Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

19,600 flat BTO akan dilancarkan tahun ini, termasuk 3,800 unit dengan masa menunggu kurang 3 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
19,600 flat BTO akan dilancarkan tahun ini, termasuk 3,800 unit dengan masa menunggu kurang 3 tahun

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee. (Gambar: Wallace Woon/CNA)

SINGAPURA: Sekitar 19,600 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan dilancarkan pada 2025. Ia adalah sebahagian daripada usaha pemerintah untuk meningkatkan bekalan perumahan awam dan memenuhi permintaan yang semakin berkembang.

Antaranya termasuk, 3,800 flat – atau hampir 20 peratus – yang akan mempunyai masa menunggu yang lebih singkat iaitu kurang tiga tahun, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dalam satu wawancara bersama CNA Digital, Straits Times dan Lianhe Zaobao awal minggu ini.

Di samping itu, Lembaga Perumahan merancang untuk menawarkan lebih 5,500 unit pada Februari melalui latihan Penjualan Baki Flat yang terbesar yang pernah diadakan. Ini membawa jumlah keseluruhan flat yang akan dijual tahun ini kepada lebih 25,000.

Flat itu merangkumi flat Standard, Plus dan Prime - tiga kategori di bawah rangka kerja klasifikasi yang disemak semula – di lokasi seperti Kallang/Whampoa, Bukit Merah, Queenstown, Mount Pleasant, Woodlands, Yishun dan Sembawang.

Dengan tawaran tahun ini, pemerintah dijangka dapat melancarkan kira-kira 102,300 flat BTO antara 2021 dan 2025, seperti yang dirancang. Ia sekali gus mengatasi komitmennya sebelum ini, iaitu melancarkan sebanyak 100,000 unit dalam tempoh lima tahun, kata Encik Lee.

"Kami telah merancakkan bekalan dengan amat ketara," jelasnya kepada para wartawan.

Beliau menambah bahawa sasaran pemerintah seterusnya adalah untuk melancarkan sebanyak 130,000 flat baharu selewat-lewatnya pada 2027, bermakna lagi 30,000 flat dijangka dijual untuk dua tahun akan datang.

TANGANI CABARAN TERCETUS DARIPADA PANDEMIK

Pertambahan bekalan perumahan itu menangani cabaran yang tercetus daripada pandemik COVID-19, yang mengganggu pembinaan, bahan dan buruh, sekali gus menyebabkan kelengahan dalam menyiapkan flat BTO. Pada masa yang sama, permintaan yang melonjak disebabkan oleh peralihan demografi dan faktor berkaitan pandemik, menaikkan harga jualan semula selepas ia tidak berubah selama bertahun-tahun.

Genap lima tahun berlalu, Encik Lee berkata pemerintah telah menyelesaikan banyak isu ini, termasuk menyelesaikan tunggakan projek yang tertangguh. Kelompok terakhir flat yang ditangguhkan akibat pandemik akan diserahkan kepada pemilik rumah dalam beberapa minggu, katanya.

Peningkatan bekalan juga telah menurunkan kadar permohonan purata bagi para pembeli kali pertama. Daripada semua jenis flat, kadarnya jatuh kepada 2.1 pada 2024 daripada 3.7 pada 2019. Untuk flat tiga bilik dan lebih besar, kadarnya menyusut kepada 2.2 daripada 4.0 dalam tempoh yang sama.

Lebih banyak flat dengan masa menunggu yang lebih singkat ditawarkan, meningkat daripada 732 pada 2023 kepada 2,876 pada 2024 dan 3,800 tahun ini.

Walaupun ini menjadi "ciri utama" bekalan BTO, Encik Lee memberi amaran bahawa ketersediaan flat akan bergantung kepada sumber tanah dan trend kadar permohonan.

Untuk menangani isu kemampuan perumahan sedang harga jualan semula kian melonjak, pemerintah sudah memperkenalkan beberapa langkah untuk meredakan pasaran dan geran yang dipertingkatkan bagi para pembeli kali pertama.

Beliau mengatakan pemerintah "mahu melaksanakan langkah-langkah baharu" untuk memastikan pasaran hartanah kekal selaras dengan asas ekonomi.

Sugguhpun demikian, ia mesti mempertimbangkan langkah-langkah meredakan pasaran yang masih dilaksanakan melalui pasaran, bekalan perumahan yang ketara yang akhirnya akan datang, serta ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi dan geopolitik sejagat.

PERUBAHAN AKAN DATANG

Pada tahun depan, Encik Lee menarik perhatian bahawa pemerintah komited terhadap inisiatif untuk memenuhi keperluan golongan bujang. Mulai pertengahan 2025, golongan bujang akan disertakan dalam skim yang mengutamakan mereka yang memohon flat untuk tinggal bersama atau berdekatan dengan keluarga.

Skim Penjagaan Keluarga (FCS) baharu itu akan dilancarkan dalam dua fasa untuk menggantikan skim sedia ada yang memberi akses keutamaan bagi pasangan suami isteri dan ibu bapa mereka sahaja.

"Kami menjangkakan ini akan menjadi pemacu kedua dalam permintaan daripada bujang dan itulah sebabnya kami komited untuk melancarkan lebih banyak flat dua bilik," kata Encik Lee.

Selain itu, lebih banyak flat dua bilik akan ditawarkan, dengan satu daripada empat unit semasa pelancaran Februari memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada golongan bujang.

Latihan BTO Februari juga akan menyaksikan pengurangan bilangan giliran yang dikeluarkan – daripada tiga kali ganda kepada dua kali ganda bilangan flat yang tersedia – disebabkan oleh penurunan pemohon yang gagal memilih flat.

Pengenalan denda yang lebih ketat pada Oktober 2023 sudah mengurangkan jumlah pemohon yang akhirnya tidak memilih flat daripada 40 peratus kepada kira-kira 19 peratus

Pemerintah juga merancang untuk memperkenalkan Draf Pelan Induk 2025 akhir tahun ini, yang memperincikan penggunaan tanah dan strategi pembangunan untuk 10 hingga 15 tahun akan datang.

Ia akan memberi tumpuan kepada kemampanan, warisan dan daya tahan iklim, dan bukannya pertumbuhan dalam jumlah penduduk, jelas Encik Lee.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan