang 10 tahun menjadi Pengerusi, Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kecemasan dan Pendampingan Masyarakat.
"Ada yang berkata: Encik, itu hari saya tidak ada rumah. Kalau hari itu saya ada di rumah, tak perlu panggil SCDF, tak perlu panggil polis," cerita Encik Yusoff sambil tertawa. Hakikatnya beliau bangga bahawa latihan kecemasan yang diasuhnya itu sudah membuahkan hasil sehingga para penduduk yakin untuk menyahutnya jika berlaku insiden kecemasan.
CARI CARA TERUSKAN USAHA
Biarpun acara seperti ini terhenti disebabkan pandemik sekarang, datuk berusia 62 tahun ini sebaliknya mencari cara menganjurkannya secara maya pula.
"Antaranya kita anjurkan Latihan Pertolongan Kecemasan dengan seorang jurulatih. Jurulatih akan mengajar para peserta secara online, cara untuk membalut kepala misalnya," tambah beliau.
Selain itu, Encik Yusoff juga masih melakukan lawatan dari rumah ke rumah untuk meningkatkan kesedaran penduduk tentang cara-cara bertindak dalam situasi kecemasan.
Diminta mengulas tentang pengiktirafan yang diterimanya sempena Hari Kebangsaan kali ini, ini kata Encik Yusoff:
"Saya bersyukur dan saya berharap dapat memberi contoh kepada masyarakat umum agar terus menyertai kegiatan berkaitan keselamatan. Ini adalah kunci untuk menjamin dan menjaga keselamatan Singapura pada waktu-waktu kecemasan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.