17 asatizah wanita tempatan jadi mangsa tinjauan lucah; ramai asatizah marah
17 asatizah wanita tempatan menjadi mangsa satu tinjauan lucah di satu platform media sosial, dengan gambar-gambar mereka disalah guna.
SINGAPURA: 17 asatizah wanita tempatan menjadi mangsa satu tinjauan lucah di satu platform media sosial, dengan gambar-gambar mereka disalah guna.
Perbuatan jijik itu didedahkan oleh sekurang-kurangnya empat asatizah tempatan semalam (26 Mei) di akaun Instagram masing-masing.
Mereka berkongsi petikan gambar yang menunjukkan satu tinjauan online, yang mengajukan soalan: "Ustazah mana patut kena gangbang?". Gangbang adalah istilah bahasa Inggeris yang merujuk kepada perbuatan merogol beramai-ramai.
Tinjauan itu yang dibuat pada pukul 8.56 Isnin malam (25 Mei) ke aplikasi media sosial MeWe itu dimuat naik oleh pengguna yang menggunakan nama 'M A'. Namun belum dapat dipastikan siapa identitinya yang sebenar.
Tinjauan lucah kedua itu membabitkan gambar 12 orang ustazah tempatan. Menerusi petikan gambar yang dikongsi, tinjauan yang pada ketika itu masih dibuka, sudah menerima 245 undi.
BERITAmediacorp dimaklumkan bahawa sebenarnya ada dua tinjauan lucah berbeza yang dijalankan. Satu lagi tinjauan lucah dimuat naik pada 15 April tahun ini membabitkan gambar 5 orang ustazah. Tinjauan ini yang mempunyai kata-kata atau pertanyaan 'Gangbang Ustazah mana?' menerima sejumlah 1,005 undian.
Bermakna kesemuanya 17 asatizah menjadi mangsa dalam perbuatan ini.
Sebenarnya, akaun tersebut turut mengandungi sebuah album foto yang dinamakan 'Ustazah Singapore' dan diisi dengan lebih 30 gambar asatizah tempatan.
Di media sosial, ramai asatizah tempatan jelas melahirkan rasa marah mereka dengan kejadian ini dengan pelbagai catatan mereka muat naik menerusi wadah seperti Facebook dan Instagram.
USTAZAH FATIN AFIKA: INI BUKAN KALI PERTAMA BERLAKU
Bercakap kepada BERITAmediacorp, Ustazah Fatin Afika, yang merupakan salah seorang mangsa dan yang pertama berkongsi petikan gambar tinjauan itu di akaun Instagram berkata ini bukan kali pertama perkara itu berlaku.
Ustazah Fatin Afika. (Gambar: Petikan gambar dari video)
Menurut Ustazah Fatin Afika, beliau mendapat tahu tentang tinjauan-tinjauan lucah sedemikian menerusi seorang mahasiswa junior yang sedang menuntut di Jordan.
"Sudah lima tahun perkara ini (berlaku)... Waktu pertama kali saya terkena, memang saya sangat terjejas. Saya menangis tanpa sesiapa tahu. Ini kali pertama apabila ia berlaku lagi, saya bersuara dan berkongsi online. Saya tidak sangka ia menerima respons yang begitu banyak," kata Ustazah Fatin Afika.
Menerusi perkongsiannya di Instastory, Ustazah Fatin Afika berkata gambar-gambar asatizah yang digunakan dipetik daripada video-video kandungan Islamik - sama ada dari platform peribadi asatizah atau platform rasmi pertubuhan-pertubuhan.
Malah, para ustazah wanita yang menjadi mangsa itu berpakaian sopan dan "bertutup-litup".
"Rakan-rakan asatizah saya (yang menjadi mangsa) akaunnya ada yang privet, jarang pula muat naik gambar. Jadi pelakunya kami syak mungkin dalam kalangan para asatizah juga. Ini sangat mengecewakan. Masa depan anak-anak saya akan dipimpin oleh asatizah ini," luah Ustazah Fatin Afika, 25 tahun.
Beliau juga berkongsi petikan gambar satu lagi tinjauan dengan tarikh 15 April yang menggunakan gambar lima asatizah.
Perkongsian Ustazah Fatin Afika itu mengejutkan CEO Muslim Youth Forum (MYF) Ustaz Zahid Zin, yang menekankan bahawa dalang yang melakukan tinjauan lucah itu mesti dipertanggungjawabkan.
"Saya berjanji kepada mereka (mangsa) bahawa pihak yang terlibat akan dipertanggungjawabkan!!" tulis Ustaz Zahid di akaun Instagram beliau malam semalam (26 Mei).
Ustaz Zahid memberitahu BERITAmediacorp, beliau akan untuk membuat aduan polis.
Timbalan Pengarah Dasar Keagamaan dan Peraturan di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang kini sedang mengambil cuti belajar, Ustaz Irwan Hadi, pula menerusi Instagramnya, mengatakan beliau berasa "teramat jijik" dengan apa yang berlaku.
Beliau juga mengibaratkan si pelaku sebagai "orang sakit" dan "mesti dirawat atau dihukum menerusi undang-undang".
"Ini tidak seharusnya berlaku kepada mana-mana wanita termasuk para asatizah wanita tempatan yang memberikan panduan agama. Kaum lelaki yang melakukannya layak dijatuhi hukuman penuh undang-undang. Nokhtah," menurut Ustaz Irwan Hadi menerusi Instagram.
Pengasas Fanzuru, Ustaz Ahmad Mundzir turut menyuarakan rasa marah terhadap apa yang berlaku.
Menurut beliau, sebahagian asatizah wanita yang menjadi mangsa sudah bekerja keras demi menyampaikan dakwah dan mereka adalah "kawan kepada saudara perempuannya sendiri".
Beliau turut mendedahkan bahawa salah seorang mangsa adalah anak kepada seorang ulama penting Singapura.
"Selepas melakukan pemeriksaan, saya katakan dalangnya adalah orang yang sama di sebalik satu kumpulan Telegram menjijikkan yang ditubuhkan beberapa bulan lalu.
"Kebanyakan orang dalam kumpulan itu adalah mahasiswa pengajian Islam, bakal guru agama. Saya tidak akan mendedahkan institusi mana tetapi apa yang boleh saya katakan, mereka nampaknya semakin berani kerana tiada tindakan dikenakan meskipun ia menjadi kecoh," menurut Ustaz Ahmad Mundzir.
Beliau juga memberikan saranan keras yang patut dikenakan ke atas para lulusan pengajian Islam dari sebuah universiti, namun beliau tidak mendedahkan nama institusi yang dimaksudkan.
"Saya serius menyarankan agar pihak berkuasa agama kita BERHENTI meluluskan status ARS kepada mana-mana mahasiswa yang tamat pengajian daripada institusi itu mulai kohort lulusan 2020.
"Marah Tak? Kalau marah sebab tak bersalah, ini masanya untuk 'pauto' dan malukan dalangnya," luah Ustaz Mundzir menerusi Instagram, yang menzahirkan rasa tidak tahan lagi melihat perkara terkutuk seperti itu berulang lagi.
Semasa BERITAmediacorp meminta penjelasannya tentang institusi manakah yang dimaksudkannya, Ustaz Ahmad Mundzir memilih untuk tidak mendedahkannya menerusi media atas sebab tertentu.
Beliau mendakwa pernah membangkitkan isu yang sama sebelum ini. Malangnya pelaku menjadi semakin berani, kata beliau.
Ustazah Shameem Sultanah. (Gambar: Facebook/Ustazah Shameem Sultanah)
Seorang lagi pendakwah bebas, Ustazah Shameem Sultanah pula memberi semangat kepada para asatizah mangsa bahawa apa yang berlaku bukan salah mereka dan tiada apa yang perlu dimalukan.
"Masalahnya bukan kita. Tapi mereka. Kita tiada apa yang perlu dimalukan. Jangan biarkan sesiapa membuat kita berasa sedemikian. Kita tidak melakukan kesalahan. Perbuatan jijik mereka itu adalah cerminan diri mereka sendiri. Malah, mereka lebih membahayakan diri sendiri," menurut Ustazah Shameen di laman Facebook beliau hari ini (27 Mei).
Ustazah Shameem menyeru kaum wanita agar kuat dan buktikan kepada lelaki-lelaki dengan otak yang "sakit" bahawa kaum hawa tidak terjejas oleh kata-kata kesat mereka itu.
"Kita tidak akan terjejas oleh obsesi jijik dan perilaku buruk mereka. Kita jauh lebih baik daripada itu. Allah dan Rasulnya menaikkan martabat wanita sebegitu tinggi sehingga ia memerlukan perbuatan yang jauh lebih buruk untuk mencalarkan reputasi kita," tambah Ustazah Shameem.
Beliau juga mengingatkan bahawa jika kaum lelaki tidak menghormati wanita, mereka yang rugi dan bukan wanita.
"Mereka yang mengundi dalam tinjauan itu, pulanglah dan pandang ibu anda. Pandang isteri anda. Pandang anak perempuan anda. Adakah anda akan melakukannya jika nama mereka ada dalam senarai?
"Bagi mereka yang gemar menjadi wanita bahan seks, anda ada masalah dalam diri. Saya tidak kasihan para wanita yang anda jadikan bahan seks. Sebaliknya, andalah yang perlu dikasihani," bunyi nasihat tegas Ustazah Shameem.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada para asatizah lelaki dan rakan-rakan lelaki lain yang bersuara di platform masing-masing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.