17 kawasan kejiranan HDB di seluruh SG akan dinaik taraf, libatkan kos S$130 juta
Sebanyak 17 kawasan kejiranan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di seluruh Singapura dipilih bagi kerja-kerja naik taraf di bawah kumpulan terbaharu Program Pembaharuan Kejiranan (NRP), menurut HDB pada Sabtu (18 Apr).
Pelan penambahbaikan bagi sudut kecergasan warga emas dimaklumkan kepada para penduduk semasa Tinjauan Penambahbaikan Komuniti di Lorong 1/2 Toa Payoh pada Mac 2026. (Gambar: HDB)
Hampir 20,000 isi rumah dijangka meraih manfaat daripada kerja-kerja naik taraf itu, dengan lebih S$130 juta diperuntukkan bagi 17 projek yang dipilih oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan HDB.
Diperkenalkan pada Ogos 2007, NRP memfokuskan kepada penambahbaikan di peringkat blok dan presint yang disesuaikan berdasarkan maklum balas penduduk, seperti laluan kecergasan yang menghubungkan kemudahan berpusatkan warga emas dan ciri penunjuk arah di sepanjang laluan yang kerap digunakan oleh warga emas.
Kerja-kerja tersebut dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah dan dilaksanakan oleh majlis bandaran masing-masing, yang akan melantik perunding reka bentuk dan kontraktor binaan sendiri serta memantau kemajuan projek.
NRP pada asalnya merangkumi blok-blok yang dibina sehingga 1995, namun pada 2025, program itu diperluaskan kepada blok-blok yang dibina sehingga 1999.
Sejak diperkenalkan, lebih S$1.6 bilion diperuntukkan untuk membiayai 246 projek NRP di seluruh negara, melibatkan sekitar 315,500 isi rumah merentasi 16 kumpulan terdahulu.
Sehingga 31 Mac 2026, sebanyak 141 projek yang memberi manfaat kepada sekitar 199,000 isi rumah sudah siap sepenuhnya, menurut HDB, dengan kerja-kerja masih dijalankan bagi baki 105 projek.
10 PRESINT DIPILIH BAGI PROGRAM PENINGKATAN SILVER
HDB turut mengumumkan pada Sabtu bahawa 10 lagi presint di Ang Mo Kio, Bukit Merah dan Queenstown dipilih sebagai kumpulan ketiga Program Peningkatan Silver (SUP), yang akan memanfaatkan sekitar 9,000 isi rumah.
Dilancarkan pada Ogos 2024, SUP menyasarkan presint HDB yang lebih lama, dengan menawarkan kerja-kerja naik taraf yang tertumpu kepada warga emas bagi membantu mereka menua di tempat sendiri dengan lebih selesa. Seperti NRP, SUP dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah.
Kerja-kerja naik taraf di 10 presint tersebut dijangka bermula pada separuh kedua 2026 dan akan disiapkan secara berperingkat mulai separuh kedua 2028, menurut HDB, yang menambah bahawa dua kumpulan presint sebelumnya kini berada pada peringkat pembinaan yang berbeza-beza.
Kerja-kerja sedang dijalankan bagi empat presint di Ang Mo Kio yang diumumkan di bawah kumpulan pertama SUP pada 2024, dan dijangka siap pada separuh kedua 2026.
Sementara itu, 12 presint di Ang Mo Kio, Bukit Merah dan Toa Payoh yang diumumkan di bawah kumpulan kedua SUP pada 2025 kini berada pada peringkat reka bentuk berbeza-beza, dengan kerja-kerja dijangka siap secara berperingkat mulai separuh kedua 2027.
Sebagai sebahagian daripada proses reka bentuk dan penglibatan SUP, satu Tinjauan Penambahbaikan Komuniti (CIW) di Toa Payoh Lorong 1/2 diadakan pada Mac lalu, dengan sekitar 70 penduduk berkongsi maklum balas berhubung penambahbaikan yang diharapkan.
Semasa tinjauan tersebut, yang dihadiri Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat, para penduduk mengemukakan beberapa cadangan seperti meluaskan bumbung laluan pejalan kaki bagi membolehkan perlindungan yang lebih baik daripada hujan, serta menggunakan motif dengan fon lebih besar dan warna terang bagi nombor blok untuk memudahkan panduan arah.
Mereka juga mencadangkan agar bahagian tepi laluan pejalan kaki sedia ada ditandakan dengan garisan kuning bagi meningkatkan keterlihatannya, sekali gus membantu mencegah insiden jatuh, selain menambah lebih banyak tempat duduk berbumbung di stesen-stesen kecergasan supaya para penduduk mempunyai ruang untuk berehat dan bersembang selepas bersenam.
Maklum balas lain termasuk penyediaan lebih banyak ruang masyarakat, seperti taman masyarakat yang boleh diakses kerusi roda dan kawasan kecergasan berbumbung.
"HDB komited untuk meningkatkan kebolehdiaman rumah dan kawasan kejiranan kita, agar warga emas dapat hidup dan menua secara berdikari dalam masyarakat mereka," menurut lembaga perumahan itu.
"Pada masa hadapan, SUP akan diperluaskan untuk merangkumi lebih banyak bandar, seperti Bedok, Clementi dan Kallang-Whampoa," menurut HDB, sambil menambah bahawa butiran lanjut akan dikongsi apabila ia bersedia untuk berbuat demikian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.