Skip to main content

Singapura

2 anak kapal didakwa atas pertembungan kapal tangki minyak dekat Pedra Branca

Dua anak kapal sebuah kapal tangki minyak berdaftar Singapura didakwa atas insiden pertembungan, yang menyebabkan seorang lelaki maut di satu lagi kapal dan seorang lagi cedera parah.

Anggaran Waktu Membaca:
2 anak kapal didakwa atas pertembungan kapal tangki minyak dekat Pedra Branca

Dua kapal tangki minyak terbakar kira-kira 55 km timur laut Pedra Branca, Singapura, pada 19 Julai 2024. (Gambar fail: Angkatan Tentera Laut Singapura/Gambar edaran melalui REUTERS)

SINGAPURA: Dua anak kapal sebuah kapal tangki minyak berdaftar Singapura didakwa atas insiden pertembungan, yang menyebabkan seorang lelaki maut di satu lagi kapal dan seorang lagi cedera parah.

Kapal berdaftar Singapura, Hafnia Nile, bertembung dengan Ceres I, yang didaftarkan dengan Republik Demokratik Sao Tome dan Principe, iaitu sebuah negara pulau di Afrika, pada pagi 19 Julai tahun lalu (2024).

Laporan media pada ketika itu menyatakan bahawa pertembungan itu berlaku dalam kawasan mencari dan menyelamat maritim Singapura, kira-kira 55 kilometer timur laut Pedra Branca.

Dua anak kapal dari Hafnia Nile itu. yang masing-masing dikenakan satu tuduhan di bawah Akta Perkapalan Saudagar ialah: warga India Soosai Antony Vainer, 35 tahun, dan warga Sri Lanka Wickramage Viraj Amila Shavinda Perera, 40 tahun.

Menurut kertas pertuduhan, Perera merupakan pegawai yang bertanggungjawab ke atas pemantauan navigasi Hafnia Nile antara pukul 5.40 pagi dan pukul 6.00 pagi pada 19 Julai 2024.

Dia didakwa gagal membuat "penilaian sepenuhnya terhadap situasi dan risiko bahaya berkaitan navigasi, mengekalkan kesedaran situasi bagi kawasan di sekitar Hafnia Nile dan memastikan pemantauan yang sewajarnya terus dijalankan".

Akibat kegagalan itu, kapal tersebut bertembung dengan Ceres I, menyebabkan "kerosakan serius" kepada kedua-dua kapal tangki dan kematian Encik Sellakkannu Shanmugasundaram, yang berada di atas Ceres I.

Encik Ge Junfu, yang turut berada di atas Ceres I, mengalami kecederaan serius, menurut kertas pertuduhan.

Vainer merupakan pemantau bertugas bagi pemantauan navigasi Hafnia Nile pada waktu itu, menurut dokumen mahkamah.

Dia menyedari bahawa Hafnia Nile "semakin menghampiri" Ceres I, tetapi tidak melaporkan perkara itu kepada pegawai yang bertanggungjawab ke atas pemantauan navigasi, menurut tuduhan terhadapnya.

Sebaliknya, beliau didakwa mengemudi Hafnia Nile tanpa arahan untuk berbuat demikian, dan gagal untuk mengekalkan pemantauan yang sewajarnya.

Akibatnya, kedua-dua kapal tangki tersebut bertembung.

Selepas kejadian itu, Malaysia menahan kapal Ceres I, dengan laporan awal menyatakan bahawa kapal tersebut melarikan diri dari tempat kejadian.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia kemudian menjelaskan bahawa Ceres I tidak melarikan diri tetapi "hanyut".

Pendakwaan terhadap kedua-dua lelaki tersebut dikemukakan oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

Sebutan lanjut bagi kedua-dua kes tersebut didengar di Mahkamah Negara pada Rabu (2 Julai), dan ditangguhkan ke tarikh lain bulan ini.

Berdasarkan rekod awam, Vainer diwakili oleh Encik Andy Yeo dari Andy Yeo Chambers manakala Perera dibela oleh Cik Wong Min Hui dan Encik Mato Kotwani dari PDLegal.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$50,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita