Skip to main content

Singapura

16 spesimen hidupan liar, termasuk spesies terancam, dirampas dalam serbuan NParks

Sebanyak 16 spesimen hidupan liar, termasuk spesies terancam, dirampas dalam beberapa serbuan yang diselaraskan di seluruh negara oleh Lembaga Taman Negara (NParks) pada 9 Oktober lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
16 spesimen hidupan liar, termasuk spesies terancam, dirampas dalam serbuan NParks

Seekor Tegu hitam putih Argentina dan beberapa ekor cicak gecko kepala kuning yang dirampas dalam siri serbuan NParks pada 9 Oktober 2025. (Gambar: NParks)

SINGAPURA: Sebanyak 16 spesimen hidupan liar, termasuk spesies terancam, dirampas dalam beberapa serbuan yang diselaraskan di seluruh negara oleh Lembaga Taman Negara (NParks) pada 9 Oktober lalu.

Sebagai sebahagian daripada usaha membanteras perdagangan hidupan liar secara haram di Singapura, serbuan-serbuan yang dijalankan di enam premis itu menyasarkan individu yang disyaki menjalankan kegiatan tersebut melalui platform online, termasuk Telegram, menurut kenyataan media NParks pada Isnin (20 Okt).

Haiwan-haiwan yang dirampas termasuk spesies terancam yang disenaraikan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES), seperti cicak gecko kepala kuning, kura-kura "leopard" dan biawak ekor berduri.

Haiwan-haiwan itu kini ditempatkan dan dijaga di Pusat Pemulihan Hidupan Liar NParks.

Para individu yang terlibat sudah disoal siasat berhubung penjualan hidupan liar secara haram dan siasatan sedang dijalankan, menurut NParks.

Usaha penguatkuasaan tersebut melengkapi operasi pemantauan di sempadan dengan memperluaskan tindakan terhadap perdagangan hidupan liar haram ke pasaran tempatan secara fizikal mahupun online, tambah agensi itu.

“NParks memandang serius kesalahan sedemikian dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap para pesalah, tanpa mengira jenis atau bilangan haiwan yang diseludup,” tegas NParks.

Di bawah Akta Hidupan Liar, individu dilarang menawarkan untuk dijual, menjual atau mengeksport mana-mana hidupan liar atau bahagiannya tanpa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah.

Pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$50,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang disabitkan kesalahan mengimport spesimen yang disenaraikan di bawah Lampiran I CITES secara haram boleh dikenakan denda sehingga S$100,000 bagi setiap spesimen dan penjara sehingga enam tahun.

Lampiran I mengandungi spesies yang berisiko tinggi pupus sekiranya perdagangan spesies berkenaan tidak disekat dengan ketat, termasuk penyu laut, harimau, gajah dan beberapa spesies monyet.

Mereka yang mengimport haiwan yang disenaraikan di bawah Lampiran II dan III CITES boleh dikenakan denda sehingga S$50,000 bagi setiap spesimen dan penjara sehingga empat tahun.

Spesies dalam Lampiran II berisiko pupus jika perdagangan spesies berkenaan tidak dikawal. Senarai tersebut termasuk biawak, kuda laut, gong gong gergasi dan burung kakak tua.

Spesies yang tersenarai dalam Lampiran III pula terancam di beberapa negara. Haiwan-haiwan tersebut termasuk musang, ayam hutan serta beberapa spesies rusa dan kura-kura.

Perdagangan hidupan liar secara haram menimbulkan risiko besar terhadap kebajikan haiwan dan kesihatan awam kerana haiwan yang diseludup boleh membawa penyakit yang menjangkiti haiwan lain dan manusia, menurut NParks.

"NParks menggesa orang ramai agar mendapatkan haiwan peliharaan dari kumpulan kebajikan haiwan atau membelinya hanya dari kedai haiwan peliharaan berlesen, dan mengelakkan daripada membeli dari sumber tidak berlesen seperti media sosial atau platform-platform online."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita