Skip to main content

Singapura

2 AP WP Sengkang, mantan AP Hougang tubuh panel disiplin teliti tingkah laku Pritam

Panel disiplin Parti Pekerja (WP) yang akan mengkaji kelakuan setiausaha agung WP Pritam Singh terdiri daripada Anggota Parlimen (AP) He Ting Ru dan Jamus Lim, serta mantan AP Hougang Png Eng Huat.
Anggaran Waktu Membaca:
2 AP WP Sengkang, mantan AP Hougang tubuh panel disiplin teliti tingkah laku Pritam
Panel disiplin Parti Pekerja (WP) yang akan mengkaji kelakuan setiausaha agung WP Pritam Singh terdiri daripada Anggota Parlimen (AP) Jamus Lim (kiri), He Ting Ru (tengah) serta mantan AP Hougang Png Eng Huat (kanan).
Diterbitkan : 20 Jan 2026 08:26PM Dikemas Kini : 20 Jan 2026 08:30PM
SINGAPURA: Panel disiplin Parti Pekerja (WP) yang akan mengkaji kelakuan setiausaha agung WP Pritam Singh terdiri daripada Anggota Parlimen (AP) He Ting Ru dan Jamus Lim, serta mantan AP Hougang Png Eng Huat.

Demikian yang diketahui Mediacorp baru-baru ini.

Pendedahan ahli panel itu juga mendedahkan siapa yang akan menentukan nasib politik setiausaha agung parti pembangkang itu, yang sabit kesalahan pada tahun lalu kerana berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).

Panel disiplin 2021 yang menyiasat mantan AP WP Raeesah Khan kerana berbohong di parlimen terdiri daripada Encik Pritam, pengerusi parti Sylvia Lim dan naib pengerusi Faisal Manap - semua anggota kanan kini terpalit dalam kontroversi tersebut.

Parlimen meluluskan usul minggu lalu yang bersetuju bahawa penghakiman Mahkamah Tinggi terhadap Encik Pritam membawa implikasi ke atas Cik Lim dan Encik Faisal, yang perlu dipertimbangkan secara berasingan.

Cik He berkhidmat sebagai bendahari parti, manakala Prof Madya Lim adalah timbalan ketua penyelidikan dasar.

Kedua-dua mereka merupakan AP GRC Sengkang.

Encik Png, yang merupakan AP untuk kubu parti itu di Hougang dari 2012 hingga 2020, meninggalkan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti pada 2022.

Penyertaan Encik Png adalah luar biasa, kerana panel sedemikian biasanya hanya terdiri daripada anggota CEC - badan pembuat keputusan tertinggi parti - menurut mantan dan ahli kader parti sedia ada.

Anggota panel jarang didedahkan secara terbuka.

"Dalam semua insiden lalu, panel terdiri daripada anggota CEC," kata seorang kader parti, yang meminta supaya identitinya tidak dikenal pasti.

Kader parti tersebut mencadangkan supaya Encik Png dimasukkan dalam panel itu, walaupun beliau bukan anggota CEC sekarang, mungkin kerana beliau "berpengaruh" sebagai seorang mantan AP.

TEMPOH TIGA BULAN BAGI SIASATAN

Parti tersebut berkata pada awal bulan ini bahawa sebuah panel disiplin akan dibentuk untuk menentukan sama ada Encik Pritam melanggar perlembagaan Parti Pekerja (WP).

CEC menetapkan tempoh tiga bulan untuk menyelesaikan siasatan itu.

Mediacorp sebelum ini melaporkan lebih 20 kader menandatangani surat meminta persidangan khas pada Februari, di mana kedudukan Encik Pritam sebagai ketua parti boleh dibincangkan.

Walau bagaimanapun, CEC memutuskan persidangan itu hanya akan diadakan selepas proses disiplin selesai, sambil menyebut keperluan bagi proses yang sewajarnya.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri Lawrence Wong melucutkan Encik Pritam sebagai Ketua Pembangkang, sehari selepas parlimen mengundi beliau tidak sesuai untuk meneruskan peranan tersebut berikutan sabitan kesalahannya.

Encik Wong turut mempelawa Parti Pekerja (WP) untuk mencalonkan AP dipilih yang lain untuk mengisi peranan tersebut.

Pemerhati politik berkata parti itu berkemungkinan akan menunggu hasil siasatan disiplin sebelum memutuskan langkah seterusnya.

Mediacorp sudah pun menghubungi parti dan tiga anggota panel tersebut untuk memberi komen.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita