Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 anak muda bekas tahanan ISA kongsi pengalaman jadi radikal, jalani pemulihan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Apr 2023 07:52PM Dikemas Kini : 30 Apr 2023 10:47PM

SINGAPURA: Rasa ingin tahu dan akses yang mudah kepada bahan radikal di wadah online adalah dua perkara utama yang mempengaruhi dua orang belia ke arah ekstremisme agama.

Mereka adalah antara 11 belia yang dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 2015. 

Kedua-dua belia lelaki itu sudahpun kembali ke pangkuan masyarakat selepas menjalani pemulihan intensif selama beberapa tahun.

Dalam laporan-laporan berikut, wartawan Mediacorp bertemu dengan kedua-dua belia itu yang menceritakan kesilapan-kesilapan mereka. 

"Hamzah", bukan nama sebenar, mula menjadi radikal secara sendiri lebih sedekad lalu apabila masih berada di sekolah menengah. 

"Saya masih ingat lagi apabila ISIS mendapat liputan merata dalam berita. Saya sebenarnya ingin tahu tentang mereka kerana mereka mengatakan mereka mewakili Islam, Muslim. 

"Dari situ, saya mula menonton video yang ada kaitan dengan ISIS. Saya akan menonton video ceramah untuk tempoh masa yang sangat lama, mungkin sehingga lima jam dalam sehari. Dan saya masih ingat lagi secara keseluruhannya, saya menonton lebih 500 video radikalisme," kongsi "Hamzah".

"Ia semacam proses bertahap-tahap di mana kadangkala seseorang penceramah itu akan bercakap tentang orang yang dibunuh di Syria. Kita sepatutnya harus mempertahankan diri dan berjuang untuk mengembalikan Islam seperti sebelumnya, yang berkembang maju. 

"Jadi pada masa itu, ia menjejas emosi saya. Ia memberi saya semangat untuk membantu mereka, untuk berjuang bersama mereka," tambah "Hamzah" lagi.

Selepas menonton bahan-bahan radikal secara online, dia membuat keputusan dan mempersiapkan dirinya dari segi mental untuk menyertai ISIS.

"Sebagai seorang manusia, saya bukan seseorang yang ganas, tetapi saya cuba menonton video tentang pemenggalan kepala dengan sebanyak mungkin agar saya lali dengannya. 

"Saya menyemak tiket penerbangan dan juga peta mengenai cara untuk memasuki Syria. Selain itu, saya sebenarnya cuba untuk mempengaruhi orang lain tentang kepercayaan saya terhadap ISIS," kata "Hamzah". 

Keluarga "Hamzah" bagaimanapun tidak begitu sedar bahawa dia adalah seorang penyokong tegar ISIS kerana menurutnya, dalam kalangan keluarga, dia tidak bercakap secara terbuka tentang keinginannya untuk menyertai ISIS. 

"Saya masih ingat ada orang yang memberi amaran topik ini agak sensitif dan jangan bercakap tentangnya. Namun bagi saya, saya sudah amat dipengaruhi dan saya tidak peduli dengan apa yang orang katakan."

Seorang lagi belia iaitu "Saad" menjadi radikal pada 2014. 

"Saad" berkongsi, dia tidak bersetuju dengan pandangan seorang penceramah yang datang ke sekolahnya untuk menyampaikan ceramah tentang usaha memerangi pengganasan. 

"Dia menyebut tentang Hadis, al-Quran, semua berkenaan Jihad adalah salah. Dari situlah saya mula berasa ingin tahu dan saya mula melakukan penyelidikan sendiri. Saya menyelidik dengan mendalam tentang siapakah ketuanya, misalnya Abu Bakr al-Baghdadi, dia yang mempunyai personaliti berkarisma, watak yang lebih mempengaruhi saya. Bukan itu sahaja, dia juga mempunyai kelayakan akademik yang saya sanjungi," kongsi "Saad".

Bapa "Saad" adalah orang pertama yang memberitahunya ajaran ISIS itu adalah salah tetapi dia tidak mendengar nasihatnya. 

"Sebab saya mudah terpengaruh dengan penceramah-penceramah itu yang lebih berkarisma dan memiliki penampilan yang baik. Terdapat ramai anggota di Facebook. Jadi, para anggota yang pro ISIS, mereka biasanya akan berkongsi, berkongsi semula (video, catatan). Pada masa itu, saya berpendapat berkongsi apa yang mereka lakukan adalah betul."

Pihak berkuasa kemudian berjaya menjejak kedua-dua belia itu dengan "Hamzah" dikenakan arahan tahanan pada 2015, sementara arahan sekatan dikenakan terhadap "Saad" pada 2016.

Kedua-dua belia itu menceritakan rasa terperanjat mereka apabila ditangkap, selain berkongsi perjalanan mereka menjalani pemulihan. 

"Saya tidak sangka akan ditangkap, jadi saya lebih tergamam dan terperanjat mereka dapat tahu. Saya disoal siasat dan saya fikir selepas beberapa hari saya akan dibebaskan. Tapi tidak. Kerana mereka beritahu saya sudah teruk dipengaruhi.

"Mereka jelaskan apa yang saya lakukan, apa kesalahan saya. Tapi pada waktu itu saya masih percaya bahawa apa yang saya lakukan adalah betul," kata "Hamzah". 

Kedua-dua "Saad" dan "Hamzah" melalui pelbagai kaunseling keagamaan dan psikologi dibantu oleh para pegawai kes.

"Hamzah" berkongsi: "Saya juga ada seorang mentor. Namanya Encik Salim. Beliau membantu saya semasa tempoh-tempoh sukar terutama ketika dalam tahanan. Beliau bantu saya dari segi kemahiran hidup peribadi. 

"Pada waktu itu juga saya juga sedang mengambil GCE "O". Beliau membantu saya dan membimbing saya bagi GCE "O".

Bagi "Saad" pula, semasa dikenakan arahan sekatan (RO), dia turut menjalani sesi perseorangan dengan kaunselor keagamaan, Ustaz Helmi dari Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG). Sesi itu membantu dirinya menghuraikan keraguan-keraguan, terutama sekali pertanyaannya mengenai salah fahaman berkaitan jihad. 

"Di situlah beliau menjelaskan dengan baik dan saya faham selepas beliau terangkan. Beliau seorang Ustaz yang lemah lembut. Adab beliau juga sangat baik bagi saya dan saya percaya disebabkan cara pertuturan beliau, beliau ada kewibawaan, ini meyakinkan saya," ujar "Saad". 

Menurut Ustaz Ahmad Helmi, beliau bertemu dengan "Saad" empat kali setahun semasa dia di bawah perintah sekatan.

"Apa yang saya lihat dari "Saad" selepas beberapa pertemuan adalah dia bersedia untuk memahami dan menghayati perbezaan-perbezaan pandangan yang ada dalam tradisi ilmu Islam, yang mana pada awalnya dia agak tertutup ataupun agak keras pada satu pandangan.

"Khususnya bagi golongan muda dan belia, saya kira mereka memang secara nalurinya ada persoalan, mencari jawapan. Jadi itu adalah satu perkara yang bagus sebenarnya,sepatutnya digalakkan dan galakan tersebut perlu ditambah baikkan dengan dorongan untuk bertanya kepada saluran-saluran yang betul," kata Ustaz Ahmad Helmi. 

Kini, demi mencegah lebih ramai lagi belia daripada menjadi seperti "Hamzah" dan "Saad", Ustaz Helmi mengajak masyarakat agar menambah lagi usaha pencegahan.

Dalam bahagian ketiga laporan mengenai radikalisasi di Singapura, dua belia yang ditemui wartawan Mediacorp berkata, mereka menyesali perbuatan mereka.

"Hamzah" dan "Saad" menggesa para belia lain agar mempelajari daripada kesilapan mereka. 

Mereka juga menekankan sistem sokongan yang baik membantu meletakkan mereka ke laluan yang betul. 

"Secara perlahan-lahan, saya mula lebih akur dengan pengajaran itu, dengan cara pengajaran yang betul. Walaupun saya menonton video keagamaan, saya dapat mengamalkan pemikiran kritis untuk menentukan sumbernya, apakah jenis video itu, apa yang mereka lakukan, apakah motif di sebaliknya. Mereka tahu saya mampu berdikari dan cukup berdisplin untuk menentukan apa yang betul dan apa yang salah," kongsi "Hamzah" kepada wartawan Mediacorp. 

"Hamzah" juga berkongsi dia menyesali perbuatannya.

"Sudah tentu ada rasa menyesal dan saya tidak menganggap diri saya sebagai orang yang jahat. 

"Mengapa saya melakukan wawancara ini adalah kerana ada ramai anak muda yang sebenarnya mudah dipengaruhi oleh propaganda online dan saya berharap mereka akan berfikir panjang sebelum menjalani proses radikalisasi kerana mereka perlu berfikir panjang. Mereka tidak mahu keluarga mereka melalui kesusahan seperti ini dan saya pasti mereka sendiri tidak mahu melalui kesusahan ini."

Apabila ditanya mengenai titik perubahan, "Saad" berkata, keluarganya mendorongnya untuk berubah kerana apabila ditangkap, dia melihat kekecewaan mereka. 

"Jika anda ragu-ragu, dapatkan nasihat daripada seseorang yang boleh anda harapkan, Ustaz yang boleh dipercayai dalam soal agama. Jadi, video pun, anda tidak boleh percaya 100 peratus," kongsi "Saad" semasa ditanya sekiranya mempunyai nasihat untuk sesiapa sahaja yang ada pemikiran yang sama pada usia tersebut. 

Tempoh arahan sekatan yang dikenakan ke atas "Hamzah" dan "Saad" sudahpun berakhir. 

"Pada mulanya, ia sudah tentu sukar kerana saya takut saya mungkin terpaksa menanggung stigma itu. Namun saya ada sistem sokongan yang sangat baik.

"Setiap kali saya berasa sedih, saya boleh mendapat sokongan daripada para pegawai kes saya dengan mudah, dan saya tahu keluarga saya sentiasa bersedia untuk menyokong saya dari segi kewangan atau menyediakan perlindungan untuk saya," kata "Hamzah" yang kini bertugas dalam industri pemasaran. 

Sementara itu, "Saad" pula berjaya menamatkan pendidikan pos menengah dan muncul sebagai antara 10 peratus pelajar terbaik dalam kohortnya.

"Saya juga ada rakan sekelas yang memandang rendah terhadap saya kerana saya memakai tag. Bagi mereka, saya memakai tag sebab pengganasan, itu agak lucu bagi mereka. Saya fikir ia mendorong saya untuk berjaya dalam pelajaran saya. 

"Saya cuma ingin membuktikan kepada diri sendiri, walaupun saya melalui cabaran-cabaran sebegini, saya masih boleh berjaya. Sekarang saya hanya mahu memberi tumpuan kepada pekerjaan sepenuh masa saya dan menyokong keluarga saya."

Sumber : CNA/DY/AI/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan