Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

187 keluarga berjaya jalani KelasMateMatika@CC

Sekitar 187 keluarga yang selesai menjalani program KelasMateMatika (KMM@CC) diraikan dalam satu majlis penyampaian sijil yang diadakan secara maya pada Sabtu (19 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 187 keluarga yang selesai menjalani program KelasMateMatika (KMM@CC) diraikan dalam satu majlis penyampaian sijil yang diadakan secara maya pada Sabtu (19 Dis).

Disebabkan langkah pengurusan selamat yang dilaksanakan di Singapura kerana pandemik COVID-19, MENDAKI melancarkan program eKMM@CC pada Ogos untuk para peserta mengikuti program itu secara online.

Kelas-kelas online yang diadakan menerusi Zoom pula melengkapi jumlah terhad sesi KMM@CC yang diadakan secara fizikal semasa Fasa 2 pembukaan semula secara selamat.

Tahun ini, seramai 790 ibu bapa dan kanak-kanak meraih manfaat dari 24 kelas yang diadakan secara fizikal dan online.

IBU BAPA SEBAGAI GURU PERTAMA ANAK-ANAK

Dalam ucapan pembukaannya semasa majlis penyampaian sijil program KMM@CC pada Sabtu, Menteri Negara Kementerian Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Faishal Ibrahim menekankan pentingnya peranan ibu bapa sebagai guru pertama, pembimbing dan rakan kongsi anak-anak mereka dalam pembelajaran dan pembangunan mereka.

"KMM@CC hanya salah satu daripada inisiatif yang dilakarkan oleh MENDAKI dan M³ bagi menyokong dan memperkasakan ibu bapa.

"Sedang kita beralih secara bertahap-tahap ke arah ekonomi yang dipacu teknologi dan berkaitan STEM, adalah penting untuk anak-anak kita dilengkapi dengan asas yang kukuh dalam Matematik bagi membantu menyediakan mereka untuk fasa pembelajaran mereka seterusnya."

Sehubungan itu, Dr Faishal menekankan bahawa peralihan dari fasa prasekolah ke sekolah rendah merupakan proses genting.

Justeru, beliau menggalakkan para ibu bapa supaya memanfaatkan inisiatif-inisiatif nasional dan masyarakat yang ditawarkan bagi menyokong pembelajaran dan perkembangan anak-anak mereka.

PROGRAM eKMM@CC BANTU TINGKATKAN KEYAKINAN UNTUK SOKONG PEMBELAJARAN ANAK

Salah seorang bapa yang selesai menjalani program eKMM@CC ialah Encik Ednend Abdul Fatah yang menyertai program itu pada Oktober lalu.

(Gambar: MENDAKI)

"Kelas online itu memberikan kami sekeluarga kemudahan kerana kami dapat belajar dalam keselesaan di rumah.

"Petua keibubapaan dan kemahiran yang diajar semasa sesi-sesi itu menambah keyakinan saya untuk menyokong dan membantu dalam pembelajaran anak-anak saya, dan saya juga memanfaatkannya bagi anak sulung saya yang kini berada di sekolah menengah," kata Encik Ednend yang menghadiri kelas online selama 4 minggu bersama isteri dan tiga anak kembar perempuan mereka berusia 6 tahun.

KMM@CC DI 5 TEMPAT M³@BANDAR

Hasil kesepaduan dan usaha antara agensi-agensi M³, program KMM@CC meliputi lima lagi tempat di serata M³@Bandar.

"MENDAKI ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Temasek kerana menyediakan dana bagi menjalankan program KelasMatematika (KMM)@CC.

"Oleh kerana kami akan memperluaskan KMM@CC pada tahun hadapan, saya berharap lebih ramai anggota masyarakat dapat meluangkan masa menjadi pelatih KMM@CC supaya lebih ramai ibu bapa dan anak-anak dapat meraih manfaat daripada program ini," kata ketua pegawai eksekutif Yayasan MENDAKI, Zuraidah Abdullah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan