1WO Mohamed Ayub Said Abdul Kader raih Anugerah Kecemerlangan Pelajar Antarabangsa Terbaik dalam Kursus Sarjan Mejar Tentera AS
Anak watan, Mohamed Ayub Said Abdul Kader, mengharumkan nama negara setelah menggenggam Anugerah Kecemerlangan Pelajar Antarabangsa Terbaik dalam Kursus Sarjan Mejar Tentera Amerika Syarikat.
SINGAPURA: Anak watan, Mohamed Ayub Said Abdul Kader, mengharumkan nama negara setelah menggenggam Anugerah Kecemerlangan Pelajar Antarabangsa Terbaik dalam Kursus Sarjan Mejar Tentera Amerika Syarikat.
Pencapaian luar biasa ini diumumkan oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menerusi catatan di laman Facebooknya pada Ahad (19 Jul).
Dalam satu majlis tamat pengajian yang diadakan secara maya, menurut SAF, Pegawai Waran Pertama (1WO) Mohamed Ayub meraih anugerah tersebut kerana telah mempamerkan prestasi cemerlang berbanding para pelajar antarabangsa lain dalam pencapaian akademik, penyampaian esei dan Program Pengajian Lapangan.
1WO Mohamed Ayub mengikuti Kursus Sarjan Mejar Tentera Amerika Syarikat selama hampir setahun dari 8 Ogos tahun lalu hingga 19 Jun 2020.
Kursus tersebut meliputi 1,484.7 jam pendidikan dan ia juga ditawarkan sebagai sebuah kursus bukan pemastautin yang berakhir dengan dua minggu pengajaran pemastautin di akademi tersebut.
Dengan menyediakan kaedah untuk membangunkan pemikiran kritikal, daya pemikiran kreatif serta kemahiran membuat keputusan, para tentera dididik untuk meningkatkan perwatakan mereka, pernyataan diri dan memperkukuh keupayaan pasukan kerja.
Kursus itu juga menyediakan sarjan dan sarjan mejar untuk menajamkan tahap pemikiran taktikal ke perspektif operasi dan strategik lantas mempersiapkan mereka bagi kedudukan kepemimpinan dalam pertubuhan yang menjalankan operasi darat bersepadu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.