184 orang di 7 prasekolah PCF Sparkletots terjejas keracunan makanan
Seramai 184 orang terjejas akibat wabak radang perut dan usus, atau gastroenteritis, di beberapa pusat prasekolah Sparkletots kendalian PCF, berbanding 109 kes sebelum ini.
(Gambar: Lim Jia Qi)
SINGAPURA: Seramai 184 orang terjejas akibat wabak radang perut dan usus, atau gastroenteritis, di beberapa pusat prasekolah Sparkletots kendalian PCF, berbanding 109 kes sebelum ini.
Dalam satu kemas kini hari ini (28 Mac), Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa setakat pukul 4.00 petang pada Rabu (27 Mac), seramai 18 daripada mereka dimasukkan ke hospital.
Sembilan daripada mereka sudah dibenarkan pulang ke rumah manakala yang lain pula kini berada dalam keadaan stabil, menurut MOH.
Jurucakap prasekolah PCF Sparkletots berkata hari ini (28 Mac) bahawa kanak-kanak dari tujuh prasekolah terjejas menunjukkan tanda-tanda keracunan makanan.
Enam daripada tujuh prasekolah terjejas terletak di Blok 210, Blok 270, Blok 290A, Blok 298B, Blok 262A dan Blok 208 Sengkang Central. Sebuah prasekolah PCF Sparkletots di Punggol North turut terjejas.
"Kami sedang berhubungan dengan para ibu kanak-kanak yang terjejas dan kami juga sedang memantau keadaan anak-anak mereka. PCF Sparkletots akan terus memberikan bantuan relevan kepada semua pihak yang terjejas," kata jurucakap itu lagi.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan secara bersama oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) serta Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) pada Selasa (27 Mac), MOH menyatakan bahawa 109 kes gastroenteritis dilaporkan di empat pusat prasekolah PCF Sparkletots.
Wabak gastroenteritis itu dikesan daripada hidangan makanan yang disiapkan oleh Kate's Catering.
Meskipun punca jangkitan yang dialami kanak-kanak tersebut belum lagi dikenal pasti, namun operasi syarikat khidmat katering itu sudahpun digantung buat sementara di semua 11 pusat "bagi tempoh masa yang tidak ditetapkan", menurut PCF Sparkletots dalam satu kenyataan.
PCF Sparkletots turut menyatakan bahawa pihaknya sedang membantu siasatan pihak berkuasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.