Skip to main content

Singapura

1819 Aliwal bakal buka cawangan baharu di Osaka pada Sep

Anggaran Waktu Membaca:
1819 Aliwal bakal buka cawangan baharu di Osaka pada Sep

Pemilik bersama 1819 Aliwal, Cik Reka Sungkar (kiri) dan Encik Andri Jamil (kanan), sudah beberapa kali berulang-alik ke Osaka sejak lapan bulan lalu, untuk menguruskan segala persiapan pembukaan cawangan tersebut di Osaka, Jepun, pada September nanti. Rendang daging di atas pulut kuning berbentuk sushi dan mi udon yang dihidangkan bersama kuah lemak cili padi serta udang galah antara hidangan yang mahu ditawarkan di sana. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Bagi sesetengah foodie, restoran 1819 Aliwal mungkin sudah tidak asing lagi - apatah lagi ia pernah menjadi salah satu daripada segelintir sahaja kedai makan halal di Boat Quay.

Restoran milik usahawan Melayu itu kini mahu 'dibawa' pula ke Osaka, Jepun, dan mula beroperasi pada September nanti.

Pemilik bersama 1819 Aliwal, Encik Andri Jamil dan Cik Reka Sungkar, sudah beberapa kali berulang-alik ke Osaka sejak lapan bulan lalu, untuk menguruskan segala persiapan pembukaan cawangan tersebut.

Buat masa ini, 1819 Aliwal hanya mempunyai satu cawangan di 28 Aliwal St dan menawarkan menu 'fusion' seperti Krabi Tom Yum Pla Pasta, SG Lemak Chilli Padi Pasta dan hidangan istimewanya, 1819 Australian Grain Fed Tomahawk.

SEBAB PILIH PASARAN HALAL OSAKA MESKI KOS PELABURAN TINGGI

Ditanya mengapa Osaka dipilih sebagai destinasi antarabangsa pertama bagi meluaskan jenama 1819 Aliwal, Encik Andri, 49 tahun, menarik perhatian kepada pasaran pelancong Muslim di Jepun yang sedang pesat berkembang.

"Kami lihat potensi makanan halal di Jepun semakin meningkat. Pasarannya besar, tetapi tidak banyak premis F&B. Dan sekalipun ada, tempat kecil. Jadi, (pelanggan) terpaksa beratur selama satu atau dua jam. Osaka pula... ia tidak sesibuk Tokyo dan juga tidak sesunyi Kyoto," jelas ketua cef 1819 Aliwal itu, yang memiliki kira-kira 30 tahun pengalaman dalam dunia kulinari tempatan dan antarabangsa.

Satu lagi faktor yang diambil kira adalah harga penerbangan ke Osaka yang semakin kompetitif - aspek penting dalam pemilihan lokasi.

Tahun lalu, syarikat penerbangan tambang murah Jepun, Peach, melancarkan penerbangan langsung ke Osaka dari Singapura. Laluan ini juga dikendalikan Singapore Airlines dan anak syarikat tambang rendahnya, Scoot, sekali gus memudahkan perjalanan antara Singapura dan Osaka.

(Dari kiri) Pemilik bersama 1819 Aliwal, Encik Andri Jamil dan Cik Reka Sungkar, serta suaminya meninjau lokasi yang sesuai untuk membuka cawangan di Osaka. (Gambar: Andri Jamil)

Hasrat memperluaskan jenama 1819 Aliwal ke luar negara sebenarnya sudah tercetus sebelum pembukaan 'RestoCafe' di Kampong Gelam. Ini kerana Encik Andri dan Cik Reka merasakan masa depan pasaran halal F&B di Singapura semakin suram.

"Banyak premis F&B besar beralih daripada bukan halal kepada halal, bermakna pasaran halal semakin besar tapi orang yang makan sama sahaja," keluh Encik Andri.

Encik Andri baru saja pulang ke tanah air pada awal tahun ini untuk menguruskan 1819 Aliwal, setelah dua tahun bekerja sebagai eksekutif cef di sebuah restoran di London, Singapulah.

Beliau memainkan peranan penting dalam memperkenalkan cita rasa orang Singapura menerusi pelbagai sajian di restoran yang terletak di Shaftesbury Avenue di Soho itu.

Persiapan pembukaan cawangan baharu di Osaka kini berada di tahap lanjut, termasuk proses pemilihan unit yang sesuai. Kebanyakan premis di sana sudah sedia untuk beroperasi sebaik sahaja dipilih.

Antara lokasi yang sedang dipertimbangkan adalah kawasan Tennoji dan Midosuji. Ini berdasarkan kekurangan premis F&B halal di sekitar kawasan tersebut serta jaraknya yang berdekatan dengan Namba, salah satu tarikan utama pelancong di Osaka.

Pemilik bersama 1819 Aliwal, Encik Andri Jamil (tengah) dan Cik Reka Sungkar (kedua dari kiri) menghadiri mesyuarat untuk menguruskan segala persiapan pembukaan cawangan tersebut di Osaka. (Gambar: Andri Jamal)

Percubaan untuk menembusi pasaran di Jepun pula ternyata tidak mudah.

"Dekat Jepun ini, caranya berbeza.Mereka tidak bercakap dengan anda tentang menyewa tempat itu (selagi) anda ada seseorang di sana, syarikat di sana untuk melakukan semua itu untuk anda. Jadi, kami terus mencari orang sehingga kami ada seorang pelabur di Jepun, yang terima usulan kami dan kami ada seorang pelabur juga dari Arab," terang Encik Andri ketika ditemui BERITA Mediacorp.

Sekitar S$500,000 dilabur untuk membuka restoran baharu di Osaka.

MEMBAWA CITA RASA ASIA KE OSAKA

Encik Andri selanjutnya berkongsi bahawa beliau tidak merancang untuk menyajikan hidangan Jepun di cawangan baharunya di Osaka, memandangkan cef-cef tempatan memiliki kepakaran yang jauh lebih tinggi dalam masakan tersebut.

Sebaliknya, beliau memilih untuk mengetengahkan kepakarannya dalam sajian yang memenuhi selera orang Asia, yang lebih dekat dengan cita rasa pelanggan sasarannya.

Cawangan di Osaka itu khususnya disasarkan kepada pelancong Muslim dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.

"Kalau macam orang Indonesia atau Singapura, kita perlukan sesuatu yang pedas. Bagi mereka, pedas itu adalah serpihan cili atau wasabi, yang tidak pedas bagi kami," seloroh Encik Andri.

Walaupun Encik Andri masih memuktamadkan menu untuk cawangan baharu itu, beliau sempat berkongsi beberapa sajian utama dengan kru BERITA Mediacorp.

Mi udon yang dihidangkan bersama kuah lemak cili padi dan udang galah ini antara hidangan yang mahu disertakan dalam menu cawangan di Osaka itu. (Gambar: Fatyn Afiqah/BERITA Mediacorp)
Antaranya termasuk sajian berbentuk 'sushi' yang diperbuat daripada pulut kuning dan rendang daging, serta mi udon yang dihidangkan bersama kuah lemak cili padi dan udang galah.
Sajian berbentuk 'sushi' yang diperbuat daripada pulut kuning dan rendang daging ini salah satu hidangan yang mahu ditawarkan di sana. (Gambar: Fatyn Afiqah/BERITA Mediacorp)

NAVITO HALAL PACU STRATEGI PEMASARAN 1819

Pada awal bulan lalu, 1819 Aliwal menampilkan Navito Halal, seorang pempengaruh terkenal Jepun dikenali ramai atas perkongsiannya mengenai sajian halal di seluruh Jepun, menerusi wadah media sosialnya.


 

Pempengaruh itu, yang mempunyai 1.2 juta pengikut di Instagram dan hampir 400,000 di TikTok, dilihat menjamu selera di 'RestoCafe' berkenaan.

Kemunculan Navito itu ternyata sebahagian daripada strategi pemasaran menjelang pembukaan cawangan baharu di Osaka.

"Aliwal 1819 belum banyak yang tahu, terutamanya pelancong dari Indonesia atau pelancong dari Malaysia. Rakan kongsi kami di Jepun, kebetulan dia pun kenal seorang pempengaruh Navito halal. Pengikutnya, kebanyakannya dari pelbagai negara Asia," jelas Cik Reka, yang juga merupakan pengarah Noah Travel & Tours, sebuah syarikat pelancongan tempatan.

Cik Reka, 48 tahun, turut menambah bahawa kerjasama dengan Navito dari segi pemasaran akan diteruskan apabila cawangan di Osaka beroperasi kelak.

SELAIN OSAKA, 1819 ALIWAL AKAN BUKA CAWANGAN BAHARU DI GEYLANG

Apabila ditanya tentang rancangan menembusi pasaran antarabangsa, Cik Reka mengakui ia menjadi fokus utama 1819 Aliwal. Beliau bahkan berkongsi bahawa selepas memastikan operasi di Osaka berjalan lancar, mereka merancang untuk membawa jenama itu ke Arab Saudi pula.

Sekalipun demikian, mereka tetap menganggap pasaran Singapura penting dan masih 'berbaloi' untuk diberikan tumpuan.

1819 Aliwal bahkan telah mengumumkan pembukaan cawangan ekspresnya di Alwadi Geylang, yang dijadual dibuka pada bulan depan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita