2 AP Melayu tekankan peri penting sokong pekerja pelbagai latar belakang
Dua AP Melayu berucap di Parlimen hari ini (14 Okt)menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat minggu lalu.
SINGAPURA: Dua AP Melayu berucap di Parlimen hari ini (14 Okt)menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat minggu lalu.
Encik Sharael Taha dan Encik Fahmi Aliman menekankan peri pentingnya pemerintah terus menyediakan sokongan kepada golongan pekerja dari setiap latar belakang.
Semasa berucap, Encik Fahmi berkata golongan pekerja bergaji rendah perlu diberikan lebih banyak bantuan dalam masa-masa sukar ini.
Encik Fahmi berharap beberapa usaha dapat dipertingkatkan seperti melanjutkan Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) hingga tahun depan.
Mentelah lagi, katanya, skim seperti JSS sudah mampu mengekalkan lebih daripada separuh jumlah pekerjaan yang ada.
"Pemerintah harus mempertimbangkan untuk memperluas JSS melampaui Mac 2021 terutamanya di industri-industri di mana kesan COVID-19 lebih terasa. Sebilangan besar industri ini adalah industri yang mempunyai sebahagian besar pekerja bergaji rendah seperti sektor runcit ataupun sektor makanan dan minuman," ujar Encik Fahmi.
Sementara itu, AP GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha menekankan peri perlunya memastikan sumber pendapatan para penduduk dilindungi.
Beliau berkata pelbagai pengajaran boleh diambil daripada pandemik COVID-19 dan diterapkan dalam Pelan Transformasi Industri.
Ini termasuk perubahan kepada struktur pekerjaan disebabkan keperluan bekerja dari rumah, mempercepatkan pelaksanaan Model Gaji Progresif (PWM) bagi industri-industri tertentu dan menggalak orang ramai mendapatkan kemahiran relevan serta merebut peluang-peluang yang ada.
"Kita harus belajar daripada pengalaman ini dan mereka semula pekerjaan untuk menyediakan pertumbuhan inklusif bagi tenaga kerja yang lebih berusia dan yang kurang upaya. Kita perlu menyediakan peluang pekerjaan saksama bagi warga tua, golongan kurang upaya serta pemberi jagaan yang mencari pekerjaan," menurut Encik Sharael Taha.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.