187 kes gastroenteritis terkait hidangan siap makan Hari Pertahanan Mutlak
Sebanyak 187 kes gastroenteritis (radang perut dan usus) dilaporkan akibat hidangan siap makan (RTE) yang diagihkan sebagai sebahagian daripada Hari Pertahanan Mutlak, menurut Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Selasa (4 Mac).

Hidangan siap makan (RTE) SATS yang boleh disimpan tanpa peti sejuk dan dimakan pada suhu bilik. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
Cik Fu mendedahkan demikian semasa menjawab soalan Parlimen mengenai kes keracunan makanan selepas sesetengah pelajar dari Sekolah Seni (SOTA) jatuh sakit selepas memakan hidangan siap makan RTE.
Setakat sehingga 3 Mac, sebanyak 187 kes gastroenteritis disahkan, dengan 184 daripadanya adalah dari sekolah-sekolah. Dua kes dilaporkan dari Pusat Penuaan Aktif dan satu daripada agensi awam.
Ini membentuk sekitar 0.16 peratus peserta, kata Cik Fu.
"Semua individu yang terjejas telah menerima rawatan perubatan yang diperlukan dan sudah pulih. Tiada yang dimasukkan ke hospital," tambah Cik Fu.
Agensi Makanan Singapura (SFA) telah mengumpul sampel makanan untuk diuji. Ujian itu tidak menemui sebarang patogen bawaan makanan, tambah Cik Fu.
SFA dan Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kejadian itu dan SFA akan mengambil tindakan penguatkuasaan jika sebarang kelemahan dikesan, kata Cik Fu.
Hidangan siap makan pada asalnya bertujuan untuk diagihkann kepada lebih 100,000 pelajar dan guru dari lebih 90 sekolah sebagai sebahagian daripada Program Kesediaan Daya Tahan Makanan (FRPP), iaitu inisiatif yang diterajui oleh SFA.
Menjangkaui sekolah, ia juga merancang untuk bekerjasama dengan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) untuk mengagihkan makanan kepada warga emas di Pusat Penuaan Aktif merata negara, dengan lebih 8,000 warga emas di 111 pusat yang mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut.
Makanan itu disediakan oleh SATS untuk kegunaan awam semasa kecemasan negara. Memanfaatkan pengalamannya dalam bidang catuan makanan tentera, SATS menyediakan makanan itu untuk disimpan tanpa peti sejuk dan dimakan pada suhu bilik, dan boleh bertahan sehingga lapan bulan.
Pengagihan hidangan siap makan RTE pada asalnya dijadual berlangsung dari 15 Feb hingga 28 Feb.
Berikutan laporan gastroenteritis, agensi-agensi pemerintah memutuskan pada 20 Feb untuk menghentikan FRPP buat sementara waktu sehingga siasatan kes SOTA selesai.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa juga menghubungi institusi-institusi lain untuk memeriksa sama ada terdapat kes lain yang berkaitan dengan penyakit tersebut.
Menjawab soalan Anggota Parlimen Tan Wu Meng (PAP-Jurong) dan Anggota Parlimen Dennis Tan (WP-Hougang) tentang punca gastroenteritis yang dilaporkan itu, sejauh mana makanan itu tercemar dan jika hukuman akan dikenakan terhadap SATS, Cik Fu berkata bahawa siasatan bersama sedang dijalankan.
Cik Fu berkata bahawa SFA telah memeriksa premis SATS pada 23 Jan, sebelum FRPP dimulakan. Premis itu didapati bersih, dan tiada pelanggaran keselamatan makanan dikesan. SATS juga telah melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk FRPP.
Setiap hidangan siap makan yang dihasilkan di bawah FRPP telah diuji satu persatu. Selanjutnya, makmal bertauliah SFA menjalankan ujian mikrobiologi ke atas sampel untuk menguji keselamatan makanan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.