18 rakyat S'pura, 22 majikan terima Anugerah Biasiswa SkillsFuture, Majikan SkillsFuture
Antara penerima Anugerah Biasiswa SkillsFuture ialah Pengetua Eksekutif dan Ketua Iyad Perdaus Cik Zaiton Mohd Ali, 44 tahun, dan Pengurus Penyenggaraan Kejuruteraan SMRT TEL, Muhammad Hazri Abdul Halil, 46 tahun.
Zaiton Mohd Ali (kiri) dan Muhammad Hazri Abdul Halil.
SINGAPURA: Seramai 18 rakyat Singapura dan 22 majikan menerima Anugerah Biasiswa SkillsFuture dan Majikan SkillsFuture tahun ini.
Anugerah tersebut mengiktiraf komitmen dan sokongan mereka terhadap pembangunan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat.
Antara penerima Anugerah Biasiswa SkillsFuture ialah Pengetua Eksekutif dan Ketua Iyad Perdaus Cik Zaiton Mohd Ali, 44 tahun, dan Pengurus Penyenggaraan Kejuruteraan SMRT TEL, Muhammad Hazri Abdul Halil, 46 tahun.
Anugerah Biasiswa SkillsFuture mengiktiraf dan menyokong rakyat Singapura yang mempamerkan kepakaran dalam bidang masing-masing serta komitmen kepada bimbingan dan pembangunan kemahiran orang lain.
Setiap daripada mereka menerima anugerah S$10,000 bagi menyokong mereka untuk terus menimba kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat.
ZAITON MOHD ALI
Laluan peningkatan kerjaya Cik Zaiton bermula selepas beliau menukar kerja dari bidang pelancongan ke bidang pendidikan awal kanak-kanak pada 2006.
Beliau kemudian mendapatkan Diploma secara serentak dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Kaunseling.
Beliau yang begitu bersemangat untuk menimba ilmu baru dan mempertingkat kemahirannya, menetapkan sasaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Pada Januari tahun ini, beliau berjaya menggenggam ijazah Sarjana dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada NIE-NTU.
(Gambar ihsan: Cik Zaidon Mohd Ali)
"Saya berpegang kepada prinsip bahawa pembelajaran sepanjang hayat sangat digalakkan kerana ilmu tidak mengenal batasan. Ia berlaku dari buaian hingga ke liang lahad," ujar Cik Zaiton.
Meskipun sudah memegang jawatan tinggi sebagai Pengetua Eksekutif dan Ketua Iyad Perdaus, ia jelas tidak menghambat Cik Zaiton untuk terus menimba ilmu.
Malah biasiswa tersebut membakar lagi semangat beliau untuk mempelajari lebih banyak lagi aspek tentang tugasnya.
"Saya tidak rasa kedudukan menghalang seseorang daripada menimba ilmu, dan saya tidak berhasrat berhenti mengejar ilmu. Banyak yang berubah-ubah dalam pendidikan awal kanak-kanak dan saya harus terus kekal relevan.
"Saya perlu pastikan saya terus memberi inspirasi kepada pemimpin lain. Biasiswa ini memberi peluang kepada saya mengejar ilmu dalam kursus lain dan menyumbang kembali kepada masyarakat," kongsi Cik Zaiton.
MUHAMMAD HAZRI ABDUL HALIL
Encik Hazri memulakan kerjayanya sebagai Teknisyen Pelatih di SMRT pada 1995.
Teruja dapat memperkasa kemahiran dalam bidang kerjanya, Encik Hazri kemudian menghadiri kelas malam di Politeknik Singapura bagi Diploma Kejuruteraan Elektrik secara sambilan.
Pernah berkhidmat di SBS Transit selama 17 tahun, beliau kembali ke SMRT pada 2018 dan diberi lebih banyak peluang maju dalam kerjayanya, sekali gus dinaikkan pangkat Penolong Jurutera.
Kini, Encik Hazri mengambil ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Umum dengan Mata Pelajaran Tambahan dalam Pengurusan Pertubuhan di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).
"Tentu sekali saya berasa gembira diiktiraf atas komitmen saya terhadap pembelajaran sepanjang hayat. Ia ibarat menjadi peran contoh dan saya harap dapat memberi inspirasi kepada kawan-kawan sekerja lebih muda," kata Encik Hazri.
Beliau kini menguruskan sepasukan teknisyen dan bangga dapat berkongsi ilmu pengetahuan dalam ujian dan penyelesaian masalah.
"Ini peluang saya menjadi mentor kepada rakan-rakan sekerja lebih muda dalam memberikan nasihat kerjaya dan meningkatkan mutu kehidupan mereka. Saya berharap ini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk bekerja keras kerana kejayaan menanti mereka," ujar Encik Hazri, yang kini sebahagian pasukan bagi Laluan Thomson-East Coast.
ANUGERAH MAJIKAN SKILLSFUTURE
Anugerah Majikan SkillsFuture mengiktiraf majikan contoh yang banyak menunjukkan usaha dalam membangunkan kemahiran dan laluan kerjaya berlandaskan kemahiran bagi pekerja mereka.
22 penerima itu terdiri daripada tujuh Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) serta 15 bukan SME.
Penerima SME
1. AAVC - Animal & Avian Veterinary Clinic
2. Dragnet Smartech Security
3. Fei Siong Food Management
4. Fong's Engineering and Manufacturing
5. Nature Landscapes
6. Raffles Quay Asset Management
7. SMRT Automotive Services
Penerima bukan SME
1. Aviva
2. Certis Cisco Security
3. Crimsonlogic
4. IBM Manufacturing Solutions
5. Integrated Health Information Systems (IHiS)
6. Keppel Offshore & Marine
7. Michelman Asia-Pacific
8. Novotel Singapore on Stevens
9. PayPal
10. Resorts World at Sentosa
11. Sembcorp Industries
12. Singapore Exchange Limited
13. Singapore Pools (Private)
14. Singapore Post
15. Tai Sin Electric
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.