17 murid, 2 kakitangan alami simptom gastroenteritis di Prasekolah E-Bridge di MacPherson
Pihak berkuasa sedang menyiasat kes disyaki gastroenteritis, atau radang perut dan usus dilaporkan di Prasekolah E-Bridge cawangan Circuit Road.
17 murid dan 2 kakitangan dari Prasekolah E-Bridge di cawangan Circuit Road di MacPherson dilaporkan mengalami simptom gastroenteritis. (Gambar fail: laman Prasekolah E-Bridge)
Setakat Jumaat lalu (12 Sep), 17 murid dan dua kakitangan dari prasekolah berkenaan di MacPherson dilaporkan mengalami simptom gastroenteritis sejak 9 September lalu, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), Agensi Pembangunan Awal kanak-Kanak (ECDA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu kenyataan bersama pada Isnin (15 Sep).
Tiada sesiapa yang dimasukkan ke hospital, menurut CDA, ECDA dan SFA kepada Mediacorp.
"ECDA sedang memantau situasi itu dan bekerjasama dengan pengendali prasekolah untuk memastikan kesejahteraan murid-murid dan kakitangan di prasekolah berkenaan," menurut pihak berkuasa.
Agensi itu "juga mengingatkan prasekolah supaya memastikan garis panduan kawalan dan pencegahan jangkitan berkaitan dipatuhi".
Prasekolah E-Bridge adalah sebahagian daripada Kumpulan Pendidikan EtonHouse International dan mempunyai 29 lokasi di seluruh Singapura, menurut lamannya.
Kes itu menyusul satu lagi kejadian di mana murid-murid dan kakitangan dari dua prasekolah jatuh sakit dan disyaki mengalami gastroenteritis pada bulan lalu.
Pada Ogos lalu, 24 murid-murid dan dua kakitangan Prasekolah PCF Sparkletots di cawangan Mountbatten Blok 92 dilaporkan mengalami simptom gastroenteritis.
Seramai 17 murid dan seorang kakitangan dari Mulberry Learning, iaitu sebuah prasekolah di Punggol, juga jatuh sakit sekitar tempoh yang sama.
SFA menyatakan ia sedang "bekerja rapat" dengan ECDA bagi mengukuhkan amalan keselamatan makanan di prasekolah, manakala SFA menyatakan para pengendali makanan perlu mematuhi amalan keselamatan makanan yang baik dan ia "tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali makanan yang tidak mematuhi peraturan".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.