2 amah ini rebut peluang pertingkat diri meski sibuk urus tugas harian
Ramai dalam kalangan rakyat dan penduduk Singapura mempunyai akses yang secukupnya untuk merebut pelbagai pilihan pendidikan tanpa mengira usia. Pelbagai institusi menawarkan bermacam-macam kursus untuk menyokong perjalanan kita untuk belajar sepanjang hayat.
(Gambar: Nurul Adim, Arcelyn)
SINGAPURA: Ramai dalam kalangan rakyat dan penduduk Singapura mempunyai akses yang secukupnya untuk merebut pelbagai pilihan pendidikan tanpa mengira usia. Pelbagai institusi menawarkan bermacam-macam kursus untuk menyokong perjalanan kita untuk belajar sepanjang hayat.
Namun, tidak semua yang bernasib baik, terutamanya para pembantu rumah asing (FDW) di Singapura yang tidak mempunyai banyak pilihan untuk menimba kemahiran baru, apatah lagi selepas mula bekerja di sini.
Mujur Pertubuhan Sukarela (VWO) seperti Aidha membantu para FDW mempertingkatkan diri dengan menawarkan kursus-kursus keusahawanan. Ia melengkapi mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk menguruskan kewangan mereka dan memulakan perniagaan sendiri.
NURUL ADIM, 42 TAHUN
(Gambar: Nurul Adim)
Nurul Adim, datang ke Singapura untuk mencari rezeki selepas keluarganya kehilangan mata pencarian mereka di desa mereka yang terletak di Jawa Timur, Indonesia.
"Di Indonesia, saya mengendalikan sebuah perniagaan dengan suami saya dan kami diberitahu oleh pemerintah supaya berpindah. Tetapi, kami tidak mampu berpindah," kata Nurul semasa diwawancara oleh portal The Pride.
Selepas berbincang dengan suaminya, Nurul memutuskan untuk bekerja di Singapura.
Nurul menjelaskan bahawa beliau memilih Singapura kerana ia tidak jauh dari pulau Jawa. Bahasa Melayu di Singapura juga tidak jauh berbeza daripada bahasa Indonesia. Selain itu, beliau juga mampu bertutur dalam bahasa Inggeris. "Saya juga berfikir bahawa Singapura jauh lebih teratur dan lebih telus tentang undang-undangnya, terutamanya bagi para pembantu rumah."
Selepas sembilan tahun bekerja di sini, Nurul kini lebih fasih berbahasa Inggeris, berkat kursus yang disertainya di Aidha dan sepanjang tempoh beliau bekerja di sini.
Sungguhpun demikian, keputusan meninggalkan tanah airnya bukanlah sesuatu yang mudah baginya. Beliau terpaksa berjauhan daripada keluarga, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
"Ia amat mencabar bagi saya kerana pada masa itu, anak lelaki saya berusia tiga tahun setengah sahaja dan anak perempuan saya berusia 13 tahun. Saya terpaksa meninggalkan keluarga saya."
ARCELYN SILOY, 30 TAHUN
Arcelyn (paling kiri) semasa dalam kelas di Aidha. (Gambar: Arcelyn Siloy)
Arcelyn Siloy datang ke Singapura dari Baguio, Filipina pada 2013 untuk mencerahkan masa depan anak-anaknya.
Beliau memberitahu The Pride bahawa beliau juga mahu membina sebuah keluarga yang bahagia di Filipina.
Berbeza dengan Nurul, Singapura bukanlah satu-satunya pilihan bagi beliau. Arcelyn juga memohon untuk bekerja di Hong Kong dan Kanada. Namun menurutnya, agensi di Singapura memberikan respons paling pantas. Maka itu, beliau menerima tawaran tersebut.
Beliau juga selesa di Singapura dan cuaca negara ini serupa dengan di Filipina.
CABARAN MENYESUAIKAN DIRI
Menjalani kehidupan dan bekerja di Singapura adalah sesuatu yang baru bagi kedua-dua Nurul dan Arcelyn.
Nurul, yang sudah bekerja dengan majikan yang sama selama sembilan tahun, pada mulanya perlu menyesuaikan diri dengan rutin tugas hariannya, termasuk menjaga anak-anak majikannya.
(Gambar: Nurul Adim)
"Pada mulanya, ia mencabar kerana sepanjang minggu, dari pagi hingga ke malam, saya akan menjaga anak-anak itu di rumah nenek mereka (kerana kedua-dua majikannya keluar bekerja). Saya perlu berganti-ganti bekerja di rumah sebelah suami dan isteri majikan saya. Jadi, ia meletihkan."
Arcelyn, yang sudah bekerja di sini selama tujuh tahun, juga menghadapi "kejutan budaya" yang agak ketara.
"Saya perlu menyesuaikan diri, melihat begitu banyak kaum berbeza di Singapura. Makanannya juga sangat berbeza. Bahasa pun satu lagi perkara. Kami berbual dalam bahasa Inggeris di Filipina tetapi di Singapura ada Singlish. Saya perlu belajar untuk memahaminya!" jelas Arcelyn.
Sungguhpun berdepan dengan cabaran masing-masing, Nurul dan Arcelyn berupaya menyesuaikan diri dengan pantas disebabkan oleh kemesraan para majikan masing-masing.
PERANAN AIDHA
Majikan Nurul dan Arcelyn memainkan peranan besar dalam keputusan mereka untuk mendaftar dengan Aidha, yang menyumbang kepada kemajuan yang dicapai oleh kedua-dua pembantu rumah itu.
Pada mulanya, Nurul menjelaskan: "Saya tidak mahu menyertai Aidha kerana kursus-kursusnya adalah tentang perniagaan dan pengurusan. Saya rasa ia terlalu sukar bagi saya. Tapi majikan saya menjelaskan sudah masanya untuk saya mempelajari tentang cara menguruskan sesebuah perniagaan. Beliau berkata bahawa saya sudahpun mempunyai kemahiran memasak dan membuat kuih. Jadi apabila saya pulang nanti, saya boleh membuka semula dan menguruskan lebih baik perniagaan saya."
"Selepas mempertimbangkannya, saya memutuskan apa salahnya? Saya tidak mahu menjadi seperti dahulu, terpaksa menutup perniagaan saya dan ditinggalkan dengan tangan kosong."
Bagi Arcelyn pula, beliau tidak teragak-agak untuk mendaftarkan diri dengan Aidha selepas mendapat tahu bahawa badan itu boleh mengajarnya cara-cara menjadi seorang usahawan.
Nurul dan Arcelyn menghadiri kursus semasa hari rehat mereka. Majikan Nurul malah membiayai yuran kursus yang disertainya. Bagi Arcelyn pula, majikannya membayar separuh yuran kursusnya dan bakinya ditampung sendiri.
Aidha menawarkan kursus selama enam bulan dengan dua kelas pada dua hari Ahad, setiap bulan. Setiap modul berharga S$200 dan peserta yang membayar sendiri yuran akan diberi subsidi. Aidha juga menawarkan kursus bagi wanita berpendapatan rendah di Singapura, tanpa mengira latar belakang mereka.
Selain pendidikan, Nurul dan Arcelyn juga meraih pengalaman berlipat ganda secara profesional dan juga di peringkat peribadi.
Dengan bantuan Aidha, Nurul berkata: "Saya bersikap lebih terbuka. Saya boleh belajar daripada 'kakak-kakak' dari pelbagai negara lain. Saya berkawan dengan ramai orang dan kami berhibur bersama selepas kelas. Kadangkala, kami akan merancang dengan mentor kami untuk membawa makanan dan mengajak orang lain ke pejabat Aidha untuk menyertai kami."
(Gambar: Arcelyn)
Arcelyn juga berkongsi sentimen serupa: "Saya memperolehi lebih keyakinan, mempelajari banyak perkara dan membuat kawan dengan ramai orang. Saya juga berupaya memulakan perniagaan online sendiri menjual perkakas dapur. Aidha menyedarkan saya bahawa masa depan itu sangat penting. Jadi, jika kita tidak belajar menabung atau tidak berusaha untuk mempertingkatkan diri kita, kita akan kembali ke negara asal kita tanpa apa-apa."
Nurul dan Arcelyn malah sangat terdorong dengan tunjuk ajar yang diterima daripada Adha lalu menawarkan diri secara sukarela selepas tamat pengajian, untuk membimbing pelajar-pelajar baru yang dianggap sebagai adik, di dalam dan luar kelas.
Keputusan Nurul untuk terus menyumbang bakti kepada Aidha dirangsang oleh kemahuannya untuk membantu pembantu rumah yang lain. Selepas apa yang dilaluinya sendiri, beliau akur tentang cabaran yang mereka hadapi, sebatang kara di sebuah negara baru dan tercari-cari jalan untuk meningkatkan diri sendiri.
"Ramai pembantu tidak tahu apa yang perlu dibuat atau di mana untuk mendapatkan bantuan. Walaupun mereka mahu mempelajari sesuatu, mereka tidak tahu siapa yang boleh mengajar mereka. Ada juga yang tidak tahu tentang hak mereka dan bagaimana untuk berunding dengan majikan mereka. Oleh itu, saya mahu membantu mereka."
AIDHA ANJUR KELAS ONLINE SEMASA PANDEMIK
Disebabkan oleh pandemik COVID-19, Aidha mengadakan kelas online menerusi Zoom. Namun majikan Nurul dan Arcelyn terus memberikan mereka ruang untuk melakukan kegiatan mereka. Disebabkan itu, Arcelyn masih lagi bergiat secara sukarela menyampaikan kelas online sementara Nurul berehat seketika kerana beliau lebih menyukai kelas fizikal.
Menurut Pengurus Perhubungan Aidha, Nurul dan Arcelyn memainkan peranan penting sebagai kakak-kakak yang membantu pelajar baru menyesuaikan diri dengan Aidha dan kehidupan mereka di Singapura.
"Apabila pelajar-pelajar baru menyertai anda, sesetengah daripada mereka tidak begitu berani untuk menanyakan soalan semasa kelas. Ia sangat memberangsangkan untuk melihat bagaimana kakak-kakak kita menurunkan pengalaman dan pengetahuan mereka kepada pelajar-pelajar baru dan memberi mereka dorongan."
Nurul berharap dapat memberi inspirasi kepada para FDW supaya tidak melupakan matlamat hidup mereka walaupun sibuk bekerja di Singapura bagi menyara kehidupan keluarga di kampung halaman masing-masing.
Nasihat Nurul kepada para pembantu rumah asing: "Pembelajaran adalah satu perjalanan sepanjang hayat. Ambil sahaja kursus-kursus yang berguna bagi diri anda. Mahukah anda menjadi pembantu rumah buat selama-lamanya? Walaupun jika anda rasa anda tidak mempunyai keyakinan untuk mengejar apa yang anda mahukan sekarang, terokalah hobi-hobi baru dan ikuti kursus-kursus yang relevan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.