Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 anak Melayu ini cemerlang GCE 'O' meski pernah gagal, sibuk galas tanggungjawab lain

Titik permulaan Siti Aisyah Abdul Rahman menjadi seorang pelajar menengah cukup berbeza. Dia 'berpindah' dari Madrasah Irsyad Zuhri Al Islamiah ke Sekolah Menengah Serangoon Garden selepas Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Titik permulaan Siti Aisyah Abdul Rahman menjadi seorang pelajar menengah cukup berbeza. Dia 'berpindah' dari Madrasah Irsyad Zuhri Al Islamiah ke Sekolah Menengah Serangoon Garden selepas Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

"Apabila saya memasuki menengah daripada madrasah, sekitarannya berbeza. Misalnya (saya) berbicara dalam Bahasa Melayu di madrasah tetapi sekarang (perlu) berbicara dalam bahasa Inggeris. Saya tidak mempunyai keyakinan diri kerana tidak fasih dalam Bahasa Inggeris," luah Aisyah.

Namun dia tidak menyerah kalah. Berkat konsisten mengulang kaji pelajaran dua jam sehari, Aisyah muncul sebagai antara lima pelajar terbaik kohortnya buat tiga tahun berturut-turut.

Lebih membanggakan lagi, Aisyah mendapat gred 'A' bagi enam daripada tujuh subjek GCE 'O' yang diambilnya.

Dia juga lulus Bahasa Inggeris, walhal sebelum ini remaja itu seringkali gagal dalam mata pelajaran berkenaan.

IBU BAPA BERI SOKONGAN, INGIN CEBURI BIDANG PERAKAUNAN

Mengimbas kembali waktu-waktu sukarnya, Aisyah berkongsi bahawa ibu bapanya yang banyak memberi sokongan tatkala dia berdepan cabaran. Ibunya seorang suri rumah sementara bapanya bekerja dalam bidang perakaunan. 

"Selepas sekolah, pada waktu jam 7.00 malam, mereka akan meluangkan masa untuk belajar bersama saya supaya saya boleh mengatasi cabaran dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Melayu. Apabila menjelang peperiksaan, mereka akan sering meluangkan masa dengan kami tiga beradik untuk mengulang kaji pelajaran," kongsi Aisyah.

Dia juga menghargai sokongan rakan-rakan sekolahnya, yang suka membangkitkan semangat antara satu sama lain. Dengan sijil GCE 'O' kini dalam tangan, Aisyah ingin menceburi bidang perkaunan di Politeknik Singapura kerana "sangat minat dalam Matematik".

PENCAPAIAN AISYAH MENJANGKAUI AKADEMIK

Seperkara tentang Aisyah, dia tidak hanya cemerlang dalam pelajaran. Aisyah juga mempunyai pencapaian luar biasa dalam Kegiatan Ko-Kurrikular.

Dia sebenarnya salah seorang pelajar di Singapura yang diberi pangkat Pegawai Waran dalam Palang Merah Belia (RCY) - iaitu pengiktirafan tertinggi yang boleh diterima seorang kadet dalam sekolah menengah.

Untuk mendapat pengiktirafan tersebut, seseorang pelajar perlu mengikuti sekitar tiga modul RCY pada setiap tahun, sejak Menengah 1 lagi. Jika lulus semua modul itu, barulah pelajar layak dianugerahi pangkat sebagai seorang Pegawai Waran.

Lebih dari itu, Aisyah secara aktif mengambil bahagian dalam pelbagai peraduan RCY. Setiap kali Aisyah melakukan demikian, dia perlu meluangkan masa berlatih selama dua jam buat sehingga tiga kali seminggu.

Mujur semua usahanya tidak sia-sia. Semasa di Menengah 3, pasukan Aisyah mengharumkan nama sekolahnya dengan muncul sebagai naib juara Pertandingan Pengurangan Risiko Bencana. Dalam peraduan itu, Aisyah dan rakan-rakannya membangunkan sebuah wadah untuk meningkatkan kesedaran tentang pencegahan denggi. 

NURUL AIN RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG MESKI PERNAH DAPAT F9

Seorang lagi pelajar bernama Nurul Ain Harun, dari Sekolah Menengah Dunman, juga bagai 'tidak menang tangan' di sekolah.

Ain seorang anggota Jawatankuasa Eksekutif kumpulan ketua pelajar yang membantu melakar program-program pelajar. Dia juga Naib Pengerusi kumpulan pancaragam yang memainkan peranan penting untuk mewakili sekolah dalam Festival Belia Singapura.

Dek begitu sibuk dengan kegiatan luar itu, pelajarannya terjejas. Ain malah pernah mendapat gred 'F9' bagi mata pelajaran matematik dan sains.

Bagaimanapun berbekalkan semangat enggan menyerah kalah, Ain mendapat gred 'A' bagi lima daripada lapan subjek GCE 'O' yang didudukinya.

Dengan keputusan cemerlang itu, Ain kini ingin melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Temasek pula.

"Saya mengatasinya dengan bantuan guru, rakan dan juga keluarga saya. Rakan-rakan saya bantu saya dengan memberi saya nota. Guru pula beri peluang untuk saya bertanya sementara keluarga saya mereka memastikan bahawa suasana pembelajaran saya itu baik," kata Ain.

(Gambar fail: Sekolah Menengah Dunman)

"Saya amat berterima kasih dengan mereka kerana tanpa mereka mungkin saya tidak akan mencapai apa yang saya capai sekarang."

TIPS AIN JADI PELAJAR CEMERLANG

Ditanya apa lagi strateginya untuk lulus cemerlang, ini kata Ain:

"(Lakukan) latihan, latihan, latihan dan rehat. Saya tak dapat nafikan pentingnya kita melakukan latihan yang kerap untuk setiap subjek. Bukan sahaja ia membantu untuk mempertingkatkan daya ingatan, tetapi juga menyegarkan minda. Dari situ juga saya dapat lihat di mana kelemahan saya dan meminta bantuan guru ataupun melakukan pembelajaran kendiri," kongsi Ain.

Rehat juga katanya penting, supaya tidak mudah jatuh sakit. Apabila mengulang kaji pula, Ain cuba menulis semua notanya dalam satu kertas A4 sahaja bagi setiap topik.

"Jadi hanya konsep-konsep penting dapat ditulis dalam kertas itu. Ini akan membuat kita cuba ingat tentang penerangan atau contoh-contoh yang diperlukan," katanya lagi.

INGIN JADI PEGUAM

Ain ternyata bercita-cita besar. Pada usia 16 tahun ini, dia berazam mahu menjadi seorang peguam.

"Sudah beberapa kali saya dalam situasi di mana saya tidak dapat mengutarakan pendirian ataupun pendapat saya. Isu ataupun suasana seperti ini membuat saya kurang selesa. Oleh itu saya rasa sebagai seorang peguam, saya dapat melakukan demikian. Bukan sahaja saya dapat mempertahankan pendirian saya tetapi juga membantu orang-orang yang memerlukan saya," terang Ain tentang sebab dia ingin menjadi seorang peguam.

Remaja yang sukakan cabaran itu nampaknya juga sangat suka dengan pendedahan untuk berfikir secara kritis.

(Gambar fail: Sekolah Menengah Dunman)

Ain pernah muncul sebagai antara 10 pembahas terbaik dalam peraduan Bahas Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) pada usia 14 tahun, iaitu yang termuda dalam kategori yang disertai.

"Dari situlah minat saya untuk menjadi seorang peguam menjadi mendalam," ujarnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan