Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2,800 pemohon kerja ditempatkan dalam program pelatih; latihan amali Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited

Lebih 20,500 program pelatih dan peluang bekerja sambil belajar di syarikat-syarikat yang disediakan di bawah Program Pelatih SGUnited dan Program Pertengahan Kerjaya SGUnited. Demikian didedahkan Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Rabu (14 Okt). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Oct 2020 06:33PM Dikemas Kini : 14 Oct 2020 09:04PM

SINGAPURA: Lebih 20,500 program pelatih dan peluang bekerja sambil belajar di syarikat-syarikat yang disediakan di bawah Program Pelatih SGUnited dan Program Pertengahan Kerjaya SGUnited. Demikian didedahkan Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Rabu (14 Okt).

Lebih 2,800 pemohon kerja ditempatkan dalam peluang sedemikian, Cik Teo memberitahu Parlimen. Ini bermakna kira-kira 13.7 peratus peluang program pelatih dan bekerja sambil belajar sudahpun diisi di bawah program-program tersebut.

Lima sektor utama yang membentuk lebih separuh daripada peluang kerja dan latihan itu adalah khidmat kewangan, teknologi infokom dan media, khidmat profesional, perdagangan borong dan elektronik, kata Cik Teo semasa di Parlimen.

Program Pelatih SGUnited dan Program Penempatan Pertengahan Kerjaya masing-masing dilancarkan pada 1 Jun dan 1 Ogos untuk membantu pemohon kerja yang tidak dapat mencari pekerjaan tetap dalam pasaran semasa.

Cik Teo berkata demikian semasa menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon Carrie Tan dan AP SMC Bukit Panjang Liang Eng Hwa mengenai kedua-dua program itu.

Dalam laporan kelapannya mengenai keadaan pekerjaan yang dikeluarkan Rabu lalu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan terdapat "ketidakserasian yang berterusan pada jangkaan dan kemahiran" berdasarkan maklum balas yang diterima.

MOM menyatakan sebahagian besar peluang masih belum diisi kerana ia "mengambil masa" untuk pemohon kerja mengatasi keraguan tentang menukar peranan kepada sesuatu yang tidak terbiasa dengan dirinya.

Kurang sepertiga daripada peluang yang diwujudkan di bawah jawatan kosong Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited sudahpun diisi. Setakat sehingga hujung bulan Ogos, daripada 117,500 peluang yang disediakan melalui Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited, sekitar 33,100 orang sudahpun ditempatkan dalam peluang-peluang itu.

"Walaupun tumpuannya sekarang harus diberikan kepada syarikat tuan rumah untuk mendapatkan penempatan yang lebih berhasil, SBF (Persekutuan Perniagaan Singapura) terus menerima permohonan baru oleh syarikat-syarikat untuk menjadi tuan rumah bagi program amali bagi individu pertengahan kerjaya yang bermula sebelum 31 Mac 2021," kata Cik Teo.

Cik Teo berkata SBF meluluskan sebahagian besar permohonan dalam tempoh empat minggu. "Berapa cepat permohonan sesebuah syarikat diluluskan sebahagiannya bergantung kepada sejauh mana penyerahannya lengkap," ujar beliau.

SBF mempunyai pasukan seramai 25 orang untuk memproses permohonan dan ia akan mencapai tenaga kerja yang penuh menjelang hujung Oktober.

Cik Tan mengatakan bahawa keprihatinannya adalah mengenai sumber yang ada. Memandangkan kakitangan SBF memproses lebih 1,000 pertubuhan tuan rumah, beliau bertanya apakah Cik Teo akan mempertimbangkan untuk memberi "keutamaan" kepada pemohon program pelatih yang anggota keluarganya tidak memperoleh pendapatan buat masa ini.

Cik Teo berkata walaupun ia mengambil sedikit masa untuk SBF menyatukan pasukan dan memproses permohonan, "sekarang ini, sebenarnya, tindakannya kurang kepada SBF dan lebih kepada syarikat untuk menyelesaikannya".

Antara Januari hingga Ogos, sekitar 44,200 pemohon kerja disediakan dengan khidmat pemadanan kerjaya melalui pusat-pusat Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited serta Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan lima pusat kerjaya tetap e2i NTUC.

Pusat Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited, yang ditubuhkan di kesemua 24 bandar HDB untuk menyediakan khidmat pemadanan kerjaya, sudahpun dibuka secara berperingkat.

Memberikan respons kepada maklum balas oleh AP Gerald Giam bahawa sesetengah penduduk mendapati pakej pekerjaan SGUnited nampaknya lebih dikhususkan kepada golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), Cik Teo berkata beliau "tidak tepat" untuk berfikir bahawa kebanyakan pekerjaan yang dipadankan adalah untuk PMET.

"Ia sebenarnya lebih mudah untuk memadankan orang kepada jawatan bukan PMET," kata Cik Teo.

"Jika anda seorang PMET, anda akan melihat diri anda sebagai memiliki satu set kemahiran yang anda mahukan untuk mendapatkan padanan terbaik bagi majikan yang mengiktiraf pengalaman anda dan juga yang dapat membayar premium untuk kemahiran yang anda miliki," tambah beliau.

Cik Teo berkata pemohon kerja bukan PMET mengambil sebahagian besar daripada jawatan yang dipadankan di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited.

Berdasarkan laporan keadaan pekerjaan MOM yang dikeluarkan Rabu lalu, daripada sekitar 117,500 peluang kerja dan latihan yang disediakan setakat sehingga hujung bulan Ogos, 32,210 adalah jawatan bukan PMET berbanding 85,330 bagi jawatan PMET.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan