Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

18 masjid buka lebih banyak ruang solat Jumaat mulai 1 Jan

Sebanyak 18 lagi masjid akan menambah ruang solat Jumaat setiap sesi mulai 1 Januari,menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) di laman Facebooknya pada Jumaat (18 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
18 masjid buka lebih banyak ruang solat Jumaat mulai 1 Jan

Petikan gambar Masjid Darussalam, di Commonwealth Avenue West. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 19 Dec 2020 02:31PM Dikemas Kini : 19 Dec 2020 02:43PM

SINGAPURA: Sebanyak 18 lagi masjid akan menambah ruang solat Jumaat setiap sesi mulai 1 Januari.

Perubahan-perubahan pada bilangan zon bagi para jemaah itu diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) di laman Facebooknya pada Jumaat (18 Dis).

Dengan penambahan ruang mulai tahun baru, 22,500 tempat akan disediakan di 64 masjid di merata negara bagi para jemaah menunaikan solat Jumaat, menurut MUIS, berbanding 19,110 pada minggu sebelumnya.

5 MASJID BUKA 4 ZON, 13 LAGI MASJID BUKA 3 ZON

Menurut kemas kini MUIS pada Jumaat petang, sedang Singapura menuju ke Fasa 3 pembukaan semula lewat bulan ini, ruang-ruang di masjid bagi solat Jumaat juga akan "diperluaskan secara bertahap-tahap dan selamat".

Mulai 1 Januari, 13 lagi masjid akan menawarkan tiga zon bagi setiap sesi solat Jumaat, dengan setiap zon boleh menampung 50 jemaah.

Ini bermakna, masjid-masjid tersebut boleh menampung 150 jemaah secara serentak bagi setiap sesi atau 450 jemaah setiap minggu.

Pada masa yang sama, lima lagi masjid akan menawarkan empat zon dengan 50 jemaah setiap zon bagi setiap sesi solat. Kesemuanya, masjid-masjid ini boleh menempatkan 200 jemaah secara serentak setiap sesi solat atau 600 setiap Jumaat.

Berikut adalah senarai masjid-masjid yang akan menawarkan ruang-ruang tambahan itu:

(Sumber maklumat: MUIS)

(Sumber maklumat: MUIS)

Mulai Selasa (22 Dis), orang ramai boleh menempah tempat untuk solat Jumaat pada 25 Disember dan 1 Januari di laman https://ourmosques.commonspaces.sg atau aplikasi Muslim.sg.

MASJID SULTAN DITUTUP, 1 ZON SOLAT DI RUANG ANNEXE

MUIS turut mengumumkan, mulai Sabtu, 19 Disember, Masjid Sultan akan menjalani kerja-kerja pembaikan yang dijangka mengambil masa 15 minggu. Menurut MUIS, masjid tersebut akan dibuka semula sepenuhnya awal tahun depan atau seminggu sebelum Ramadan.

Semasa tempoh itu, orang ramai masih boleh melakukan solat di masjid itu namun di Bangunan Annexe bersebelahan bangunan utama.

Masjid Sultan adalah salah satu daripada 10 masjid di sini yang merintis ruang tambahan bagi solat Jumaat, dengan tiga zon dengan 50 jemaah setiap satu ditawarkan bagi setiap satu sesi solat Jumaat.

Namun mulai Jumaat hadapan, 25 Disember, hanya satu zon menampung 50 jemaah ditawarkan bagi setiap sesi solat Jumaat di situ, dengan tiga sesi dijalankan setiap minggu.

Jemaah diingatkan untuk membuat tempahan ruang seperti biasa sebelum mengunjungi masjid itu.

"Kami memohon pemahaman masyarakat sedang kami terus meningkatkan pengalaman anda di masjid-masjid kami," menurut MUIS di Facebook.

Dalam pada itu, MUIS sekali lagi mengingatkan jemaah yang telah menempah ruang solat di masjid namun kemudiannya tidak dapat hadir, supaya membatalkan tempahan itu sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu yang ditempah demi memberi laluan kepada jemaah lain.

Pembatalan boleh dibuat menerusi pautan dalam emel pengesahan yang dihantar kepada mereka, atau di pautan ini.

"Marilah kita terus menjaga satu sama lain dan menunjukkan penghargaan serta sokongan kepada kakitangan dan sukarelawan masjid sedang kita mendirikan solat di masjid-masjid," kata MUIS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan