Skip to main content

Singapura

19 orang, termasuk 15 kanak-kanak, dikejarkan ke hospital susuli kebakaran di River Valley

Anggaran Waktu Membaca:
19 orang, termasuk 15 kanak-kanak, dikejarkan ke hospital susuli kebakaran di River Valley

SCDF memadamkan kebakaran di sebuah rumah kedai di sepanjang River Valley Road, dengan anggota bomba menjalankan operasi (kanan) di tingkat kedua, pada 8 April, 2025. (Gambar: Facebook/SCDF)

Diterbitkan : 08 Apr 2025 03:12PM Dikemas Kini : 08 Apr 2025 03:13PM
SINGAPURA: Empat orang dewasa dan 15 kanak-kanak dikejarkan ke hospital berikutan satu kebakaran di sebuah rumah kedai di sepanjang River Valley Road pada Selasa (8 Apr).

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian di 278 River Valley Road pada sekitar jam 9.45 pagi. Api merebak ke tingkat dua dan tiga bangunan tiga tingkat itu apabila anggota bomba tiba.

Video kejadian yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan kanak-kanak duduk di belebas tingkat ketiga semasa kepulan asap hitam keluar.

Orang ramai, termasuk beberapa pekerja binaan, dapat dilihat memanjat perancah dalam usaha untuk menyelamatkan mereka.

Bangunan yang terlibat adalah pusat pendidikan untuk kanak-kanak kecil, menurut papan tanda yang dilihat dalam video tersebut.

"Beberapa orang berada di belebas di luar unit tingkat ketiga. Orang awam, termasuk pekerja binaan, menggunakan perancah logam dan tangga untuk mencapai mereka yang terperangkap dan membawa sebilangan daripada mereka ke tempat selamat," menurut catatan Facebook SCDF.
Related article image
Trak bomba SCDF kelihatan di tempat kejadian di sepanjang River Valley Road pada 8 April, 2025. (Gambar: Ray Ow)
Tangga penyelamat dan tangga pelantar gabungan digunakan untuk menyelamatkan mereka yang masih terperangkap di birai, sementara anggota bomba mara ke tingkat kedua dan ketiga untuk memadamkan api.

Api tersebut dipadamkan menggunakan tiga jet air dalam masa 30 minit.

Sekitar 80 orang di rumah kedai dan premis berdekatan dipindahkan oleh polis dan anggota SCDF, manakala sejumlah 19 mangsa lagi dikejarkan ke hospital, menurut SCDF.
Related article image
Pegawai polis menghalang jalan semasa kebakaran di sepanjang River Valley Road pada 8 Apr,2025. (Gambar: Ray Ow)
Menurut saksi yang ditemui Mediacorp, polis menghalang jalan di luar bangunan yang terlibat untuk membantu anggota bomba SCDF.

Encik Ray Ow berkata beliau berada di dalam Bas 195 kira-kira jam 10.30 pagi apabila semua penumpang diminta turun.

Terdapat "lebih 10 bas di kedua-dua belah jalan di kedua-dua laluan masuk", katanya, sambil menambah bahawa pegawai polis yang berada di tempat kejadian membimbing bas-bas untuk membuat pusingan U.

Encik Ow berkata bahawa beliau melihat kanak-kanak memakai pelitup oksigen di dalam ambulans berhampiran kawasan itu. Walaupun kebakaran sebahagian besarnya telahpun dipadamkan, masih terdapat bau hangit di udara.

Punca kebakaran sedang disiasat.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu menyelamatkan orang yang terperangkap atas tindakan pantas dan keberanian mereka," menurut catatan SCDF.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita