19 stesen MRT NSL, EWL ditutup sepanjang hari esok dan Ahad depan
Sebanyak 19 stesen di Laluan MRT Utara-Selatan dan Timur-Barat ditutup sepanjang hari esok (10 Dis) dan Ahad depan (16 Dis).
SINGAPURA: Sebanyak 19 stesen di Laluan MRT Utara-Selatan dan Timur-Barat ditutup sepanjang hari esok (10 Dis) dan Ahad depan (16 Dis).
Pihak SMRT mengumumkan penutupan itu bulan lalu, di samping memendekkan masa operasi MRT di laluan stesen-stesen itu pada hujung minggu bulan ini mulai malam semalam (8 Dis).
Langkah tersebut bagi memberikan lebih masa kepada kakitangan kejuruteraan untuk menjalankan kerja-kerja menyenggara dan pembaikan semula landasan.
Stesen-stesen MRT dari Tiong Bahru dengan Tuas Link di Laluan Timur-Barat
dan antara Bukit Batok dengan Bukit Gombak di Laluan Utara-Selatan akan ditutup sepenuhnya esok.
Memandangkan esok hari Ahad dan ramai orang keluar bersiar-siar dengan keluarga, pastinya, rancangan perjalanan mereka akan terjejas.
Oleh itu ada penumpang telah membuat rancangan perjalanan alternatif seperti menaiki bas ulang-alik atau menggunakan khidmat sewa kereta privet atau kongsi kereta seperti Grab, Uber dan Ryde.
Syarikat-syarikat tersebut berharap untuk menarik lebih ramai penumpang dengan menawarkan pelbagai potongan harga.
Pagi tadi (9 Dis) juga merupakan hari pertama 19 stesen tersebut dibuka lebih lambat pada 8 pagi, bukan 5.30 seperti selalunya.
Kebanyakan penumpang yang ditemui di Stesen Buona Vista berkata perubahan itu merumitkan perjalanan mereka ke tempat kerja.
"Ia agak menyulitkan hari ini. Selalunya perjalanan saya mengambil masa hampir sejam tetapi hari ini, saya perlu menukar kepada bas ulang-alik," menurut seorang penumpang yang terjejas.
Selain dibuka lebih lambat, 19 stesen MRT yang berkenaan juga ditutup lebih cepat pada 11.00 malam bermula semalam.
Perubatan masa khidmat kereta api pada hujung minggu itu dijangka menjejas 20,000 hingga 30,000 penumpang.
Namun ia bagi mempercepat kerja-kerja sistem isyarat diselesaikan menjelang pertengahan tahun depan, enam bulan lebih awal daripada jadual asalnya.
Langkah itu menyusuli kejadian pelanggaran dua kereta api di Stesen Joo Koon bulan lalu, yang disebabkan oleh isu tidak sepadan antara sistem isyarat baru dengan yang lama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.