198 kes baru HIV dilapor di S'pura antara Jan-Okt
Singapura mengesan 198 kes baru HIV dalam kalangan rakyat dan penduduk tetap negara ini dalam 10 bulan pertama tahun ini. Jumlah itu merosot 10 peratus berbanding setahun lalu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (1 Dis).
(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Singapura mengesan 198 kes baru HIV dalam kalangan rakyat dan penduduk tetap negara ini dalam 10 bulan pertama tahun ini. Jumlah itu merosot 10 peratus berbanding setahun lalu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (1 Dis).
Perangkaan lebih rendah itu mungkin terkait dengan kesan pandemik COVID-19, menurut MOH dalam satu kenyataan media.
Dalam satu analisis ke atas 119 kes HIV yang dilaporkan pada separuh pertama tahun ini, MOH menarik perhatian sebahagian besar jangkitan - atau 93 peratus - melibatkan kaum lelaki.
Tambahnya, 48 peratus kes merupakan mereka berusia antara 20 dengan 39 tahun manakala 33 peratus kes berusia 40 hingga 59 tahun.
MOH juga mendapati 60 peratus daripada 119 kes itu menghidapi jangkitan HIV tahap akhir sewaktu didiagnosis.
“Ini adalah 6 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu," menurut kementerian itu.
MOH menambah hubungan seks kekal sebagai penyumbang utama kes jangkitan HIV dan membentuk 94 peratus kes pada separuh pertama tahun ini.
“Hubungan seks sesama jenis adalah penyumbang jangkitan bagi 55 peratus daripada keseluruhan kes manakala 35 peratus daripada hubungan heteroseksual dan 4 peratus daripada hubungan biseksual," menurut MOH.
Kementerian itu menambah sebilangan besar kes baru yang dilaporkan itu - atau 57 peratus - dikesan menerusi ujian HIV yang dilakukan semasa jagaan perubatan "lazimnya pada tahap akhir jangkitan HIV".
Sementara itu, lagi 15 peratus kes tersebut dikesan semasa pemeriksaan HIV berjadual mengikut program, termasuk pemeriksaan bagi individu dengan jangkitan seksual, pesakit di hospital serta mereka yang dikenal pasti menerusi pengesanan kontak.
Lagi 21 peratus kes HIV pula dikesan melalui pemeriksaan HIV atas usaha sendiri manakala baki 7 peratus dikesan menerusi "bentuk pemeriksaan lain".
MOH menarik perhatian lebih ramai individu yang menganggap diri sendiri sebagai homoseksual atau biseksual (30 peratus) mendapat tahu mereka dijangkiti HIV melalui pemeriksaan HIV atas usaha sendiri berbanding heteroseksual (10 peratus).
NASIHAT AWAM
Jumlah kes HIV merosot sejak 2019 apabila 323 jangkitan dilaporkan sepanjang tahun itu. Pada 2020, jumlah keseluruhan 261 kes HIV dilaporkan.
MOH menggesa mereka yang berisiko dijangkiti HIV agar kerap menjalani ujian.
“Ujian HIV berkala dan diagnosis awal boleh memudahkan rawatan dan penjagaan awal. Ini juga akan menyediakan peluang bagi individu yang dijangkiti HIV melindungi pasangan mereka daripada jangkitan kerana individu positif HIV yang sedang menjalani rawatan dan mempunyai virus yang tidak dapat dikesan secara dasarnya tidak berisiko merebakkan virus itu kepada pasangan mereka," terang MOH.
“Dengan rawatan awal dan berkesan, mereka yang hidup dengan HIV boleh terus menjalani kehidupan produktif dan aktif. "
MOH menambah menghindari hubungan seks rambang adalah cara paling berkesan untuk mengekang jangkitan HIV.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.