2 anggota bomba SCDF dibawa ke hospital susuli kebakaran rumah kedai Outram
Dua anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dibawa ke hospital menyusuli kebakaran di sebuah rumah kedai di Outram pada pagi Selasa (15 Jun).
(Gambar: Facebook/SCDF)
SINGAPURA: Dua anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dibawa ke hospital menyusuli kebakaran di sebuah rumah kedai di Outram pada pagi Selasa (15 Jun).
Menurut SCDF, pihaknya dimaklumkan tentang kebakaran di 31 Teo Hong Road itu pada sekitar 11.15 pagi.
Asap tebal keluar dari rumah kedai itu apabila pasukan SCDF tiba di tempat kejadian. Para anggota bomba dilengkapi dengan alat pernafasan sebelum memasuki unit berkenaan.
Api di siling tingkat tiga dan loteng rumah kedai itu berjaya dipadamkan menggunakan tiga jet air pada sekitar 1.15 tengah hari. Tangga Platform Gabungan juga digunakan untuk memadamkan kebakaran tersebut dari kawasan tinggi, menurut SCDF.
"Dua anggota bomba sepenuh masa sedang melakukan operasi memadamkan kebakaran di tingkat tiga apabila sebahagian siling jatuh menimpa mereka. Kedua-dua anggota bomba, yang dilengkapi dengan alat perlindungan diri termasuk topi keledar, segera dikeluarkan dari tempat kejadian,” menurut SCDF.
Kedua-dua anggota bomba itu dinilai oleh pasukan paramedik SCDF. Seorang daripada mereka dalam keadaan sedar ketika dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) sementara seorang lagi dirawat di tempat kejadian kerana mengalami calar kecil.
Seorang lagi anggota bomba, iaitu seorang anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF), mengalami kelesuan haba dan beliau juga dibawa ke SGH.
Para penghuni rumah kedai telah "meninggalkan" tempat kejadian sebelum SCDF tiba di sana, sementara kira-kira 20 penghuni lain dari unit-unit berdekatan dipindahkan oleh SCDF sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut SCDF, operasi lanjut sedang dijalankan. Operasi lanjut itu merujuk kepada proses menyembur air pada permukaan yang terbakar bagi mencegah berlaku kebakaran dari permukaan yang panas.
Punca kebakaran sedang disiasat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.