Skip to main content

Singapura

183 individu disiasat polis susuli serbuan di tempat-tempat hiburan malam

Polis sedang menjalankan siasatan terhadap 183 individu menyusuli pemeriksaan penguatkuasaan merata Singapura di 70 tempat hiburan awam dan pusat hiburan malam antara 13 September dengan 23 Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap 183 individu menyusuli pemeriksaan penguatkuasaan merata Singapura di 70 tempat hiburan awam dan pusat hiburan malam antara 13 September dengan 23 Oktober.

Sebanyak 15 cawangan didapati melakukan pelbagai kesalahan melanggar kawalan minuman keras dan hiburan awam serta menyalahi undang-undang COVID-19, menurut polis dalam satu kenyataan hari ini (3 Nov).

Beberapa pengendali juga didapati mengendalikan cawangan "berkonsep KTV" yang tidak berlesen, menurut polis.

Salah satu kes tersebut adalah sebuah tempat KTV haram yang dipercayai beroperasi dalam sebuah unit rumah kedai di Syed Alwi Road.

Semasa serbuan pada 2 Oktober, polis menemui lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 dengan 33 tahun di unit itu.

Unit itu juga dilengkapi dengan beberapa bilik privet yang mempunyai sistem-sistem karaoke, televisyen dan mikrofon.

Botol-botol minuman keras juga ditemui dalam bilik berkenaan, yang dipercayai dibekalkan kepada para pelanggan, menurut polis.

Seorang lelaki berusia 21 tahun, iaitu salah seorang daripada sembilan individu di unit itu, dikenal pasti dan dipercayai adalah pemilik cawangan itu.

Dia juga didapati terbabit dalam kesalahan lain dan memiliki bahan-bahan dipercayai dadah terkawal dan perkakas pengambilan dadah, menurut polis.

Lelaki itu diberkas atas kesalahan berkaitan dadah, minuman keras dan hiburan awam.

Seorang lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 18 dengan 21 tahun, yang didapati merupakan kenalan lelaki berusia 21 tahun berkenaan, turut diberkas atas kesalahan disyaki berkaitan dadah.

Kesemua sembilan individu itu sedang membantu dalam siasatan berhubung pelanggaran peraturan jarak selamat COVID-19, menurut polis.

Dalam satu lagi kejadian pada 4 Oktober, polis menerima panggilan meminta bantuan berhubung perjumpaan beramai-ramai di sebuah bangunan perindustrian pelbagai guna di Upper Paya Lebar Road.

Seorang lelaki berusia 28 tahun didakwa mengendalikan sebuah rumah perjudian di sebuah unit dalam bangunan tersebut, dengan dibantu oleh seorang lagi lelaki berusia 28 tahun, menurut polis.

Lagi 10 lelaki dan tiga wanita yang berusia antara 21 dengan 51 tahun, dipercayai dijumpai sedang bermain daun terup dan permainan 'pool' dalam unit berkenaan.

Unit itu juga mempunyai sebuah bilik privet yang dilengkapi dengan sebuah sistem karaoke, konsol permainan, alat pembesar suara dan mikrofon.

Kesemua 15 individu itu diberkas atas kesalahan berjudi secara haram dan turut disiasat kerana tidak mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat, menurut polis.

Seorang lelaki berusia 25 tahun, yang tidak hadir semasa pemeriksaan polis, turut disiasat atas kesalahan perjudian haram dan menyediakan hiburan awam tanpa lesen.

Kejadian ketiga pada 23 Oktober membabitkan sebuah cawangan "berkonsep KTV" yang tidak berlesen di sebuah unit perindustrian pelbagai guna di Tagore Lane.

Polis menemui 39 lelaki dan 16 wanita yang berusia antara 18 dengan 45 tahun di dalam bangunan itu.

Unit itu dibahagikan kepada dua bahagian, setiap satu dengan ruang berehat yang dilengkapi dengan sistem karaoke, televisyen, alat pembesar suara dan lampu berkelipan.

Botol-botol minuman keras turut ditemui di beberapa meja.

Dua daripada lelaki berkenaan yang berusia antara 31 dengan 35 tahun, dikenal pasti dan dipercayai merupakan pengendali cawangan itu dan mereka turut diberkas atas kesalahan melanggar kawalan minuman keras dan hiburan awam.

Kesemua 55 individu akan disiasat atas kesalahan melanggar langkah jarak selamat, menurut polis.

Mereka yang didapati bersalah membekalkan minuman keras tanpa lesen yang sah dan menyediakan hiburan awam tanpa lesen yang sah boleh didenda sehingga S$20,000 bagi setiap kesalahan.

Mereka yang didapati bersalah melanggar peraturan jarak selamat COVID-19 pula boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Polis menyatakan pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan kerap di cawangan-cawangan hiburan awam bagi mengekang sebarang kegiatan maksiat dan aktiviti-aktiviti haram yang lain.

"Orang awam dan para peniaga dinasihatkan supaya mengambil serius langkah-langkah jarak selamat sedia ada," tambah polis.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita