Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2,000 penerima bantuan Muhammadiyah terima set hidangan Texas Chicken hujung minggu ini

Seramai 2,000 penerima bantuan Persatuan Muhammadiyah bakal menerima set hidangan dua keping ayam Texas Chicken Singapore setiap seorang dari Jumaat (16 Jul) hingga Ahad (19 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 2,000 penerima bantuan Persatuan Muhammadiyah bakal menerima set hidangan dua keping ayam Texas Chicken Singapore setiap seorang dari Jumaat (16 Jul) hingga Ahad (19 Jul).

Project kerjasama 'Pengagihan Makan Tengah Hari Amal' itu diadakan bagi berkongsi kegembiraan kepada mereka yang memerlukan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Setiausaha Umum, Persatuan Muhammadiyah Cik Roszanah Abdul Salim berkata: "Kami ingin mengambil peluang ini untuk melahirkan rasa terima kasih yang mendalam kepada Texas Chicken dan semua relawan yang memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kami.

"Ia satu penghormatan bagi kami bertindak sebagai ejen bagi rakyat Singapura, dengan membantu satu sama lain tanpa mengira kaum mahupun agama."

Pengarah Urusan Select Group dan ahli francais Texas Chicken, Encik Vincent Tan pula berkata: "Sebilangan masyarakat kita memerlukan sokongan tambahan ketika masa-masa mencabar ini. Kami mahu menceriakan hari mereka dengan mengirim hidangan dan memberitahu mereka bahawa mereka tidak dilupakan."

Para penerima hidangan tersebut terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah, penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah dan keluarga mereka serta warga emas di Pusat Jagaan Siang Hari dan Kesihatan Muhammadiyah.

80 SUKARELAWAN SEDIA MEMBANTU

Meskipun Singapura masih dalam Fasa 2 pembukaan semula, seramai 80 sukarelawan berbesar hati menggembleng tenaga bagi inisiatif tersebut.

Mereka menyahut seruan Muhammadiyah yang menguar-uarkan perlunya khidmat relawan di laman Facebook pada Selasa (14 Jul).

Kakitangan Muhammadiyah mula mengagihkan hidangan tersebut pada hari Jumaat, manakala para relawan pula akan membahagi-bahagikan makanan tersebut pada dua hari selanjutnya.

Jurucakap Muhammadiyah berkongsi: "Kami dibenarkan mendampingi 40 relawan setiap hari. Apabila kami meminta khidmat relawan di media sosial, slot-slot itu dipenuhi kurang dari 36 jam.

"Ia amat menggalakkan menyaksikan semangat yang wajar dipuji ini daripada masyarakat bagi membantu satu sama lain, terutama sekali semasa pandemik COVID-19."

Para relawan tersebut akan membantu menghantar bungkusan hidangan itu dengan kenderaan mereka sendiri kepada para penerima bantuan di merata negara.

Sebagai langkah keselamatan, kumpulan relawan terdiri daripada anggota keluarga yang tinggal serumah digalak untuk tampil membantu.

Sejak berlakunya pandemik COVID-19, Persatuan Muhammadiyah mendapat sokongan hampir 200 relawan dan membantu lebih 5,700 individu.

Kumpulan penerima bantuan tersebut merangkumi mereka yang mempunyai masalah kewangan, menganggur disebabkan penyakit, ibu bapa tunggal, warga emas serta pekerja asing yang tinggal di dormitori. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan