Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

18 slot pernikahan setiap minggu dikekalkan apabila ROMM berpindah sementara ke Esplanade Mall

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jumlah slot nikah akan dikekalkan sebanyak 18 setiap minggu apabila Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) berpindah buat sementara ke Esplanade Mall pada Isnin depan (14 Apr).

Dalam satu wawancara bersama Berita Mediacorp, Pendaftar ROMM, Ustaz Nor Razak Bakar berkata ROMM akan kekal menjalankan empat sesi pernikahan pada hari Isnin hingga Khamis dan dua sesi pada hari Jumaat.

Menurutnya juga, ROMM tidak menjalankan sesi pernikahan pada hari Sabtu.

Permintaan slot nikah juga tidak terjejas meskipun berpindah lokasi.

"Kami dapati bahawa jumlah pasangan yang memilih untuk buat dekat Esplanade Mall ini tetap sama seperti mana ketika mereka boleh memilih untuk bernikah di sini," kata Ustaz Nor Razak yang sudah berkhidmat dengan ROMM selama 25 tahun.

"Apabila kita buka slot-slot untuk tujuan nikah di lokasi sementara, jumlah tersebut dipenuhi setiap kali kita bukalah untuk tujuan pernikahan. Jadi bermakna, memang merupakan sambutan walaupun itu mungkin tempat baru dan mereka mungkin boleh menjangkakan sesuatu yang jauh lebih berbeza," tambah beliau lagi.

Kedua-dua Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan ROMM akan berpindah buat sementara dari 2025 hingga 2028 bagi memberi laluan untuk tapak sedia ada di Canning Rise dibangunkan semula.

Di lokasi sementara itu, ROMM akan cuba memastikan pengurusan yang lebih baik bagi mengelak kesesakan.

Hal itu juga memandangkan Esplanade Mall juga mempunyai kemudahan lain yang menarik pengunjung masing-masing.

Ini tidak seperti bangunan asal ROM dan ROMM yang khas untuk para mempelai dan keluarga serta kenalan mereka.

Ustaz Nor Razak menjelaskan: "Kemudahan yang kami sediakan sekarang ini tentang pengurusan secara digital akan tetap kami sediakan berterusan di lokasi sementara dan ini bertujuan untuk mengurangkan bilangan yang perlu datang secara fizikal di bangunan sementara kelak. Jadi, itu tujuan kita untuk mengurangkan jumlah melalui khidmat secara dalaman ataupun secara online."

"Pasangan-pasangan yang hadir bagi tujuan sama ada untuk hadir sesi temu duga ataupun hadir untuk bernikah, maka harus mengambil kira perkara-perkara sebegini.Mungkin datang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan dan sebagainya seperti penggunaan lif, tangga bergerak," tambah beliau.

Semua janji temu dan majlis pernikahan yang dijadualkan di ROM/ROMM dari 14 April akan secara automatik dipindahkan ke lokasi baharu di Esplanade Mall.
KENANGAN USTAZ PASUNI MAULAN DI CANNING RISE

Meskipun sementara, pemindahan lokasi ini juga ada kesannya bagi mereka yang sudah lama berkhidmat di bangunan asal di Canning Rise.

Antara individu yang mempunyai pelbagai kenangan di bangunan itu ialah Mantan Pendaftar ROMM, Ustaz Pasuni Maulan.

Sewaktu ROMM berpindah ke Canning Rise pada 1983, beliau sudah mula berkhidmat dengan ROMM.

Pada ketika itu, ia satu perubahan besar bagi Ustaz Pasuni kerana bangunan di Canning Rise itu jauh lebih besar berbanding lokasi sebelumnya iaitu di sebuah rumah banglo di Fort Canning Park.

Ustaz Pasuni berkongsi kenangan: "Waktu di bangunan lama, ruang untuk dewan pernikahan terlalu kecil tetapi, bila sampai di tempat ini telah dibesarkan dewan pernikahan itu yang boleh menampung lebih daripada 100 orang."

"Waktu itu, memang amat diperlukan kerana masyarakat kita lebih selesa di tempat yang besar di mana dua keluarga akan datang. Jadi, kita telah berjaya untuk memberikan peluang dan ruang kepada masyarakat untuk merayakan hari yang bersejarah dalam kehidupan mereka," tambah beliau lagi.

Ustaz Pasuni juga kemudian menggalas tanggungjawab selaku Pendaftar kedua ROMM, selepas mengambil alih tanggungjawab itu daripada Allahyarham Haji Abu Bakar Hashim.

Bagi dirinya, bangunan ROMM di Canning Rise itu mempunyai kesan yang besar kepada pembangunan keluarga Islam.

Beliau berkata: "Di sinilah kita mula mengembangkan kursus-kursus yang bertujuan untuk membantu pasangan-pasangan memasuki kehidupan berkeluarga dengan lebih bersedia mengikut tahap-tahap mereka. Umpamanya, kalau di zaman Allahyarham Haji Abu Bakar Hashim, beliau telah memperkenalkan kursus bimbingan rumah tangga."

"Kemudian, di zaman saya memangku ataupun mengambil jawatan sebagai Pendaftar, saya telah mengembangkannya dengan kerjasama tema-teman yang lain seperti mengadakan kursus ataupun program untuk golongan belia untuk pasangan-pasangan muda yang hendak mendirikan rumah tangga," tambah Ustaz Pasuni.

Sepanjang lebih 50 tahun menjadi Kadi, Ustaz Pasuni juga merakam pelbagai kenangan manis dengan para mempelai yang masih mengingati beliau.

"Saya rasa bersyukur kerana apabila saya jumpa mereka, mereka berkata “Ustaz, ustaz nikahkan saya 40 tahun dulu. Ustaz nikahkan saya 50 tahun dahulu.” Alhamdulillah, mereka yang saya jumpa itu, sebahagian besarnya, rumah tangga itu dapat dikekalkan. Sampai saya bertanya, cucu berapa sekarang? Bukan tanya anak berapa, cucu berapa sekarang?" kata Ustaz Pasuni.

Di lokasi yang baharu nanti, Ustaz Pasuni berharap setiap pasangan dapat terus menjalani program-program yang ditetapkan untuk membina rumah tangga yang sakinah dan berdasarkan kasih sayang yang berkekalan.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan