Skip to main content

Singapura

16% rakyat Singapura guna jumlah had maksimum skim Flexi-Medisave

Kira-kira 136,000 - atau 16 peratus daripada rakyat Singapura yang layak, menggunakan jumlah had maksimum S$200 daripada simpanan Flexi-Medisave mereka pada 2018, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Edwin Tong pada Selasa (5 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
16% rakyat Singapura guna jumlah had maksimum skim Flexi-Medisave

Encik Edwin Tong berucap di Parlimen pada 5 Nov

Diterbitkan : 05 Nov 2019 03:10PM Dikemas Kini : 05 Nov 2019 03:15PM

SINGAPURA: Kira-kira 136,000 - atau 16 peratus daripada rakyat Singapura yang layak, menggunakan jumlah had maksimum S$200 daripada simpanan Flexi-Medisave mereka pada 2018, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Edwin Tong pada Selasa (5 Nov).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan AP Saktiandi Supaat di Parlimen tentang jumlah anggota Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang menggunakan jumlah had maksimum Flexi-Medisave sepanjang tahun lalu.

Skim Flexi-Medisave membenarkan rakyat Singapura berusia 60 tahun ke atas untuk mengeluarkan S$200 dari akaun Medisave mereka setiap tahun untuk membayar kos rawatan pesakit luar di klinik-klinik pesakit luar pakar, poliklinik dan doktor keluarga di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS).

Encik Saktiandi juga bertanya samada Kementerian Kesihatan (MOH) akan mempertimbangkan untuk mengkaji semula had bagi para anggota lebih tua yang lebih kerap memerlukan rawatan pesakit luar.

Memberi jawapannya, Encik Tong berkata MOH tidak boleh "hanya melihat kepada kemampuan, tetapi juga penggunaan Medisave dalam jangka lebih panjang".

Beiiau menambah, "MOH secara tetap mengkaji semula skim pembiayaan penjagaan kesihatan termasuk Flexi-Medisave."

Pada Ogos, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan di Rapat Hari Kebangsaan bahawa skim CHAS akan meliputi semua keadaan kronik tidak kira pendapatan.

Ini akan dilakukan menerusi skim baru CHAS hijau, kata Encik Tong.

Pakej Generasi Merdeka juga menyediakan subsidi bagi rawatan pesakit luar para anggota di klinik-klinik CHAS, poliklinik dan klinik pesakit luar pakar, tambahnya.

Tahun lalu, MOH menurunkan had usia minimum untuk layak bagi Flexi-Medisave dari 65 kepada 60 tahun.

Kementerian itu juga menaikkan had pengeluaran Medisave bagi suntikan vaksinasi pesakit luar, pemeriksaan kesihatan dan pengurusan penyakit kronik dari S$400 kepada S$500.

Encik Tong juta menjawab pertanyaan dari AP Parti Pekerja (WP) Pritam Singh yang menyarankan para anggota di skim peringkat atasan akaun Medisave mengeluarkan jumlah tambahan bagi rawatan pesakit luar.

"Saya fikir matlamat keseluruhan adalah untuk memastikan jumlah itu bertepatan pada saiznya dan saya juga menyarankan mereka yang mungkin sudah menggunakan had maksimum Flexi-Medisave mempertimbangkan skim-skim lain sejajar dengannya," kata Encik Tong. 

Sumber : CNA/EM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita