2,500kg daging korban diagih kepada pekerja hijrahan Islam di S'pura
Sekitar 2,500 kilogram daging korban diagih-agihkan kepada para pekerja hijrahan Islam di dormitori-dormitori tempatan sejak lebih dua minggu lalu.
SINGAPURA: Sekitar 2,500 kilogram daging korban diagih-agihkan kepada para pekerja hijrahan Islam di dormitori-dormitori tempatan sejak lebih dua minggu lalu.
Hari ini (15 Ogos) merupakan hari terakhir pengagihan daging korban itu dijalankan menerusi Jawantankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS).
Masjid Assyafaah mendermakan daging korban kepada wakil pekerja hijrahan. (Gambar: MUIS)
Daging korban tersebut disumbangkan para sohibul korban di sembilan buah masjid yang melaksanakan ibadah korban kendalian JKMS.
400KG DAGING KORBAN BAGI 30 KILANG DIUBAH KE DORMITORI
Tahun ini buat pertama kalinya juga, JKMS bekerjasama dengan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan para wakil pekerja hijrahan bagi mengagihkan 400 kilogram daging korban kepada 30 dormitori.
Wakil RLAF Encik Zainul Abidin Ibrahim menghulurkan sumbangan beras kepada wakil pekerja hijrahan. (Gambar: MUIS)
Sekitar 2,000 pekerja hijrahan Islam mendapat manfaat daging korban itu.
RLAF juga berjaya mengumpul $3,000 daripada para penderma bagi membeli bahan-bahan keperluan untuk para pekerja hijrahan memasak hidangan Pilau Bangladesh.
Para pekerja hijrahan menyediakan hidangan dengan daging korban yang diterima. (Gambar: MUIS)
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyatakan para pekerja hijrahan Islam melahirkan "rasa terima kasih mendalam kepada JKMS dan RLAF kerana mengingati mereka semasa Aidiladha" ini.
2,100 PEK MAKANAN DIDERMAKAN SEMPENA HARI KEBANGSAAN
Sempena Hari Kebangsaan pula, sejumlah 2,100 pek makanan turut didermakan kepada para pekerja hijrahan bagi menghargai sumbangan mereka dalam pembangunan Singapura.
Para sukarelawan Masjid Al-Khair mengatur pek makanan sebelum diberikan kepada para pekerja hijrahan. (Gambar: MUIS)
Daripada jumlah tersebut, 1,500 pek didermakan oleh Masjid Al-Khair bagi 12 dormitori, manakala baki 600 pek makanan siap dimasak yang menggunakan daging korban sumbangan masyarakat, diberikan oleh Masjid Assyafaah.
Pengerusi Eksekutif Masjid Assyafaah Encik Izuan Mohd Rais memberikan pek-pek makanan kepada wakil pekerja hijrahan. (Gambar: MUIS)
Seorang pekerja hijrahan yang sudahpun bekerja di Singapura selama 15 tahun berkata ini merupakan kali pertama beliau berpeluang menikmati daging korban di Singapura.
Pengerusi JKMS, Encik Rafi Eusope, melahirkan rasa berbesar hati atas sumbangan masyarakat.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penderma kami, sukarelawan dan sohibul korban yang menjayakan korban tahun ini.
"Sokongan masyarakat Islam kita penting sedang kita berkongsi daging korban kepada mereka yang layak, sekali gus mencerminkan maksud sebenar korban," kata Encik Rafi, menerusi kenyataan media yang dikeluarkan MUIS.
Seorang sukarelawan membungkus daging korban ke dalam beg sejuk untuk diberikan kepada keluarga penerima zakat. (Gambar: MUIS)
Sehubungan itu, lebih 3,600 keluarga penerima zakat setiap satu turut menerima antara 1 hingga 3 kilogram daging korban tersebut.
Setiap keluarga juga menerima satu pek kurma yang disumbangkan Kedutaan Diraja Arab Saudi di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.