Skip to main content

Singapura

2 anggota sindiket China curi barang kemas bernilai S$570,000 di kediaman Windsor Park

Anggaran Waktu Membaca:
2 anggota sindiket China curi barang kemas bernilai S$570,000 di kediaman Windsor Park

(Gambar: Singapore Police Force)

Diterbitkan : 17 Dec 2024 11:39PM
SINGAPURA: Dua lelaki daripada sebuah sindiket jenayah di China memanjat pagar sebuah rumah di Windsor Park Road dan mencuri barang kemas bernilai S$570,000.

Long Zhihua, 38 tahun dan Luo Changchang, 44 tahun, ditangkap sebelum mereka pulang ke China, namun pihak berkuasa tidak berjaya menemukan barangan kemas bernilai S$390,000 milik mangsa, seorang wanita berusia 53 tahun.

Kedua-dua lelaki itu, yang merupakan warganegara China, mengaku bersalah pada Selasa (17 Dis) atas satu tuduhan memecah masuk rumah.

Long didakwa dengan satu lagi tuduhan memiliki barangan yang dicuri, yang akan dipertimbangkan dalam menentukan hukuman.

Menurut dokumen mahkamah, kedua-dua lelaki ini adalah anggota sindiket jenayah daripada China. Mereka datang ke Singapura dengan tujuan untuk memecah masuk rumah untuk mencuri.

Sekurang-kurangnya lima warganegara China daripada sindiket yang sama berada di Singapura sekitar Jun tahun ini bagi tujuan yang sama.

Satu siri kes pecah masuk rumah dilaporkan awal tahun ini, dengan 10 kes dilaporkan berlaku di estet-estet kediaman privet di sekitar Koridor Rel dan Bukit Timah Road antara awal Jun dan Ogos tahun ini.

Barangan yang dicuri dalam kes-kes berkenaan bernilai sebanyak S$3.85 juta, dengan hanya sejumlah yang ditemui semula.

Long dan Luo dikaitkan dengan kes-kes ini. Seorang lagi lelaki warganegara China, Wu Jinxing, dipenjara tujuh bulan pada Isnin (16 Dis) setelah mengaku bersalah memiliki hasil daripada kelakuan jenayah daripada seorang lagi individu.

MEMILIH RUMAH MANGSA

Long tiba di Singapura pada 19 Jun lalu manakala Luo tiba dua hari kemudian. Kedua-duanya memiliki tiket pulang ke China pada 29 Jun, dan berkongsi sebuah bilik di Four Chains Hotel di sini.

Pada malam 21 Jun, mereka meninggalkan bilik hotel dan ke estet perumahan di Windsor Park Road di kawasan Upper Thomson, yang mempunyai rumah-rumah privet termasuk 'Good Class Bungalow'.

Mereka meronda kawasan estet itu dan melihat rumah-rumah yang boleh dipecah masuk.

Mereka memerhatikan bahawa rumah mangsa tidak ada lampu yang terbuka dan bahawa mereka boleh memanjat pagar yang tinggi melebihi 1 meter. Mereka berbuat sedemikian sektar jam 7.40 malam.

27 barang kemas yang dicuri termasuk anting-anting, penyepit rambut dan loket batu permata, daripada sebentuk cincin emas kecil bernilai S$200 hingga sepasang anting-anting zamrud bernilai S$100,000.

Secara keseluruhan, kesemua barang kemas yang dirampas bernilai S$570,000.

Pihak berkuasa mengesan Long dan Luo melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari hartanah berhampiran, dan kedua-duanya ditahan pada 26 Jun.

Beberapa barang kemas mangsa yang ditemui di dalam bilik hotel telah dirampas, tetapi yang lain dengan yang bernilai sebanyak S$390,200 masih belum ditemui.

Kedua-duanya ditahan reman sejak ditangkap.

Timbalan Pendakwa Raya Kathy Chu berkata bahawa Long dan Luo "sebahagiannya memberi kerjasama" kerana mereka mengenal pasti rumah yang mereka pecah masuk dan juga mendedahkan bahawa beberapa barang kemas yang diambil dari bilik hotel mereka datang dari rumah lain di kawasan yang sama.

Hukuman telah ditangguhkan ke 16 Jan.

Bagi kesalahan pecah masuk rumah, setiap lelaki boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, dan denda.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita