Skip to main content

Singapura

2,000 peserta sertai kempen kurangkan gula sempena Ramadan, Syawal

Tahukah anda, air katira mengandungi lebih banyak gula berbanding satu tin air soda?

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Apr 2019 10:51PM Dikemas Kini : 18 Apr 2019 09:45AM

SINGAPURA: Tahukah anda, air katira mengandungi lebih banyak gula berbanding satu tin air soda?

Itulah antara fakta menarik yang dipelajari 2,000 peserta pada Sabtu (6 Apr) semasa pelancaran kempen kesihatan sempena bulan Ramadan dan Syawal, ‘Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?’.

Kempen anjuran Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) itu bertujuan mendidik dan menggalak orang ramai supaya mengurangkan penggunaan gula semasa bulan Ramadan dan Hari Raya nanti.

MELAYU PALING BANYAK MINUM AIR BERGULA

Genap sebulan sahaja lagi, masyarakat Islam di sini akan memulakan berpuasa Ramadan.

Lebih 2,000 orang sudah memulakan persediaan mereka dengan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan di Wisma Geylang Serai siang tadi.

Melalui pelbagai permainan, aktiviti interaktif dan perkongsian santai, orang ramai mempelajari beberapa tips untuk menerapkan tabiat gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian mereka.

Related article image
(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Semua ini dijayakan sebagai sebahagian daripada pelancaran kempen kesihatan bulan Ramadan dan Syawal, ‘Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?’.

Mentelah lagi, menurut Tinjauan Pemakanan Nasional, masyarakat Melayu paling banyak minum air bergula iaitu sekitar 61 peratus berbanding Cina (41.9 peratus) dan India (48.8 peratus).

Sebahagian peserta yang BERITAmediacorp temui nampaknya mula berazam untuk mengubah tabiat pengambilan gula.

"Untuk Ramadan akan datang, saya akan cuba kurangkan gula dalam makanan dan minuman. Saya suka kerana selain 'Coca-Cola', ada juga produk-produk lain yang tiada gula," ujar Cik Mariam Osman, yang ditemui di acara tersebut.

Bagi seorang lagi peserta Cik Masita Sultan pula, beliau akan "makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kita harus amalkan", selain berhasrat untuk mengurangkan pengambilan gula.

HPB & 14 MASJID SEDIAKAN 900KG BERAS PERANG UNTUK IFTAR

Ketika melancarkan kempen berkenaan, Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin turut berkongsi beberapa inisiatif yang akan dilakarkan di bawah inisiatif itu.

Antaranya, HPB akan bekerjasama dengan 14 masjid merata negara bagi menyediakan lebih 900 kilogram beras perang untuk hidangan semasa majlis iftar.

Related article image
(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Para perokok juga boleh mendaftarkan diri mereka dalam program, 'Nafas Baru, Mulakan OK?', yang mencabar diri mereka untuk berhenti merokok dalam tempoh 28 hari.

"Ini adalah sebenar-benarnya satu usaha masyarakat dan marilah kita ambil peluang ini di bulan Ramadan yang amat mulia ini, kita menyucikan diri dan juga pastikan yang kita mengamalkan gaya hidup sihat supaya kita dapat lebih berupaya untuk menjaga diri kita, keluarga kita dan pastikan ibadah kita itu sempurna," terang Encik Amrin.

Beliau juga meluahkan harapan agar amalan gaya hidup sihat yang diusahakan semasa bulan Ramadan nanti dapat diteruskan masyarakat Melayu/Islam, semasa dan selepas musim Lebaran nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita