Skip to main content

Singapura

2,300 karton rokok seludup dirampas; lelaki China 33 tahun diberkas di Tuas

Seorang warga China berusia 33 tahun diberkas dan 2,300 karton rokok yang tidak dibayar cukai dirampas dari sebuah lorong belakang di Tuas, menurut Kastam Singapura pada Rabu (3 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
2,300 karton rokok seludup dirampas; lelaki China 33 tahun diberkas di Tuas

(Gambar: Kastam Singapura)

Diterbitkan : 03 Feb 2021 04:36PM Dikemas Kini : 03 Feb 2021 04:39PM

SINGAPURA: Seorang warga China berusia 33 tahun diberkas dan 2,300 karton rokok yang tidak dibayar cukai dirampas dari sebuah lorong belakang di Tuas, menurut Kastam Singapura pada Rabu (3 Feb).

Dalam operasi yang dijalankan pada 29 Jan, para pegawai Kastam melihat lelaki itu berjalan ke arah sebuah van yang diletakkan di lorong belakang antara Tuas South Street 1 dengan Tuas South Street 3.

Para pegawai mengesyaki terdapat rokok haram yang disimpan di dalam van yang berdaftar di Singapura itu.

Related article image

(Gambar-gambar: Kastam Singapura)

Apabila lelaki itu membuka pintu van berkenaan, para pegawai menyerbunya lalu merampas kotak-kotak yang dilabel sebagai "mi kering" mengandungi rokok-rokok yang tidak dibayar cukai dalam kenderaan tersebut, menurut Kastam Singapura.

Siasatan mendapati bahawa lelaki itu diupah oleh seorang individu yang tidak dikenali untuk menghantar rokok-rokok itu kepada para pembeli.

Jumlah cukai dan GST yang cuba dielakkan masing-masing bernilai sekitar S$196,420 dan S$15,900. Van itu turut dirampas.

Prosiding mahkamah terhadap lelaki itu sedang dijalankan.

Membeli, menjual, membawa, menghantar, menyimpan, memiliki atau mengendalikan barangan yang tidak dibayar cukai adalah satu kesalahan di bawah Akta Kastam dan Akta GST.

Related article image

Sesiapa saja yang didapati bersalah kerana berbuat demikian boleh didenda sehingga 40 kali ganda jumlah cukai dan GST yang dielakkan, dipenjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kenderaan yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu juga akan dirampas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan sedemikian boleh menghubungi Kastam Singapura di talian 1800 2330 000.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita