Skip to main content

Singapura

1WO Noraisah Abdul Jalil & MSG NurSheila Zuraidah saling sokong, perkasa polis tentera wanita SAF

Anggaran Waktu Membaca:
1WO Noraisah Abdul Jalil & MSG NurSheila Zuraidah saling sokong, perkasa polis tentera wanita SAF

1WO Nora (kanan) dan MSG Sheila pertama kali bertemu pada 2013 di Pameran Kerjaya Tentera Wanita. (Gambar: Amos Chew/Pioneer)

SINGAPURA: Di sebalik sahsiahnya yang mesra dan bersifat keibuan kepada ramai, Pegawai Waran Pertama (1WO) Noraisah Abdul Jalil sebenarnya tegas tepat pada keadaannya.

Pernah sekali beliau menjerit ke arah seorang pakar tentera dari seberang kantin untuk menyuruhnya membetulkan seragamnya.

Pakar tentera baru lulus yang ditegur itu ialah Sarjan Master (MSG) NurSheila Zuraidah Zulkarnain yang mengimbas kembali: "Saya memakai uniform Nombor 3 (seragam pejabat atau pentadbiran Angkatan Bersenjata Singapura (SAF)) dan baju saya tidak dimasukkan dengan kemas ke dalam skirt saya."

"1WO Nora bukan sahaja memberitahu saya apa masalahnya, beliau malah membetulkannya untuk saya pada waktu itu juga," tambah MSG Sheila.

Meskipun beliau tidak ingat tentang kejadian itu, 1WO Nora, 51 tahun, mengakui bahawa sikapnya yang garang membantu menetapkan disiplin yang betul dan tegas di Markas Polis Tentera (MP).

"Beliau adalah seorang pembimbing yang garang tetapi beliau akan sentiasa mendampingi MP wanita dan, lama-kelamaan, kami semakin rapat, tambah MSG Sheila. Wanita berusia 27 itu kini seorang Waran Platun di Institut Latihan Pertahanan Pulau.

Ternyata, hubungan kukuh itu jelas terpancar. Jika kedua-dua wanita itu ditinggalkan bersendirian bersama, mereka akan berborak sehingga ke larut malam berbincang tentang kehidupan, perkahwinan dan juga teman-teman.

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada bulan lalu (8 Mac), majalah Pioneer terbitan Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaparkan hubungan erat antara pasangan pembimbing dengan pelatih wanita yang berkhidmat dalam Polis Tentera dan mencungkil kisah bagaimana mereka meninggalkan kesan positif kepada kaum Hawa lain dalam pasukan tersebut.


'IBU ASUHAN' KEPADA MP WANITA

Kedua-dua 1WO Nora dan MSG Sheila pertama kali bersua muka semasa Pameran Kerjaya Tentera Wanita pada 2013. Ketika itu, MSG Sheila sedang memikirkan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya sebagai pegawai tetap manakala 1WO Nora pula berkongsi pengalaman jujurnya dan jangkaan terhadap tugasan yang perlu digalas seorang tentera.

Related article image
(Gambar: Amos Chew/Pioneer)

Menurut Pioneer, 1WO Nora adalah orang yang menjalankan temu duga kerja pertama bagi MSG Sheila dan sedari itu, mereka saling berhubungan.

Pembimbing kepada MSG Sheila, menyaksikan kemajuan beliau dalam kerjayanya sebagai seorang pakar tentera berkata: "Beliau mencapai Pelatih Platun Terbaik dalam Kursus Kadet Pakar dan adalah sebahagian daripada Kontinjen Panji-Panji di Perbarisan Hari Kebangsaan 2018".

"Gadis ini memiliki kedua-dua daya tarikan dan komitmen untuk menggapai matlamatnya," ujar pembimbing MSG Sheila semasa memuji beliau.

Bagi 1WO Nora pula, beliau menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 1991 dan sudah menyandang pelbagai jawatan dalam Markas MP sebelum dilantik sebagai Ketua Seksyen dalam Pejabat Perhubungan Bahagian Siasatan Khas.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, 1WO Nora juga berjaya menamatkan Kursus Keyakinan Rimba pada 2003 dan menjadi MP wanita pertama untuk mencapai markah antara 10 peratus teratas dalam Kursus Pegawai Waran Bersama pada 2008.

Bukan itu sahaja, beliau juga ibarat 'ibu asuhan' kepada semua MP wanita - satu peranan yang dipikulnya secara sukarela sekitar tujuh tahun lalu.

"Dengan kemasukan gadis-gadis baru ke dalam Markas MP, saya merasakan mereka memerlukan seseorang yang lebih senior untuk menasihati mereka tentang perkara-perkara penting dan memberi tunjuk ajar kepada mereka," Pioneer menukil kata-kata 1WO Nora.

Di bawah penyeliaannya, para MP wanita tetap kekal berhubungan meskipun setelah dikerahkan ke kem-kem dan pangkalan-pangkalan yang berbeza.

Bahkan, 22 daripada MP wanita itu berkongsi sebuah kumpulan sembang di mana 1WO Nora dapat memantau kemajuan dan perkembangan mereka dan mengetahui sama ada mereka berdepan dengan sebarang masalah.
 

Related article image
MSG Sheila menyampaikan taklimat kepada kadet pakar polis tentera. (Gambar: Amos Chew/Pioneer)

Misalnya, apabila MSG Sheila mahu membuat aturan tempat tidur alternatif bagi para kadet wanita yang menginap di Kem Mowbray iaitu tempat tinggal para polis tentera.

Walaupun beliau seorang kadet pakar enam tahun lalu, MSG Sheila adalah satu-satunya wanita dalam kalangan pelatih polis tentera.

Beliau membuka mulut tentang perkara itu kepada 1WO Nora. Bersama-sama, mereka berdua mendapat sokongan daripada Sarjan Mejar formasi mereka untuk membuat perubahan bagi memudahkan wanita yang menginap di sana.

Kini, pelatih wanita menginap di ibu pejabat MP - terletak hanya bertentangan sekolah latihannya - di mana anggota tetap wanita yang lain turut bermalam di sana.

BINA RANGKAIAN WANITA DALAM TENTERA

Menyentuh tentang gaya kepemimpinannya, MSG Sheila berkata beliau mencedok pengalaman daripada pelbagai komander untuk membangunkan gayanya yang tersendiri sebagai seorang Waran Platun.

“Saya melihat Puan Nora sebagai antara peran contoh saya; beliau mencari keseimbangan antara menjadi tegas dan pada masa yang sama, selesa untuk kami mendampinginya,” ungkapnya kepada Pioneer.

“Apabila bertugas, anda perlu bersikap tegas. Tetapi apabila tibanya untuk waktu pentadbiran, anda boleh berbual dengan pelatih anda seperti sebagai seorang teman atau rakan sekerja.”

1WO Nora menambah beliau tidak mempunyai sebarang tokoh wanita untuk dijadikan sebagai peran contoh sehinggalah beliau bertemu dengan Ketua Pegawai Waran (CWO) (Bersara) Jennifer Tan – yang menjadi CWO wanita pertama SAF pada 2018.

Dengan kata-kata perangsang daripada CWO (Bersara) Tan, 1WO Nora mengambil kursus diploma dalam Pengajian Keselamatan Kepolisan sebagai penuntut sambilan pada usia 46 tahun.

“Apabila saya berkesempatan, saya juga akan menghimpunkan para wanita MP kami untuk berdampingan dengan beliau dan untuk beliau berkongsi cabaran serta nasihat. Mempunyai rangkaian wanita dalam SAF adalah sesuatu yang memberi manfaat kepada kami semua.”

Sumber : Sumber Web/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita