Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 anggota NSF dikenakan probesen, curi kad Pokemon bernilai $970

Setelah berjaya mencuri sejumlah kad permainan Pokemon dari sebuah kedai cenderamata di pusat beli-belah Tanglin Mall pada 12 Jun tahun lalu, dua anggota Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa memutuskan untuk mencuri lebih banyak kad sekurang-kurangnya lagi dua kali.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setelah berjaya mencuri sejumlah kad permainan Pokemon dari sebuah kedai cenderamata di pusat beli-belah Tanglin Mall pada 12 Jun tahun lalu, dua anggota Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa memutuskan untuk mencuri lebih banyak kad sekurang-kurangnya lagi dua kali.

Namun perbuatan mereka akhirnya terbongkar pada 18 Jun.

Apabila mereka diberkas, kedua-dua individu yang berusia 20 tahun itu, sudah mencuri kad-kad Pokemon yang keseluruhannya bernilai hampir S$970.

Pada Rabu (12 Jan), salah seorang tertuduh, Benjamin Chua Yuu Zhe, dijatuhi hukuman probesen selama 12 bulan oleh mahkamah daerah dan turut diarahkan untuk melakukan 40 jam khidmat masyarakat.

Chua mengaku bersalah atas tiga tuduhan berkaitan mencuri pada 10 November tahun lalu, dengan lagi sembilan tuduhan serupa diambil kira dalam menentukan hukuman.

Datuk kepada Chua pula membayar ikat jamin S$5,000 bagi memastikan kelakuan baik cucunya.

Seorang lagi tertuduh, Joshua Marcus Lee Zhanhong, turut dikenakan hukuman serupa pada 8 Disember, setelah mengaku bersalah atas tuduhan serupa.

Kedua-dua lelaki sudahpun membuat bayaran semula secara penuh.

KES JENAYAH

Pegawai Pendakwa Negara (SPO) Ting Nge Kong memberitahu mahkamah bahawa rakaman kamera litar tertutup di sebuah kedai di Tanglin Mall menunjukkan kedua-dua lelaki itu mencuri beberapa kotak kad permainan Pokemon dan menyembunyikannya dalam beg masing-masing sedang mereka berjalan keluar daripada kedai itu pada petang 12 Jun.

Barang-barang yang dicuri berharga antara S$54.90 dengan S$249.90 - iaitu harga bagi sekotak kad permainan bernama "Sword & Shield".

Pada 14 Jun, kedua-dua individu itu mengunjungi sebuah kedai Pokemon Centre di pusat beli-belah Jewel di Lapangan Terbang Changi dan mencuri kad permainan bernilai lebih S$199 menggunakan modus operandi yang serupa.

Mereka kemudian kembali ke kedai yang sama dua hari kemudian pada 16 Jun dan mencuri lebih banyak kad bernilai S$270.

Seorang pengurus kedai yang melihat terdapat barang-barang hilang daripada kedainya, membuat aduan polis setelah menyemak rakaman kamera litar tertutup.

Chua dan Lee kemudian diberkas pada 18 Jun, apabila mereka kembali ke kedai yang sama dengan niat untuk mencuri.

Bagi setiap tuduhan mencuri, Chua dan Lee boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan