Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

17 estet HDB di seluruh SG akan dinaik taraf dengan kos S$165 juta

Tujuh belas kawasan kejiranan HDB akan menjalani kerja-kerja naik taraf di bawah fasa terbaharu Program Pembaharuan Kejiranan (NRP), seperti yang diumumkan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Ahad (6 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Apr 2025 12:03PM Dikemas Kini : 06 Apr 2025 10:00PM
SINGAPURA: Tujuh belas kawasan kejiranan HDB akan menjalani kerja-kerja naik taraf di bawah fasa terbaharu Program Pembaharuan Kejiranan (NRP), seperti yang diumumkan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Ahad (6 Apr).

Lebih 25,000 isi rumah dijangka dapat meraih manfaat daripada kerja-kerja naik taraf tersebut, yang akan menelan belanja lebih S$165 juta.

Kesemua 17 projek itu membentuk kumpulan ke-16 NRP, dan buat pertama kalinya, merangkumi blok-blok yang dibina antara 1996 dengan 1999. Projek-projek tersebut terletak di seluruh Singapura, termasuk di Bukit Panjang, Sembawang dan Sengkang.

Menurut HDB dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam satu kenyataan media, kerja-kerja naik taraf tersebut akan disesuaikan mengikut maklum balas penduduk. Ia mungkin merangkumi ciri-ciri di peringkat blok seperti sudut dan ruang duduk bagi para penduduk. Di peringkat kawasan pula, ia boleh melibatkan kemudahan seperti laluan berbumbung, ruang untuk kenderaan mengambil atau menurunkan penumpang, taman permainan dan landskap.

Kerja-kerja tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah dan dilaksanakan oleh majlis bandaran masing-masing, yang akan melantik perunding reka bentuk dan kontraktor bangunan mereka sendiri serta memantau kemajuan projek itu.

Sejak NRP diperkenalkan pada 2007, lebih S$1.5 bilion telah diperuntukkan bagi 229 projek. Sehingga hujung Mac 2025, sebanyak 131 projek telah siap, manakala selebihnya masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Ketika berucap di acara Community Build Day di Toa Payoh, Encik Lee berkata kerja-kerja NRP pada masa hadapan akan menampilkan lebih banyak kemudahan mesra warga emas selaras dengan usaha Sihat Menua SG. Ini termasuk taman terapeutik, ujian kecergasan dan ciri pandu arah yang mesra pengguna.

Bagi menyokong penambahbaikan tersebut, belanjawan bagi setiap flat di bawah NRP akan dinaikkan daripada S$6,100 kepada sekitar S$6,600, tambah beliau.

PROGRAM PENINGKATAN WARGA EMAS DIPERLUAS
Gambaran artis yang menunjukkan satu ruang yang sesuai digunakan penduduk daripada setiap lapisan umur. (Gambar: A D Lab)
Encik Desmond Lee turut mengumumkan penambahbaikan di bawah Program Peningkatan Warga Emas (SUP), yang akan memanfaatkan sekitar 11,000 isi rumah di 12 kawasan kejiranan lama yang pernah menjalani penaiktarafan sebelum ini tetapi tidak layak bagi NRP pada masa ini.

Dilancarkan pada Ogos 2024, program itu – yang turut dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah – menyasarkan kawasan kejiranan HDB yang lebih lama untuk menyokong penuaan dengan lebih baik. Kawasan yang dipilih untuk SUP diberi keutamaan berdasarkan peratusan penduduk berusia 55 tahun ke atas yang lebih tinggi berbanding purata nasional.

Kerja-kerja naik taraf di 12 kawasan di Ang Mo Kio, Bukit Merah dan Toa Payoh dijangka siap mulai separuh kedua 2027.

GERAN PERUMAHAN AKSES LIF DIPERTINGKAT

Pada 2001, Program Peningkatan Lif (LUP) diperkenal untuk melengkapkan blok-blok lama dengan lif yang berhenti di setiap tingkat. Sejak itu, lebih 5,000 blok telah dinaik taraf dan kini kira-kira 99 peratus blok HDB mempunyai akses lif secara langsung ke setiap tingkat, menurut kenyataan media HDB dan MND.

Bagi blok-blok yang masih belum layak untuk program tersebut atas sebab kos atau kekangan teknikal, HDB menawarkan Geran Perumahan Akses Lif bagi membantu penduduk membiayai pembelian flat baharu atau jualan semula yang mempunyai akses lif.

Bermula Ahad, geran tersebut akan dinaikkan daripada jumlah maksimum S$30,000 kepada S$80,000 bagi keluarga, dan daripada jumlah maksimum S$15,000 kepada S$40,000 bagi individu bujang.

“Kami berharap penambahbaikan ketara ini akan memudahkan lebih ramai isi rumah yang berdepan dengan cabaran pergerakan untuk berpindah ke kediaman baharu yang lebih menyokong keperluan aksesibiliti mereka,” kata Encik Lee.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan