17 majlis bandaran dibentuk termasuk Majlis Bandaran Sengkang yang baru
Sebanyak 17 majlis bandaran, termasuk Majlis Bandaran Sengkang yang baru, dibentuk menyusuli Pilihan Raya Umum (GE). Majlis-majlis bandaran itu diberi masa sehingga 28 Okt untuk melakukan penyerahan masing-masing, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Khamis (30 Jul).
(Gambar: Alif Amsyar)
SINGAPURA: Sebanyak 17 majlis bandaran, termasuk Majlis Bandaran Sengkang yang baru, dibentuk menyusuli Pilihan Raya Umum (GE). Majlis-majlis bandaran itu diberi masa sehingga 28 Okt untuk melakukan penyerahan masing-masing, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Khamis (30 Jul).
17 majlis bandaran itu, yang melebihi satu berbanding sebelum ini, merangkumi Majlis Bandaran Sengkang yang baru dibentuk, 11 majlis bandaran yang dibentuk semula dan lima majlis bandaran dengan kawasan bandar yang tidak berubah.
Majlis Bandaran Sengkang ditubuhkan untuk menguruskan GRC Sengkang, yang dibentuk daripada beberapa bahagian GRC Pasir Ris-Punggol GR sebelum GE2020, SMC Punggol East dan SMC Sengkang West, menurut MND.
Majlis-majlis bandaran Sengkang dan Aljunied-Hougang akan diuruskan oleh Parti Pekerja (WP) manakala 15 majlis bandaran yang lain di bawah naungan Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Perbincangan tentang penyerahan Majlis Bandaran Sengkang dari Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol dan Majlis Bandaran Ang Mo Kio bagi SMC Sengkang West sedang dilakukan antara Anggota Parlimen (AP) dipilih dari WP serta PAP.
Sebuah pasukan WP yang dipimpin oleh Cik He Tingru memenangi GRC Sengkang yang baru ditubuhkan itu dengan 52.12 peratus undi, menewaskan mantan menteri Ng Chee Meng dalam GE2020. Secara keseluruhan, WP memenangi dua Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan satu Kawasan Undi Perseorangan (SMC) manakala PAP memenangi 28 kawasan undi.
Di bawah Akta Majlis Bandaran, majlis-majlis bandaran mempunyai masa sehingga 90 hari dari penubuhannya untuk mengambil alih pengurusan kawasan yang akan dipindahkan. Ini bermakna Majlis Bandaran Sengkang dan 11 majlis bandaran yang dibentuk semula akan mengambil alih pengurusan kawasan yang dipindahkan mulai 28 Oktober, jelas MND.
"Majlis Bandaran yang terlibat dalam proses penyerahan dan mengambil alih kawasan pengurusan juga boleh bersama-sama menyetujui tarikh lebih awal daripada yang dibenarkan oleh Akta Majlis Bandaran," menurutnya.
Kementerian itu menambah: "MND menggalak semua Majlis Bandaran untuk bekerjasama bagi memastikan peralihan yang lancar supaya keperluan penduduk boleh terus dipenuhi."
11 majlis bandaran dibentuk semua kerana beberapa kawasan di bawah naungannya menjadi sebahagian daripada bandaran lain disebabkan perubahan dalam sempadan kawasan undi atau perubahan dalam perkumpulan kawasan-kawasan undi bagi sesebuah bandar, terang MND.
Empat SMC baru yang dibentuk sebelum GE2020 akan dikendalikan GRC-GRC bersebelahan.
Majlis Bandaran Ang Mo Kio akan menguruskan kawasan-kawasan di SMC Kebun Baru dan SMC Yio Chu Kang sementara pengurusan SMC Marymount berada di bawah Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh. SMC Punggol-West akan dikendalikan oleh Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol.
Majlis-majis bandaran lain yang dibentuk semula adalah Chua Chu Kang, Jalan Besar, Marine Parade, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon, Sembawang, Tampines dan West Coast.
Lima majlis bandaran yang kekal tidak berubah adalah Aljunied-Hougang, East Coast-Fengshan, Holland-Bukit Panjang, Jurong-Clementi dan Tanjong Pagar.
Bagaimanapun, East Coast-Fengshan akan dinamakan semula sebagai Majlis Bandaran East Coast selepas SMC Fengshan diserap ke dalam GRC East Coast.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.