Skip to main content

Singapura

2,000 pemilik flat lulus permohonan jual flat di portal jualan semula HDB

Sekitar 2,000 pemilik flat diberi kelulusan untuk menjual flat mereka sejak portal online dilancarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Januari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Mar 2018 03:10PM Dikemas Kini : 10 Mar 2018 09:48PM

SINGAPURA: Sekitar 2,000 pemilik flat diberi kelulusan untuk menjual flat mereka sejak portal online dilancarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Januari lalu.

Portal jualan semula HDB itu memperkemas proses jualan semula untuk memendekkan tempoh urus niaga sebanyak 50 peratus, dari 16 minggu kepada lapan minggu.

Sejak ia dilancarkan, semua penjual dan pembeli flat perlu membuat permohonan jualan semula mereka melalui portal dengan menggunakan SingPass. Portal itu boleh diakses melalui laman Infoweb HDB di www.hdb.gov.sg.

Encik Chea Onn Long, 35, dan isterinya Mandy Chan, 31, antara pasangan yang meraih manfaat daripada tempoh proses yang lebih pendek ini.

"Saya rasa ia mudah untuk difahahami... (jika) anda sudah mempunyai semua dokumen yang diperlukan, ia akan membantu keseluruhan proses ini," kata Encik Chea.

Apabila pembeli dan penjual flat mendaftarkan minat mereka untuk membeli atau menjual flat melalui portal, butiran peribadi mereka akan diisi secara automatik, dengan menggunakan khidmat 'MyInfo' Pemerintah.

Portal itu juga akan menyatakan siapa yang layak untuk jual atau beli flat. Selain itu, pembeli flat boleh mendapat tahu sama ada mereka layak untuk menerima geran atau mendapatkan pinjaman HDB melalui portal, dan membuat permohonan bagi Surat Kelayakan Pinjaman HDB jika mereka memutuskan untuk mendapatkan pinjaman.

Para pembeli juga boleh menggunakan portal untuk bertanya dengan HDB tentang nilai flat mereka dan melihat jumlah yang perlu dipinjam ataupun berhubung penggunaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF). Mereka akan dikenakan yuran sebanyak S$120 oleh HDB.

Apabila seseorang diberi Pilihan untuk Membeli, kedua-dua pembeli dan penjual flat perlu melengkapkan permohonan jualan semula masing-masing melalui portal. HDB kemudian akan membuat pengesahan terhadap semua dokumen yang diterima dan memaklumkan kedua-dua pihak itu melalui kiriman SMS atau email. Status permohonan juga akan dikemas kini melalui portal.

Selepas permohonan diluluskan, HDB akan menetapkan masa dan hari bagi kedua-dua pihak untuk menyelesaikan urus niaga jualan semula dan menandatangani beberapa dokumen.

HDB: ANDA BOLEH LAKUKAN URUS NIAGA SENDIRI

Menurut HDB, bilangan penduduk yang menjalankan urus niaga sendiri naik 11 peratus pada 2010 kepada 28 peratus pada 2017.

Dengan portal baru, proses jualan semula diperkemas, dan ini kemudian mengurangkan masa yang diperlukan untuk menjalankan urus niaga jualan semula. Proses juga dipermudahkan bagi pembeli dan penjual, menurut HDB.

Sementara itu, para pakar berkata jumlah urus niaga flat jualan semula dijangka terus meningkat tahun ini.

Encik Nicholas Mark, Pengarah Eksekutif ZACD Group berkata: "Harga flat jualan semula kekal rendah, dan ini mungkin akan mendorong lebih ramai untuk membelinya."

Encik Mak menambah, dengan adanya geran-geran yang ditawarkan Pemerintah, termasuk Geran Perumahan Berhampiran, jumlah flat yang dijual juga meningkat.

Encik Ku Swee Yong, Ketua Eksekutif International Property Adviser, berkata bahawa dengan adanya lebih ramai orang yang menjual flat lama mereka di pasaran, jumlah urus niaga juga dijangka naik.

"Kian ramai yang semakin sedar bahawa jika anda mempunyai flat HDB yang melebihi 40 tahun, nilainya tidak begitu bagus. Jadi ketika mereka mendapat kunci rumah baru, mereka akan menjual flat mereka yang lama. Ini kemudian menambah jumlah rumah jualan semula dalam pasaran," kata Encik Ku yang menambah harga rumah jualan semula akan terus turun dengan adanya lebih banyak flat jualan semula. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita