2,800 syarikat kini tampil sedia latihan berbayar bagi 19,000 lulusan universiti, poli & ITE
Kemelesetan ekonomi dialami Singapura sekarang ini mungkin yang paling teruk dalam sejarahnya. Meskipun demikian, Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara, Encik Zaqy Mohamed percaya, usaha mencari pekerjaan tidak sesukar dahulu - seperti ketika Krisis Kewangan Asia dua dekad lalu.
Gambar fail para siswazah di majlis penyampaian ijazah.
SINGAPURA: Kemelesetan ekonomi dialami Singapura sekarang ini mungkin yang paling teruk dalam sejarahnya.
Meskipun demikian, Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara, Encik Zaqy Mohamad percaya, usaha mencari pekerjaan tidak sesukar dahulu - seperti ketika Krisis Kewangan Asia dua dekad lalu.
"Pada tahun 1999, apabila saya baru keluar sekolah masa dulu, peluang pekerjaan atau dapat ditemu duga kurang. Tapi hari ini, jika dibandingkan dengan keadaan dahulu, Pemerintah mempunyai sumber dan rangkaian di mana kita boleh membuka peluang untuk para pelajar kita mengikuti program pelatih," terang Encik Zaqy.
Di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Kecekalan pada 26 Mei, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata 21,000 siswazah akan dibantu mengikuti latihan berbayar.
Dalam tempoh kurang dua minggu lalu, lagi 1,800 syarikat tampil untuk menyahut usaha di bawah inisiatif tersebut. Dengan penyertaan syarikat-syarikat berkenaan, kini terdapat 2,800 syarikat kesemuanya yang menawarkan Program Pelatih SGUnited.
Dengan penyertaan luar biasa itu juga, sekurang-kurangnya 19,000 lulusan ITE, politeknik dan universiti tidak perlu 'menganggur' sekarang ini.
Mereka dapat menimba pengalaman dalam dunia pekerjaan, selain membawa pulang elaun setiap bulan. Kemajuan ini dicatat dalam kurang sebulan sahaja.
PROGRAM PELATIH BUKAN 'SUMBER MURAH' UNTUK SYARIKAT
Program Pelatih yang disediakan bagi para lulusan baru, ternyata bukan sekadar untuk melepaskan batuk di tangga sahaja.
Ini kerana sebelum dipilih, setiap syarikat yang menawarkan program pelatih perlu melakar pelan-pelan pembangunan untuk menunjukkan ia mampu mengasah keupayaan para lulusan pendidikan tinggi.
(Ilustrasi: Anam Musta'ein/TODAY)
Ini, kata Encik Zaqy, demi memastikan para peserta dapat meraih pengalaman bermakna, membina keupayaan dan meluaskan rangkaian profesional mereka.
Semua ini akan mempersiapkan mereka bagi pekerjaan sepenuh masa apabila ekonomi pulih nanti.
"Kita mahu memberi pengalaman yang saya katakan relevan, supaya syarikat tidak memberi atau menggunakan siswazah atau pelajar akhir tahun kita sebagai 'sumber murah'," kata Encik Zaqy.
Beliau menambah, 90 peratus syarikat yang diluluskan datang dari sektor-sektor sedang berkembang.
Antara pendedahan yang disediakan termasuklah sebagai akauntan muda, kejuruteraan IT serta tugas-tugas dalam bidang seperti infokom, pemasaran dan rantaian bekalan.
WUJUD JURANG DALAM SEGMEN PEKERJA MATANG
Bagi para pekerja matang pula, walaupun tidak dibuang kerja, Encik Zaqy menggesa mereka memanfaatkan waktu kelembapan ekonomi sekarang ini, untuk meningkatkan kemahiran.
Ini tegas beliau, penting kerana ekonomi sejagat kian berubah-ubah dek COVID-19, sehingga syarikat-syarikat di luar sektor berkembang juga perlu menjalani transformasi.
(Gambar fail: Yong Jun Yuan/TODAY)
Seperkara lagi yang membimbangkan adalah wujudnya jurang dalam kalangan mereka yang menganggur.
"Mereka ingin mendapatkan pekerjaan yang sama, seperti sesuai dengan pengalaman mereka. Tapi masalah hari ini adalah oleh kerana keadaan ekonomi, kita melihat, walaupun kita mempunyai industri tidak begitu mantap, tapi ada juga sektor yang berkembang," kongsi Encik Zaqy.
Lantaran itu, beliau berharap para pekerja meneroka peluang-peluang tersedia, seperti yang dibentangkan Belanjawan Kecekalan bulan lalu.
Kesemuanya hampir 100,000 peluang pekerjaan dan pelbagai program latihan tersedia di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SG United.
"Kita memberi peluang dalam bidang-bidang yang sedang berkembang kerana ia memberi prospek jangka panjang. Kita juga ingin pekerja lebih fleksibel," kata Encik Zaqy, yang bulan lalu turut dilantik untuk memimpin sebuah kumpulan kerja baru bagi membantu pekerja Melayu/Islam yang hilang pekerjaan atau susah mencari kerja.
RAYU KERJASAMA KUKUH DALAM MASYARAKAT
Dalam pada itu, Encik Zaqy berharap lebih ramai pihak dalam masyarakat Melayu/Islam akan saling berganding bahu untuk bangkit daripada kesuraman ekonomi sekarang.
(Gambar fail: TCC/Facebook)
"Saya berharap masyarakat kita akan terus bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan Pemerintah mahupun institusi Melayu/Islam seperti MENDAKI, untuk bekerjasama, bersama-sama berlatih, meraihkan peluang (yang ada) dan juga meningkatkan kemahiran secara bersama," ujarnya.
Encik Zaqy turut menarik perhatian bahawa pelbagai langkah demi mengekang penularan COVID-19, menyukarkan usaha membantu mereka yang kurang didedahkan kepada platform-platform online.
"Jadi ahli keluarga yang lebih muda juga bolehlah menolong mereka yang lebih matang supaya mereka dapat dibantu secara online juga buat masa ini. Kita berharap, apabila memasuki Fasa Kedua, banyak pusat-pusat bantuan boleh kembali dibuka untuk membantu mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.